Bendera Poland
Walau pun saya tidak belajar sampai ke universiti, saya cukup sensitif dengan fakta mengenai apa-apa perkara di keliling saya. Baru-baru ini saya telah menegur jabatan lama saya kerana telah menulis nama jalan di taman perumahan saya dengan ejaan Jawi yang salah.
Mungkin ada orang menganggap salah ejaan itu satu perkara yang kecil dan boleh dimaafkan dan dibiar begitu sahaja. Tetapi tidak bagi saya. Bagi saya fakta mestilah betul. Sebagai contoh, nama seseorang itu hendaklah ditulis sebagaimana terdapat di Kad Pengenalan.
Untuk pengetahuan pembaca, nama bapa saya di Kad Pengenalan abang dan adik lelaki saya ditulis sebagai KASIM sedangkan nama itu itu ditulis KASSIM di Kad Pengenalan saya dan adik perempuan saya. Kesilapan itu sudah berlaku semasa kami dilahirkan, tetapi saya tetap menulis nama penuh adik beradik kandung saya itu seperti mana terdapat di Kad Pengenalan saya dan mereka.
Begitu juga dengan dengan gelaran anugerah kepada seseorang. Ada yang dianugerah Dato', Datuk, Dato' Seri, Datuk Seri, Tan Sri dan sebagainya. Saya akan cuba menulisnya dengan betul walau pun ada orang yang tidak senang dengannya. Cuma saya tidak sensitif dengan gelaran Haji dan Hajah. Saya sendiri jarang-jarang menulis atau menyebut gelaran Haji di hadapan nama saya bila menurunkan nama saya di mana-mana dokumen atau berhubung dengan sesiapa.
Saya juga tidak sensitif dengan singkatan anugerah di belakang nama seseorang, contohnya PJK, ASN atau AMN. Saya sendiri tidak pernah menunjukkan singkatan anugerah yang saya terima dari Paduka Seri Yang Di Pertuan Agong.
Dari itu bila saya terbaca bendera negara Indonesia dicetak terbalik atas ke bawah di buku cenderamata Sukan SEA yang sedang berlangsung di Kuala Lumpur dan bandar-bandar lain sekarang, saya menggeleng kepala.
Kesilapan serupa ini tidak patut berlaku. Orang yang bertanggung jawab cuma perlu melayar internet untuk memastikan rupa bentuk bendera negara-negara dalam dunia ini. Mungkin si bertanggung jawab itu keliru antara bendera negara-negara Poland dengan Indonesia.
Ya bendera Indonesia akan menjadi bendera Poland jika diterbalikkan. Begitu juga sebaliknya., bendera Poland akan menjadi bendera Indonesia jika diterbalikkan. Saya sendiri sering keliru dalam hal ini jika ditanya secara spontan sama ada warna merah berada di atas warna putih atau sebaliknya di bendera kedua-dua negara yang berjauhan itu.
Tetapi jika saya dikehendaki membuat dokumen seperti cenderamata dan sebagainya di mana nama penuh seseorang atau imej bendera mana-mana negeri atau negara perlu dimasukkan, saya akan berhati-hati.
Sekian.
No comments:
Post a Comment