Friday, December 24, 2010

Aziz Bai

Aziz Bai berbaju gelap dan bertopi hitam.

Sekali sekala dalam hidup kita, kita berjumpa dengan insan yang tidak boleh kita lupakan. Serupa juga dalam hidup saya. Saya telah menceritakan serba sedikit mengenai Bang Saad dalam pos saya sebelum ini. Kali ini saya akan menceritakan tentang seorang lagi insan yang juga tidak dapat saya lupakan. 

Bukan saya seorang sahaja yang tidak melupakannya, tetapi ramai lagi. Insan yang saya maksudkan bernama Aziz bin Sulaiman tetapi antara kami dia dikenali dengan nama Aziz Bai sahaja. Aziz berasal dari Kelantan dan sama bersekolah dengan saya di Sekolah Dato' Abdul Razak, Tanjong Malim, Perak. Sekarang sekolah ini sudah berpindah ke Sungai Gadut, Seremban.

Dari gelarannya Aziz bukanlah 100% berbangsa Melayu tetapi dia amat pupolar dengan kami yang keseluruhannya berbangsa Melayu. Mungkin kelainan ini menjadikannya begitu. Cuma ia popular kerana kenakalannya. Sesiapa yang seangkatan dengannya tetap mengingatinya walau pun selepas meninggalkan sekolah. Tetapi saya tidak mahu menceritakan secara terperinci mengenai kenakalannya. 

Aziz junior setahun dari saya. Ia juga tinggal di asrama lain. Itulah antara sebab saya tidak mengenalinya secara dekat dan tidak tahu secara terperinci akan kenakalannya. Yang jelas ialah Aziz juga seorang yang mengharumkan nama sekolah dalam bidang sukan. Antaranya dia menjadi johan lari pecut 100 meter peringkat sekolah negeri Perak (kawan-kawan terutama Muhammad Abdullah A, tolong sahkan).

Kelebihannya dalam bidang sukan juga menjadi faktor ia tidak dihukum oleh pihak sekolah kerana kenakalannya. Kalau dalam filem karaktornya boleh diibaratkan sebagai 'anti-hero', buka 'hero' dan bukan pula 'crook'.

Seperti saya Aziz tidak berjaya meneruskan pelajarannya ke peringkat tinggi. Selepas keluar sekolah ia memasukki pasukan Polis berpangkat rendah. Saya mendapat tahu kenakalannya juga dibawa dalam kerjanya. Saya mendengar cerita pada satu hari Aziz yang bertugas sebagai seorang Polis Trafik menjadi sebahagian dari pasukan 'road block' Polis. Kemudian seorang pemandu kereta yang sama sekolah dengan kami menegurnya. Aziz kemudian berborak panjang dengan kawan kami ini menyebabkan kawan ini resah kerana menahan lalulintas di belakang. Tetapi Aziz tidak peduli dan berkata 'Dia orang boleh tunggu'. 

Selepas keluar sekolah Aziz tetap terus berkawan dengan kawan-kawan sama sekolah kami tidak kira apa pangkat kami. Dia akan pergi ke pejabat dimana kami bekerja dan terus berkata kepada penyambut tetamu, pegawai keselamatan, penyambut tetamu atau pembantu persendirian bahawa 'Cakap pada boss awak Aziz Bai nak jumpa'. Sudah pasti Aziz dibenarkan masuk dan berjumpa dengan kawannya.

Aziz juga hampir tidak pernah tinggal dalam apa-apa program sekolah dan murid tua sekolah. Dia sanggup datang jauh dari tempat kerjanya untuk hadir di program-program tersebut. Dia juga sanggup bermotosikal dan kadang-kadang ditimpa hujan. Tetapi kerana popularitinya tidak ada antara kami akan menolak bila   Aziz Bai ingin menumpang kereta kami.  

Pernah dulu Yang DiPertua Persatuan Murid Tua sekolah kami Allahyarham Dato' Mazlan Idris menegur sikap setengah lepasan sekolah kami yang menjauhkan diri dari aktiviti sekolah dan murid tua. Dia memberi contoh kepada Aziz Bai yang 'daif' (sebutan Allahyarham sendiri) tetapi sanggup datang dari jauh untuk aktiviti sedemikian. Ini betul-betul memberi peransang kepada saya.

Di dalam aktiviti kami, Aziz tidak malu-malu bergaul dengan kawan-kawan lama yang sudah jauh berbeza taraf hidup mereka. Tetapi bagi Aziz dalam aktiviti begini kami semua sama. Contohnya gambar di atas. Di antara dalam gambar itu ialah seorang mantan Setiausaha Kerajaan, seorang mantan Timbalan Ketua Menteri dan seorang mantan Datuk Bandar. Gambar diambil semasa kami meraikan kampus baru sekolah kami di Sungai Gadut, Seremban. Di waktu itu Aziz tinggal di Mentakab, Pahang.

Tetapi itu semua hanya tinggal kenangan sekarang. Aziz Bai meninggal dunia beberapa tahun selepas gambar di atas diambil. Walau bagaimana pun di mana-mana kami berjumpa nama Aziz Bai sering disebut.

Al-Fatihah kepada Aziz bin Sulaiman, lebih dikenali sebagai Aziz Bai.  

1 comment:

Anonymous said...

Al Fatihah , I last met him ( six yeas ago ) at Putera Jaya at the Walimatul Urus of Saudara ( SDARA ) Musiran Ponco . He was still the delightful Aziz Bai that we knew ( and treasure ) with his quips and humours. I really feel the lost and I believed those who know him do . Thank you Saudara Maarof for bringing back those memories .
bakghaz@gmail.com (sdar 61-66)