Saya, Bang Saad, isteri Bang Saad dan isteri saya.
Ada orang tidak suka masuk ke laman sosial Facebook. Kata mereka pengasasnya berbangsa Yahudi. Tetapi saya sudah lali dengan cerita Yahudi ini. Pengurus The Beatles, Brian Epstein juga beragama Yahudi. Tetapi kalau tidak kerana Brian Epstein, The Beatles entah ke mana.
Ketiga-tiga ahli asal The Three Stooges, Moe, Larry dan Curly juga beragama Yahudi. Saya ada koleksi DVD penuh The Three Stooges. Setelah melihat kesemuanya saya dapati banyak idea The Three Stooges ditiru oleh P. Ramlee. Contohnya adegan Bujang Lapok masak gulai ayam ditiru dari idea The Three Stooges mengilang minuman beer. Cara Do Re dan Mi berbincang sambil berpeluk bertiga juga ditiru dari The Three Stooges. Malah idea 'trio' atau kumpulan bertiga yang digunakan oleh P. Ramlee untuk Bujang Lapok, Madu Tiga, Tiga Abdul dan Do Re Mi juga ditiru dari idea 'trio' The Three Stooges. Ada saya dengar di radio yang P. Ramlee menggunakan idea 'trio' ini kerana nombor kegemaran P. Ramlee ialah nombor 3. Salah tu, The Three Stooges sebenarnya.
Berbalik kepada Facebook saya mendapatinya sangat berguna untuk saya berhubung semula dengan kawan-kawan dan saudara-mara yang sudah lama hilang hubungan. Baru-baru ini saya dihubungi oleh seorang dua pupu saya yang saya tidak dengar berita selama lebih dari lima tahun. Dia kurang sihat sekarang. Beberapa hari lepas pula saya dihubungi oleh seorang kenalan saya yang namanya serupa dengan saya. Setahu saya paling akhir saya berjumpa dengannya ialah pada tahun 1971.
Tapi yang paling mengembirakan saya ialah apabila dapat berhubung dengan kawan sekolah saya yang saya tak jumpa semenjak tahun 1963, iaitu 47 tahun yang lalu. Bukan kawan sebenarnya, kerana ia tua dan senior empat tahun dari saya. Saya ingat kepadanya ialah kerana dialah yang membetulkan cara saya sembahyang.
Semasa saya di sekolah rendah di kampung saya ada menghadiri kelas agama petang. Ustaz yang mengajar bernama Sulaiman dan kami memanggilnya Lobai Leman sahaja. Dia sudah meninggal dunia sekarang. Dia juga mengajar kami cara-cara sembahyang. Tetapi sebenarnya saya tidak pernah mengamalkan ajarannya di rumah.
Saya hanya mula sembahyang apabila masuk ke sekolah menengah, iaitu Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR) Tanjong Malim, Perak, sebuah sekolah berasrama penuh. Apabila melihat kawan-kawan lain sembahyang, saya pun mula mengamalkannya sambil mengingati apa yang diajar oleh Lobai Leman. Di sinilah saya masih ingat seorang senior yang sebilik dengan saya membetulkan cara saya sembahyang. SDAR dahulu tidak mempunyai masjid seperti SDAR Seremban sekarang, apa lagi surau. Oleh itu amalan seperti sembahyang diajar oleh senior kepada junior di bilik sahaja.
Berpuluh tahun telah berlalu dan saya masih ingat akan bimbingan senior saya ini. Sampai namanya pun hilang dari ingatan saya. Cuma saya tahu ia berasal dari Pahang. Tetapi terima kasih kepada Fecebook saya dapat menghubunginya. Saya memanggilnya Bang Saad sahaja.
Oleh itu bila mendapat peluang saya pun berjumpa Bang Saad. Bang Saad berasal dari Temerloh, tetapi sekarang menetap di Kuantan. Rupanya sudah banyak berubah. Dia tidak lagi memakai cermin mata kerana matanya sudah dibedah dan dimasukkan kanta baru. Jika saya terserempak dengannya di mana-mana sudah tentu saya tidak mengenalinya. Tetapi dia masih sihat dan masih cekap memandu kereta. Gambar-gambar lawatan saya ke Kuantan dan Pahang ada di sini.
Terima kasih Bang Saad kerana layanan yang tidak dapat saya lupakan.
1 comment:
facebook adalah satu media yg berguna untuk semua berhubung~
Post a Comment