Tuesday, July 29, 2014

Saya akan terus mengambil gambar


Gambar di atas ialah keadaan longkang besar di belakang satu Bazar Ramadan yang popular di Seremban. Beribu dan mungkin berjuta lalat berterbangan dalam longkang besar tersebut, ada yang baru menetas dari kepompong dan tidak kurang pula sedang betelur di sisa makanan yang sudah tentu dibuang kebanyakannya oleh peniaga bazar tersebut. Ulat-ulat yang baru menetas dari telur sedang bergelumang sambil menjamu selera yang diberi percuma oleh peniaga Bazar Ramadan sebelum bertukar menjadi kepompong.

Jadi kehadiran Bazar Ramadan tersebut bukan sahaja menjadi punca makanan kepada manusia, tetapi musuh manusia juga. Kerana lalat, seperti nyamuk adalah serangga pembawa penyakit juga. Tetapi kita seolah-olah lupa tentang hakikat ini. Hari-hari kita dengar mengenai kempen anti denggi, tetapi kita jarang-jarang mendengar kempen anti typhoid dan anti kolera, iaitu antara penyakit yang vektor atau pembawanya ialah lalat. Mungkin kita sudah biasa memakan makanan tercemar dan menjadi lali. 

Ekoran itu sudahlah tentulah saya yang memang terlatih dalam bidang kesihatan dan memenuhkan tempoh kerjaya semata-mata dalam bidang itu terkejut melihat keadaan longkang tersebut. Tindakan saya seterusnya ialah mengambil gambar longkang tersebut dari kamera yang sentiasa ada dalam poket seluar saya. Saya jarang-jarang mengambil gambar menggunakan telefon bimbit kerana mutunya tidak seperti gambar dari kamera biasa. 

Saya terus memuatkan gambar itu ke laman sosial Facebook saya dengan dikongsi atau 'share' oleh satu kumpulan terdiri-diri dari kakitangan jabatan lama saya. Saya juga menulis melalui email kepada pihak berkuasa mengenai sampah (atau nama saintifiknya sisa) dan pembersihan awam. Disebabkan hari itu hari minggu saya hanya dapat menghubungi pejabat mereka keesokan harinya. 

Di sinilah seorang dari ahli kumpulan saya itu menegur saya meletakkan gambar ke laman sosial. Rupa-rupanya dia seorang budak mentah yang baru sahaja berkenalan dengan laman sosial itu. Agaknya dia belum sempat melihat beratus gambar yang saya telah poskan dalam laman tersebut.

Saya bukan baru dalam bidang mengambil gambar ini. Semasa bekerja dulu apabila membuat penguatkuasaan saya mengambil gambar untuk dijadikan bukti. Saya dapati juga apabila saya mengeluarkan saman sambil mengambil gambar orang yang kena saman itu cepat-cepat menyelesaikannya kerana dia tahu saya menyimpan bukti. Itu sebelum jabatan saya membekalkan kamera kepada pegawai dan kakitangannya.

Jadi kepada mereka yang kurang senang melihat saya mengambil gambar saya tidak perlu memohon maaf. Saya akan terus mengambil gambar.      


1 comment:

Abdul Hamid Hussin said...

Memang menyodehkan.....ontah bilo bangso kito ni akan sodar.....bukan eh penjual yo yg tak ambik tau, se pomboli pun membiar an amalan sebogini dongan caro toruih momboli.... bilo sepatut eh memboikot