Tuesday, April 12, 2011

Jam, oh jam - Bahagian 3.

Saya fikir saya seorang sahaja yang sensitif terhadap jam tangan. Sehingga saya telah membuat dua pos mengenainya. Rupa-rupanya ada juga orang lain yang sensitif terhadap jam tangan, yang selepas ini saya sebut jam sahaja.

Jam yang heboh diceritakan di mana-mana sekarang adalah satu jam yang mahal juga. Jenama jam itu pernah digunakan beberapa kali untuk mencatit masa di sukan Olimpik. Jam itu pula buatan negara Switzerland atau nama rengkasnya Swiss yang ternama dalam pengeluaran jam bermutu dan mahal. Tapi saya tak pernah punyai jam Swiss. Jam pertama saya ialah Timex yang 'Made in England'. Lepas tu jam saya semuanya 'Made in Japan'.

Dengar khabarnya jam Swiss itu dibawa oleh tuannya ke satu tempat di mana bak kata orang putih 'at the wrong place and the wrong time'. Menyedari jamnya tertinggal tuan punya jam telah meminta kawannya untuk mendapatkan jam itu kembali. Kawannya tadi bukan sahaja menjumpai kembali jam, tetapi terjumpa satu benda yang boleh memalukan tuan punya jam.

Maka bermulalah cerita jam itu diperhebohkan. Tidak lama kemudian tuan punya jam membuat satu persidangan akhbar dan mengatakan jam itu ada dalam simpanan isterinya. Kemudian isterinya pula membuat persidangan akhbarnya sendiri dan mengaku jam itu ada dalam simpanannya. Tetapi bila diminta menunjukkan jam, dia jadi berang pula.

Juga selang beberapa hari tuan punya jam mengadakan persidangan akhbar tidak kena mengena dengan jam Swiss itu. Kali ini seorang wartawan perempuan telah menanyakan satu soalan bodoh. Kenapa jam itu belum diserahkan kepada pihak Polis, tanyanya. Sudah tentu tuan punya jam naik berang dan bertanya bila pula Polis minta jam darinya?

Kemudian pihak Polis pula mengadakan satu persidangan akhbar dan menyatakan jam yang menjadi persoalan ada dalam tangan mereka. Kawan kepada tuan punya jam yang menyerahkan kepada mereka. Jadi betullah kata tuan punya jam yang Polis tidak pernah meminta jam darinya. Buat apa pihak Polis meminta jam yang sudah pun mereka perolehi?

Cuma sekarang menjadi tugas Polis untuk menentukan jam siapakah yang berada dalam tangan mereka. Malang sekali jam tidak boleh bercakap, jika tidak dia bukan sahaja berkata siapa tuannya, tetapi ia akan bercerita di mana tuannya membawanya di satu-satu masa.

Di dalam filem bertajuk 'U-Turn' ditunjukkan pelakon utamanya menghantar keretanya untuk dibaiki. Setelah dibaiki ia kekurangan wang, dan memohon membayarnya dengan jam Swiss kepunyaannya. Mekanik bengkel menolak kerana melihat jam yang ditawarkan ialah jam analog yang hanya mempunyai jarum jam dan minit. Mekanik itu pula menunjukkan jam digital murahnya yang mengikutnya 'ada segala-galanya'. Tuan punya kereta pula menerangkan walau pun jamnya rengkas sahaja tetapi mahal. Mekanik tetap menolak.

Itulah sebenarnya delima jam tangan. Jam analog walau pun rengkas maklumatnya, lebih mahal dari jam digital yang boleh memberikan berbagai maklumat. Semasa ke negara Jepun pada tahun 2004 dan kemudian mengerjakan Haji di Arab Saudi pada tahun 2007, saya meninggalkan jam analog saya yang mahal dan membawa jam digital yang 'ada segala-galanya'. Saya dapat mengukur berapa lama masa yang saya perlu ambil untuk sampai ke Masjidil Haram dari hotel supaya tidak tertinggal mana-mana solat. Saya juga dapat tahu waktu di Malaysia dengan menekan beberapa butang sahaja.

Tetapi jam yang menjadi persoalan sekarang sudah tentu jam analog, kerana saya belum ada melihat jam digital jenama itu diiklankan dimana-mana. Kita tunggu dan lihat sahajalah apa kesudahannya cerita jam itu nanti. 

1 comment:

AuntyZah said...

Tuan Haji,

Kalau tak ada siapa yang mengaku dan mahu jam mahal yang ada pada polis tu bolehlah hadiahkan pada saya...ha ha ha