Saya diajak oleh seorang sahabat saya untuk menghadiri majlis perasmian satu pameran fotografi. Persatuan fotografi yang menganjurkan majlis itu hampir kesemua ahlinya berbangsa Cina. Persatuan fotografi di mana saya menjadi ahli pula dianggotai kebanyakannya oleh orang Melayu. Dipendekkan cerita persatuan fotografi Cina ini menjemput pegawai-pegawai persatuan fotografi Melayu untuk hadir sama di majlis perasmian itu.
Saya ingatkan ramai pegawai persatuan saya yang hadir. Rupa-rupanya hanya tiga orang sahaja, termasuk saya. Itu pun seorang dari kami hadir hanya untuk menjadi jurugambar persatuan kami. Adakah ahli-ahli persatuan Melayu memboikot majlis persatuan Cina ekoran dari keputusan PRU 13 baru-baru ini? Saya tidak pasti akan jawapannya.
Walau bagaimana pun saya hadir juga kerana saya tidak mempunyai apa-apa prasangka buruk terhadap orang Cina. 37 tahun saya bekerja dengan satu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan sudah biasa bergaul dengan mereka. Kebetulan di majlis itu saya berjumpa dengan beberapa orang yang telah lama saya kenal, termasuk seorang yang pernah bermasam muka dengan saya kerana saya ada mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.
Juruacara yang terdiri dari dua orang perempuan yang comel bercakap dua bahasa, seorang berbahasa Melayu dan seorang lagi berbahasa Cina. Cuma saya tidak tahu dialek Cina apa yang digunakan. Acara dimulakan dengan satu nyanyian koir lagu Inggeris diikuti dengan persembahan kumpulan harmonika memainkan lagu Inggeris juga.
Kemudian tibalah ucapan-ucapan yang semuanya dibuat dalam bahasa Melayu. Saya dapati bahasa Cina cuma diselitkan apabila pengucapnya agak ragu sama ada semua pendengar boleh faham bahasa Melayu yang digunakan. Tetapi saya dapati boleh dikatakan semua hadirin faham bahasa Melayu. Buktinya apabila pengucap menyebut peribahasa-peribahasa Melayu hadirin bertindak positif seperti ketawa dan bertepuk tangan.
Majlis dirasmikan oleh Dato' Hon Choon Kim seorang ahli MCA yang pernah menjadi Ahli Parlimen Seremban dan seterusnya menjadi Timbalan Menteri Pelajaran. Walau pun saya tahu hampir keseluruhan hadirin mengundi untuk parti pembangkan di PRU 13 baru-baru ini, mereka tidak sedikit pun menunjukkan sikap bermusuh kepada tetamu kehormat ini. Mereka tekun mendengar ucapannya dalam bahasa Melayu sambil ketawa dan bertepuk seperti yang saya sebut tadi.
Sepatutnya kita orang-orang Melayu belajar dari majlis ini. Hadirin mungkin berlainan fahaman politik tetapi mereka boleh bersatu dalam bidang lain. Di sini bidang fotografi, contohnya.
Satu lagi perkara yang saya lihat dari majlis ini ialah tiada jamuan disediakan. Ini satu perkara yang orang Melayu kena belajar juga. Kita seolah-olah datang ke mana-mana majlis hanya untuk makan. Contohnya di satu kempen pilihanraya baru-baru ini hadirin yang datang tidak sabar kerana tetamu kehormat lewat sampai. Mereka terus makan dan meninggalkan majlis. Tetapi di bulan puasa kita boleh pula mengaturkan apa-apa majlis.
Tetamu kehormat memberi ucapan dan merasmikan majlis. Tiada tulisan dalam bahasa Melayu boleh dimaafkan kerana majlis dijalankan dalam bahasa itu.
Saya dikelilingi hadirin Cina.
Satu lagi gambar saya dikelilingi hadirin Cina.
No comments:
Post a Comment