Monday, February 14, 2011

Aku tidak minta menjadi kawannya.

Aku tidak minta menjadi kawannya. Dia berkenalan dengan ku melalui seorang kawan ku yang kebetulan menjadi anak kepada ketua kampung. Dia berurusan dengan ketua kampung sebagai sebahagian dari tugasnya. Dari itu dia berkenalan dengan anak ketua kampung dan juga kawan-kawannya termasuk aku.

Aku dan anak ketua kampung baharu sahaja lepas sekolah menengah dan menunggu untuk meneruskan pelajaran atau mencari kerja. Kawan ku lebih bernasib baik dari ku dan berjaya meneruskan pelajaran. Orang kata kita memilh kawan kita sendiri. Walau pun aku tidak minta menjadi kawannya, aku terpaksa berbuat demikian untuk menggantikan kawanku yang telah meninggalkan kampung. Tinggallah aku melayan kawan barunya sama ada aku suka atau tidak. Di musim buah-buahan  dia ada singgah ke rumah ibu ku untuk menikmati durian dan sebagainya. Ibu ku tidak mahu menerima apa-apa bayaran darinya kerana menganggap dia kawan ku walau pun hakikatnya tidak. 

Semasa aku masih menganggur aku ada juga keluar ke bandar di mana pejabatnya ditempatkan. Apabila berjumpa dengannya dia pernah membelanja aku minum. Tetapi kalau dibandingkan dengan harga buah-buahan seperti durian yang ibu ku berikan padanya berapa sangat harga minuman itu.

Akhirnya aku mendapat kerja dan meninggalkan kampung. Aku juga tidak menghubungnya lagi. Suatu hari dia telah datang ke rumah ibu ku. Ketika itu ibu ku tiada di rumah dan cuma adik perempuan ku sahaja yang tinggal. Kebetulan di masa itu durian ibu ku sedang gugur dan ada beberapa biji durian dilunggukan di bawah rumah untuk dijual.

Dia bertanya di mana aku sekarang? Adik ku yang mengenalinya menjawab apa yang patut. Tiba-tiba dia terus mencapai parang keluarga ku, mengambil sebiji durian, mengupas dan memakan isinya. Adik perempuan ku terus marah kerana jelas perbuatannya kurang ajar. Dia cuba mempertahankan perbuatannya dengan berkata dia pernah membelanja ku minum. Adik ku menjawab bukan aku yang memintanya berbuat demikian dan dengan mengungkit perkara lama jelas dia tidak jujur.

Aku kagum dengan ketagasan adik ku. Selepas itu dia tidak datang lagi menganggu aku dan keluarga ku. Aku pun tidak kisah kerana aku tidak minta menjadi kawannya.

1 comment:

maarofkassim said...

Maarof

Sodih pula ese bilo baco cerito kau tu.... memang boto.... ese pun cukup pantang kalau ado kengkawan atau sedaro yg suko mengungkit apo yg dio dah tolong kito.....

Hamba Allah tu memang biadab.... orang Jolobu kato 'muko tak malu' hampeh

wasalam
MA(B)