Tuesday, February 26, 2013

Tak kira usia untuk menyeleweng.




Semasa saya bekerja dahulu saya ada mendengar cerita pegawai-pegawai koperasi anggota kerajaan yang menyeleweng duit ahli-ahli. Tetapi sekurang-kurangnya duit simpanan saya di koperasi di mana saya menjadi ahli tidak terlibat. Saya menerima dividen tiap-tiap tahun dan apabila berhenti kerana bersara duit simpanan saya dipulangkan sepenuhnya.

Apabila bersara saya ingin berehat sepenuhnya tetapi diminta menjadi ahli kepada Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia atau PPKM. Ini kerana diberitahu persatuan boleh membantu urusan pesara seperti tuntutan bayaran perubatan dan lain-lain. Saya pun membayar yuran ahli seumur hidup sebanyak RM 50. 

Saya kira keahlian saya tidak bermasalah kerana saya dipelawa menyertai aktiviti persatuan seperti jamuan, senaman dan lawatan luar. Saya juga menerima buletin aktiviti persatuan dari masa ke semasa. Yang lebih penting ialah saya menerima surat panggilan ke mesyuarat agung cawangan persatuan. 

Saya tidak hadir untuk mesyuarat agung cawangan sehinggalah semalam, 25 Februari 2013. Di situ saya menerima satu kejutan. Dalam laporan tahunan disebut 259 keping borang keahlian yang telah lengkap diisi telah hilang. Jumlah ahli cawangan ialah 2249 orang dan ini bermakna rekod keahlian 11.5 peratus dari jumlah ahli cawangan tidak dapat dikesan. 

Perkara ini timbul apabila beberapa orang ahli mengadu mereka tidak dipanggil untuk mesyuarat agung, sedangkan ada diantara mereka menyimpan resit yuran keahlian seumur hidup. Ini juga bermakna wang sejumlah RM 12,950 telah lesap. Jawatankuasa semasa menyalahkan jawatankuasa sebelumnya.   

Apa yang menyedihkan saya ialah kegiatan ini dilakukan oleh pesara kerajaan juga. Mungkin seorang atau lebih individu yang terlibat tidak sempat menyeleweng semasa masih bekerja dengan kerajaan dulu. Dari itu mereka menyeleweng selepas bersara. Duit yang dikebas pula ialah duit kawan-kawan mereka yang sama bersara. 

Rupa-rupanya tak kira usia untuk menyeleweng.

1 comment:

M Radzi Desa said...

Mereka yang menyeleweng itu adalah mereka yang "immortal" iaitu tidak akan mati. Mereka tidak perlu takut dengan hukuman Allah apabila mati kelak.

Untuk orang biasa yang satu hari nanti akan menghadapi penghakiman di akhirat kelak, kita tidak akan berani untuk membuat perkara terkutuk sebegitu.