Sunday, August 20, 2017

Bila dialog menjadi kecoh.

Kekecohan yang berlaku di program yang dinamakan 'Nothing To Hide 2' baru-baru ini mengingatkan saya kepada satu dialog di mana saya terlibat, hampir-hampir kecoh.

Saya mula terlibat dengan dialog sebagai pegawai kerajaan di tahun 1972, bila saya berumur 22 tahun dan masih bujang, Saya baru sahaja beberapa bulan ditempatkan di Bachok, Kelantan setelah tamat latihan jawatan.

Di masa itu menjadi polisi Kementerian Kesihatan menghantar pegawai-pegawainya yang baru tamat latihan untuk berkhidmat di pantai timur. Walau pun ada yang menganggapnya satu hukuman, bagi saya ia satu penghargaan, oleh kerana bukan semua orang muda yang berdarah panas boleh menghadapi cabaran bekerja di tempat yang cukup asing baginya. Maklum sajalah kedudukan kesihatan di pantai timur di masa itu tidaklah sebaik sekarang.

Saya dihantar oleh ketua jabatan saya di Pasir Puteh, untuk berdialog dengan orang-orang kampung di Kandis dalam Jajahan (panggilan di Kelantan untuk Daerah) Bachok. Di tahun 1972 Kandis dianggap 'ulu', tidak seperti sekarang yang sudah maju.

Dialog diatur ialah Jabatan Penerangan dan saya dapati ada jabatan lain seperti Jabatan Pertanian juga dipanggil untuk dialog itu. Moderator dari Jabatan Penerangan bernama Awang dan beberapa tahun kemudian gilirannya pula sebagai anak Kelantan ditempatkan di Seremban, Negeri Sembilan.  

Encik Awang telah mengawal dialog dengan baik sekali. Dari mula lagi dia telah mengenakan syarat-syarat tentang soalan-soalan yang boleh dan tidak boleh ditanya. Dia juga mengingatkan supaya hadirin tidak menguji kami dengan tujuan untuk memalukan.

Syukurlah walau pun itu pertama kali saya menghadapi dialog dari ilmu dan pengalaman yang sedikit, saya anggap saya berjaya.

Apabila saya bekerja dengan Majlis Pebandaran Seremban (MPS) mulai tahun 1973 saya juga sering menghadapi dialog. Hadirin kali ini bukan sahaja orang kampung, tetapi orang bandar berbagai bangsa. Cuma kali ini saya mengikuti Ketua-Ketua Jabatan saya dan tugas saya cuma menyediakan data-data untuk menjadi rujukan mereka.

Satu dialog yang saya tidak lupa ialah dengan satu persatuan penjaja dan peniaga kecil Melayu di Seremban. Dari dulu hingga hari ini memang banyak persatuan-persatuan yang mewakili penjaja dan peniaga-peniaga kecil. Saya hairan juga pada mulanya, tetapi apabila saya sendiri terlibat dengan beberapa NGO setelah bersara, baru saya faham.

Sebelum itu ada beberapa penjaja berbagai bangsa termasuk mereka yang bertaraf Penduduk Tetap berniaga tanpa peraturan dan kawalan di sekitar panggung Rex, Seremban. Beberapa persatuan telah melobi MPS dan Kerajaan Negeri untuk menjadi juara penjaja-penjaja ini. Akhirnya satu persatuan penjaja berjaya mendapat kepercayaan Menteri Besar di masa itu, Dato' Seri Utama Rais Yatim.

Dipendekkan cerita MPS diminta bekerjasama dengan persatuan penjaja ini untuk membanci penjaja-penjaja di sekitar panggung tersebut. Setelah dibuat bancian, didapati ada penjaja yang tidak mempunyai lesen. Antaranya terdapat beberapa Penduduk Tetap berbangsa Indonesia.

MPS memutuskan supaya semua penjaja berkenaan diberi lesen, tidak kira mereka warganegara atau tidak, kerana memikirkan mereka telah berniaga begitu lama di situ. Mereka kemudian ditempatkan secara teratur di sebahagian Jalan Tun Hassan, Seremban mulai pukul 5 petang setiap hari.

Itulah kali pertama dan terakhir MPS memberikan apa-apa lesen kepada Penduduk Tetap. Boleh dikatakan semua mereka akhirnya mendapat kewarganeraan Malaysia. Dari tinjauan saya baru-baru ini, ada juga dari mereka telah meninggal dunia.

Pemberian lesen penjaja kepada Penduduk Tetap ini telah menjadi isu kepada beberapa pihak, terutama satu persatuan penjaja lain yang bersaing dan bermusuh dengan persatuan yang dipercayai oleh YAB Menteri Besar itu.

Satu hari persatuan penjaja yang tidak berpuas hati itu telah memanggil MPS untuk berdialog di Dewan Perbandaran lama di Jalan Utam Singh, Seremban. Menurut mereka tujuannya ialah untuk membincangkan masalah penjaja di Bandar Seremban secara am.

Kali ini saya dan seorang kawan saya diminta mewakili MPS di dialog tersebut. Pengerusi persatuan penjaja berkenaan menjadi moderator dialog. Tetapi tidak seperti En. Awang di Kelantan, dia tidak pula memberi syarat kepada ahli-ahlinya tentang jenis soalan-soalan yang boleh dan tidak boleh disoal.

Pada mulanya ahli-ahlinya di bawah sana menanyakan soalan-soalan biasa sahaja, contohnya berapa jumlah penjaja Melayu dalam kawasan MPS. Kemudian tanpa di sangka, moderator yang juga pengerusi persatuan pesara ini telah turun ke bawah dan dengan nada berapi menanyakan soalan-soalan sentisitif kepada saya dan kawan saya. Sambil itu ahli-ahli dan penyokong yang dibawanya memberi sorakan sokongan kepadanya.

Apa salahnya jika dia bertanyakan soalan-soalan itu secara tertib dari kerusi moderatornya disebelah saya? Barulah saya tahu, seperti yang disebut oleh En. Awang di Kandis, tujuan dialog ini ialah untuk menguji dan memalukan MPS. Soalan utamanya ialah kenapa MPS memberikan lesen kepada Penduduk Tetap.

Saya jawab MPS cuma mengeluarkan lesen penjaja kepada Penduduk Tetap di Jalan Tunku Hassan itu sahaja kerana memikirkan mereka telah lama berniaga di situ. MPS tidak mengeluarkan lesen kepada Penduduk Tetap di mana-mana lagi selepas itu. Memikirkan dialog ini telah menyimpang dari tujuan asal, saya dan kawan saya telah meninggalkan majlis itu. Kawan saya sempat berkata jika kami dipanggil untuk dimalukan, minta maaflah.

Kemudian baru saya dapat tahu bahawa persatuan ini tidak berpuas hati kerana pada mulanya mereka juga ingin menjadi juara kepada penjaja-penjaja asal yang bersepah di sekeliling panggung Rex tersebut. Di samping itu mereka ingin menunjukkan kepada penyokong-penyokong mereka  bahawa mereka ini perihatin.

Sekian.

No comments: