Dalam ucapannya selepas Barisan Nasional (BN) baru sahaja menang Pilihanraya Umum ke 13 (PRU13) baru-baru ini Dato' Seri Najib mengatakan calon-calon BN dari parti MCA dan Gerakan kalah kerana apa yang disebutnya 'Chinese tsunami' atau 'tsunami Cina'. Saya kurang setuju. Bagi saya ia lebih tepat dinamakan 'urban tsunami' atau 'tsunami bandar'. Saya akan cuba menumpukan perhatian kepada bandar Seremban sebagai contoh.
Selepas PRU 5 tahun 1974 saya terdengar boss saya, seorang berbangsa Ceylonese berkata mantan Menteri Besar Negeri Sembilan Dr. Mohamad Said pernah berkata jika jalan-jalan di bandar Seremban diturap dengan emas pun orang-orang Cina di sini akan memilih parti pembangkang. Dari cara percakapannya, saya tahu boss saya itu pun memilih pembangkang, iaitu parti DAP.
Memang terdapat ramai keturunan Ceylonese (yang berasal dari Sri Lanka yang dahulu dipanggil Ceylon) di Seremban. Oleh kerana mereka tidak menganggap diri mereka keturunan India, mereka tidak memasuki atau menyokong MIC kerana orang Ceylonese juga menganggap diri mereka lebih tinggi darjat dari orang India. Dari itu di pilihanraya sudah tentu mereka tidak akan memilih parti yang berkawan dengan MIC, baik MCA atau UMNO.
Saya membuat contoh di atas untuk menunjukkan bukan orang Cina (yang kebanyakannya tinggal di bandar) sahaja yang menyokong parti pembangkang dari dulu, tapi bangsa-bangsa lain juga. Sekarang orang Melayu pun sudah ramai yang tinggal di bandar-bandar seperti Seremban dan saya akan pergi ke topik itu kemudian.
Memang benar ada seketika parti BN menang di Seremban dan pernah juga menang 100% di Negeri Sembilan. Saya ramai juga kawan-kawan berbangsa Cina dan bila ditanya kenapa mereka menyokong BN jawapannya ialah mereka percaya BN mesra peniaga atau 'business friendly'. Tetapi apa akan jadi jika mereka tidak lagi menganggap BN sebagai 'business friendly'? Atau mereka menganggap lawan BN juga 'business friendly'. Apatah lagi jika parti-parti lawan itu lebih 'business friendly'. Saya sebut 'parti-parti' di sini oleh kerana jika dahulu mereka menganggap DAP sahaja sebagai parti pembangkang, sekarang sudah ada PAS dan PKR.
Sekarang saya pergi kepada bangsa Melayu pula. Dulu tidak ramai orang Melayu yang tinggal di bandar Seremban. Mereka masih tinggal di kawasan-kawasan kampung seperti Paroi, Ampangan, Rasah dan Mambau. Senawang dan Seremban 2 masih hutan dan hanya segelintir yang tinggal di Sikamat.
Oleh kerana kebanyakan orang Melayu Seremban tinggal di pinggir dan luar bandar, mereka perlukan pertolongan politik untuk mendapatkan kemudahan infrastruktur seperti jalan dan bekalan air. Oleh kerana kerajaan yang memerintah adalah BN, sudah tentu mereka memilih UMNO. Dari itu banyaklah cawangan UMNO di pinggir dan luar bandar ini. Melalui UMNO mereka dapat jalan berturap, bekalan air dan elektrik dan juga balai raya.
Bagi keturunan India yang tinggal di Jalan Labu dan Jalan Lobak mereka juga menubuhkan cawangan MIC untuk tujuan yang sama.
Bercakap mengenai balai raya saya ingin bercerita satu pengalaman. Dalam satu mesyuarat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang saya hadiri wakil dari Pegawai Daerah (DO) dipanggil untuk menyelesaikan satu masalah. Balai raya kampung itu baru sahaja siap dan pemuda UMNO marah kerana penjagaannya diberi kepada JKKK dan bukan kepada mereka. Mereka kata sepatutnya mereka yang menjaga kerana mereka yang memohon balai raya itu.
Itulah contoh di mana ramai orang kurang faham fungsi parti dan kerajaan. Wakil DO terpaksa menerangkannya. Walau pun UMNO yang memohonnya, tetapi balai raya ialah bangunan kerajaan dan untuk kamung badan yang bertanggungjawab ialah JKKK yang sepatutnya tidak bersangkut paut dengan politik. Bagaimana jika UMNO memohon jalan berturap dan apabila diberi oleh kerajaan UMNO pula mengutip tol di jalan-jalan kampung? Juga Balai Polis, takkan tiba-tiba seorang UMNO dari mana-mana kampung dlantik menjadi OCnya atas alasan UMNO yang memohon Balai Polis tersebut.
Apabila pinggir bandar Seremban dibangunkan, infrastruktur juga sama-sama membangun. Jalan Seremban - Paroi yang dulu dua lorong sudah menjadi empat lorong sekarang. Sekarang sudah ada pihak yang mengutip sampah yang dulunnya dibuang merata-rata. Bahu jalan dipotong rumputnya dan jalan sentiasa diturap. Orang ramai tidak perlu menggunakan saluran politik untuk mendapatkan itu semua.
Juga jika kampung-kampung terdapat papan tanda menunjukkan 'Cawangan UMNO' dan juga parti-parti lain papan-papan tanda itu seolah-olah tidak nampak di kawasan bandar.
Dipendekkan cerita orang Melayu Seremban yang dulu dianggap orang kampung sekarang tidak boleh lagi dianggap begitu. Senawang dan Seremban 2 yang dahulu hutan sudah menjadi hutan batu sekarang. Sikamat yang dulu cuma segelintir menduduk Melayunya sekarang sudah ramai, sehingga terpaksa disediakan Masjid, Balai Polis dan Klinik Kesihatan di sini. Cuma bank sahaja yang masih tak nampak.
Jadi orang Melayu di bandar Seremban juga sudah menikmati kemudahan-kemudahan seperti bangsa-bangsa lain. Mereka pergi ke Pasaraya seperti Giant dan Tesco untuk membelibelah dan tidak lagi di kedai-kedai runcit. Secara tak langsung mereka juga berfikir seperti bangsa Cina yang memilih pembangkang walau pun jalan mereka diturap emas.
Oleh itu tidak hairanlah jika di Negeri Sembilan ini kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat merupakan satu-satunya kerusi yang tidak dimenangi oleh calon BN dari UMNO. Kerana saya fikir orang Melayu di Sikamat juga sudah mula berfikir seperti orang Cina. Oleh itu tepatlah jika saya katakan tsunami politik di PRU 12 dan 13 bukan tsunami Cina, tetapi trsunami bandar sebenarnya.
Untuk memenangi hati orang di bandar tidak kira bangsa apa, BN terpaksa mengkaji kehendak orang bandar. Contohnya seperti yang saya sebut tadi iaitu orang Cina pernah menyokong BN kerana mereka menganggap BN 'business friendly'. Pendekatan seperti hanya BN yang boleh menyediakan pembangunan tidak boleh diterima lagi.
1 comment:
Mereka memerlukan ketelusan, bersih dari rasuah dan penyalahgunaan kuasa dan ikhlas ketika memberi perkhidmatan...itulah kenapa BN ditolak di bandar2...politik pembangunan dan bantuan kewangan jangka pendek memang diterima ramai, tetapi yg terima tidak semestinya sokong
Post a Comment