Sunday, January 17, 2010

Gerhana matahari sehari sebelum berpuasa.

Inilah gambar gerhana matahari yang saya ambil pada petang Hari khamis 15 Januari 2010 yang lalu. Saya cari filem-filem lama saya yang masih disimpan dan potong pangkalnya yang hitam gelap. Ia menjadi hitam kerana terdedah kepada cahaya. Saya susun tiga keping berlapis dan tampal di depan kamera DSLR saya menggunakan pita cellophane.

Saya gunakan lensa 70-300 dan zoom sedekatnya. Saya dapati fokus auto tidak boleh digunakan, oleh itu saya fokus secara manual.

Awan menutup matahari, oleh itu saya tunggu sehingga awan lari dan mengambil gambar di atas. Itu pun awan tidak lari sepenuhnya.

Sebenarnya saya tidak berminat mengenai astronomi, oleh itu saya tidak membaca mengenai bila gerhana matahari dan bulan terjadi. Saya difahamkan gerhana matahari akan terjadi lagi pada tahun 2021.

Walau bagaimana pun saya masih ingat semasa gerhana matahari sebelum ini berapa tahun yang lalu. Di masa itu orang Islam seluruh dunia menunggu kedatangan bulan Ramadan untuk berpuasa. Bulan pun menutup matahari dan jadilah gerhana matahari. Walau pun tidak penuh tetapi keluasan muka bulan yang menutup matahari lebih dari seperti dua hari yang lepas. Jadi keadaan hari itu lebih gelap sedikit.

Saya tidak mengambil apa-apa gambar walau pun boleh berbuat demikian. Di masa itu juga komputer belum ada (sekurang-kurangnya dalam kepunyaan saya) dan sudah tentu tidak ada internet.

Untuk rujukan saya buka Britannia's Children Encyclopaedia yang ada dalam simpanan saya. Saya terbaca bulan yang menutup matahari ialah bulan baru. Di masa itu pula kerajaan Malaysia hanya menggunakan rukyah untuk menentukan ketibaan bulan baru Ramadan dan Syawal. Penyimpan Mohor Besar menyebut sama ada "Anak bulan nampak" atau "Anak bulan tidak nampak". Kalau 'nampak' puasa atau rayalah kita pada esok harinya. Kalau 'tak nampak' puasa atau raya ditangguhkan satu hari lagi.

Pada petang gerhana matahari itu pasukan-pasukan melihat anak bulan pergilah meneropong anak bulan, diantaranya di Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan. Bila masa untuk pengumuman, Penyimpan Mohor Besar menyebut "Anak bulan Ramadan tidak nampak". Oleh itu permulaan puasa adalah hari lusa daripada gerhana matahari tengah hari tadi.

Saya terfikir itulah bulan yang melindung matahari pada tengah hari tadi. Apa susah payah meneropong 'anak'nya. Oleh kerana saya sudah terbaca bahawa bulan yang melindungi matahari semasa gerhana ialah bulan baru saya mengambil keputusan untuk berpuasa pada esok harinya kerana saya tahu bulan Ramadan sudah tiba. Saya tidak tahu berapa ramai umat Islam Malaysia yang sama-sama berpuasa macam saya.

Setelah kebanyakan rakyat Malaysia berpuasa 29 hari dan saya berpuasa 30 hari tiba pula masanya untuk melihat anak bulan Syawal. Saya terfikir juga kalaulah Penyimpan Mohor menyebut 'Anak bulan tidak nampak' berpuasa 31 harilah saya pada tahun itu.

Seperti diduga Penyimpan Mohor Besar menyebut "Anak bulan Syawal nampak". Kala tak salah saya di tahun itu juga berlaku kekeliruan mengenai Hari Raya. Ada negeri-negeri di Malaysia sudah beraya dihari melihat anak bulan itu. Samalah seperti saya sudah berpuasa semasa mereka melihat anak bulan Ramadan sebelumnya.

Selepas itu kerajaan memutuskan tidak lagi merujuk cara rukyah semata-mata untuk menentukan permulaan puasa dan raya. Pengiraan cara hisab juga diambil kira. Dari itu juga Penyimpan Mohor Besar tidak lagi menyebut 'anak bulan nampak' atau 'tidak nampak'. Dia terus menyebut "Satu Ramadan (atau Syawal) jatuh pada...."

Hari ini ialah 17 Januari 1010 bersamaan 2 Safar 1431. Gerhana matahari berlaku pada 15 Januari 2010 apabila bulan baru Safar melindunginya. Jadi betullah apa yang saya baca bahawa bulan yang melindung matahari semasa gerhana ialah bulan baru.

No comments: