Monday, June 22, 2015

Mengapa saya menitis air mata.



Mendiang George Harrison. Gambar inilah yang terpampang di belakang pentas semasa bahagian pertama Concert for George.


"Ada seorang kawan FB saya tanya, selalu ke saya menangis? Saya jawab masa kecil dulu ada, sekarang tak lagi. Nak menitis air mata pun susah. Tetapi semalam saya menitis air mata bila melihat 'Concert for George' di Youtube."

Itulah status yang saya letak di laman sosial Facebook saya semalam. Oleh kerana ada kawan saya yang ingin tahu kenapa saya menitis air mata, saya terpaksa menjelaskannya di blog saya ini kerana ceritanya bukan setakat beberapa ayat.

George yang dimaksudkan dalam 'Concert for George' ialah mendiang George Harrison, dilahirkan pada 25 Februari 1943 dan meninggal dunia pada 29 November 2001 kerana barah otak. Concert for George diadakan di Royal Albert Hall, London pada 29 November 2002, iaitu tepat setahun peninggalannya.

Sesiapa yang sebaya dengan saya dan tidak mengenali George Harrison sungguh tidak patut, kerana dia ialah salah seorang anggota band muzik paling terkenal di dunia, The Beatles. Itu sebab kepada kawan yang bertanya kenapa saya menitis air mata itu, saya katakan cerita saya bermula pada tahun 1963. Ini kerana saya mula kenal dan minat The Beatles pada tahun itu.

Walau pun George pemain lead guitar The Beatles, tetapi kerana bakat John Lennon dan Paul McCartney serta karisma drummer mereka Ringo Starr, George selalu dipanggil Beatle ke-4. Semasa The Beatles bakatnya seakan tersekat dan lagu-lagu ciptaan dan nyanyiannya terhad, sehinggalah dia mencipta dan menyanyikan lagu 'Something' bersama mereka. Malangnya ia berlaku semasa The Beatles di ambang berpecahan.

The Beatles akhirnya berpecah pada tahun 1970 dan membawa haluan masing-masing sebagai artis solo. Tetapi seperti tidak dijangka Beatle ke-4 itulah yang paling berjaya sebagai artis solo selepas itu.

Setahun selepas The Beatles berpecah, George telah mengumpulkan kawan-kawannya untuk mengadakan satu konsert yang dipanggil 'Concert for Bangladesh' di Madison Square Garden, New York. Konsert itu ialah konsert kebajikan untuk membantu pelarian dari Bangladesh yang lari ke India kerana ditekan oleh Pakistan yang tidak mahu mereka merdeka. Antara yang menjayakan Concert for Bangladesh ialah pemain sitar Ravi Shankar, bekas Beatle Ringo Starr dan kawan baik George, Eric Clapton.

Majalah TIME telah melabelkan Concert for Bngladesh sebagai konsert rock yang paling hebat dipentaskan, dan saya beruntung kerana mempunyai DVD konsert tersebut. Apa yang menarik perhatian saya di Concert for Bangladesh ialah kesemua artisnya bukan Islam termasuk seorang Yahudi, Bob Dylan. Dan mereka berbakti untuk membantu pelarian Bangladesh yang kebanyakannya Islam.

Baru-baru ini apabila mendengar satu forum mengenai pelarian Rohingya di surau saya, terfikir saya kenapa tidak ada artis yang menganjurkan satu konsert yang dipanggil Concert for Rohingya? Mungkin jawapannya ialah orang seperti George sudah tidak ada lagi dalam dunia ini.

Saya sedar mengenai Concert for George dan telah melihatnya sedikit-sedikit di Youtube. Tetapi sejak dua hari lepas saya telah melihat konsert itu sepenuhnya. Banyak persamaan antara Concert for Bangladesh dengan Concert for George, bukan setakat nama.

Antaranya bahagian pertama ialah muzik India. Ini kerana di tahun-tahun akhir The Beatles, George telah tertarik dengan muzik India dan menggunakan pemuzik India untuk tiga lagunya dalam rekod-rekod The Beatles. Di konsert Bangladesh, Ravi Shankar bermain sitar tetapi di konsert George walau pun Ravi hadir sama, permainan sitar diserahkan kepada anak perempuannya Anoushka Shankar. Anoushka kemudian memimpin orkestra Ravi Shankar memainkan lagu Arpan ciptaan khas Ravi untuk konsert ini.     

Seperti konsert Bangladesh, bahagian kedua konsert George ialah persembahan muzik rock. Di sini kawan-kawan George memainkan lagu-lagu ciptaan dan nyanyiannya semasa dan selepas The Beatles. Melihat persembahan inilah membuatkan air mata saya mengalir. Ini kerana mereka menyanyikannya seperti mana lagu-lagu asal semasa George bersama The Beatles dan selepas itu. Mereka seolah-olah menumpukan segala bakat mereka 'for George' dan bukan kepada penonton.

Kawan baik George, Eric Clapton yang tiba di saat-saat akhir di New York 31 tahun sebelumnya mengambil tugas Musical Director dan pemain gitar utama, sama seperti tugas George semasa konsert Bangladesh. 

Satu perbezaan ketara antara Madison Square Garden, New York dengan Royal Albert Hall, London ialah disiplin. Di New York pada tahun 1971 artis dan penonton dibenarkan minum dan merokok semasa persembahan. Tetapi di London tidak. Siti Norhaliza boleh mengesahkannya.

Sekian. 

1 comment:

Uncle said...

Well written bang...thank you..