Thursday, October 9, 2014

Antara membakar lemak dengan membakar minyak.

Jalan dari Ulu Temiang ke LEKAS dalam pembinaan.

Saya dapati perangai orang Malaysia semasa meletak kereta tidak berubah. Perangai yang saya maksudkan ialah meletak kereta paling hampir dengan tempat tujuan mereka seperti contoh-contoh berikut:
  1. Beberapa tahun lalu saya ke Stadium Shah Alam untuk melihat perlawanan bolasepak antara Selangor dengan Negeri Sembilan. Saya datang awal dan dapat meletak kereta hampir dengan bangunan stadium. Tetapi apabila hendak balik saya dapati kereta saya dihalang oleh kereta-kereta lain yang diletakkan di luar petak betul-betul di belakang kereta saya, sedangkan banyak lagi petak kosong di belakang sana. Pemandunya tidak mahu membakar lemak dengan meletak kereta jauh dan kereta pun tidak membakar minyak tercari-cari petak kosong. Cuma hati saya yang terbakar. 
  2. Saya pergi kerja dengan skuter, tetapi kadang-kadang terpaksa berkereta juga. Untuk itu saya letakkan kereta secara percuma dalam bangunan hotel lebih kurang 200 meter di hadapan pejabat. Selama ini tidak ada sesiapa menegur saya, meminta wang atau memberi notis. Saya menasihatkan kawan-kawan saya yang datang ke pejabat untuk berbuat sama, tetapi mereka memilih untuk meletak kereta di petak betul-betul di hadapan pejabat walau pun terpaksa memasukkan duit ke dalam meter letak kereta. Kadang-kadang mereka terpaka membakar lemak turun naik dari pejabat ke petak letak kerata untuk menambah duit.
Mereka yang sering ke hospital kerajaan tentu tahu akan susahnya untuk meletak kereta. Lihat sahaja keadaan di Hospital-hospital Kajang dan Putrajaya. Semalam saya melawat anak buah saya di Hospital Melaka. Setelah sekian lama tidak pergi ke hospital itu saya rasa lega melihat tanda arah bertulis 'Tempat Letak Kereta Bertingkat'.

Saya pun mengikut tanda arah itu dan meletak kereta di kompleks yang dimaksudkan tanpa susah payah. Cuma lepas itu saya terpaksa membakar lemak berjalan beratus meter ke bangunan wad. Saya fikir tak apalah, pagi semalam pun saya sudah membakar lemak berulang alik ke tangki air di hadapan rumah. Di tengah hari pula saya membakar lemak sekali lagi menaiki bukit untuk melihat kerja-kerja membina jalan baru dari Ulu Temiang ke Lebuhraya Kajang - Seremban atau LEKAS seperti gambar di atas. In Sya Allah tidak lama lagi kuranglah saya membakar minyak kereta untuk pergi ke LEKAS.

Dari bangunan wad saya perhatikan tempat letak kereta terbuka berhampiran wad Hospital Melaka sudah penuh. Tetapi seperti di Shah Alam ada juga yang meletak kereta menghalang orang lain. Ini dibuktikan semasa di dalam wad apabila saya terdengar pengumuman meminta kereta sekian sekian dialihkan kerana menghalang.

Tidak kurang dengan itu, banyak juga kereta berpusing-pusing mencari petak kosong. Sudah tentu kereta berada di gear satu tidak kira manual atau automatik dan membakar banyak minyak. Pemandunya pula sanggup membakar minyak kereta dari membakar lemak di badan mereka jika meletak kereta di kompleks bertingkat tadi.

Bagi mereka ini walau pun minyak berharga RM 3 se liter pun mereka tetap akan membakarnya dengan sia-sia.

Sekian. 

2 comments:

Abd Karim MJ said...

Sebenarnya ramai orang yang bersikap PEMALAS demi kesihatan sendiri.. kalau boleh dia nak parking betul betul depan pintu hospital tuh.

Monalita Mansor said...

masalah sikap. Kalau tak menyusahkan orang lain, tak mendatangkan isu. Tapi kalau menyulitkan orang lain, bukn ke membakar hati orang pulak?