Friday, January 18, 2019

Semoga emak aman di sana - Bahagian 1.

Emak, duduk paling kiri, dengan adik beradiknya. Yang tinggal cuma Mak Cik Saleha, yang duduk di tengah.

Adik beradik emak. Emak, paling kiri, mendudukung saya. Yang berbogel ialah adik bongsunya Zulkopli, muda setahun lebih dari dari saya. Budak yang berdiri ialah arwah abang saya Shamsudin. Kesemua sudah meninggal dunia, melainkan saya dengan Mak Cik Saleha, berdiri nombor dua dari kanan. 

Emak, yang sedang memerah kelapa, dengan kawan-kawannya semasa persediaan satu kenduri di kampung. Kesemua yang di hadapan itu sudah meninggal dunia.   

Hari Sabtu lepas, 12 Januari 2019 amat bererti bagi saya. Pada jam 3.30 petang saya bersama-sama dengan kawan-kawan sekolah menyerahkan sebuah motosikal untuk seorang yang kami sayangai. Untuk mengetahuinya sila baca Motosikal untuk Abang Shaari, iaitu pos blog saya sebelum ini. Program itu berlangsung di Seremban 2. 

Selepas itu saya tiba-tiba terfikir untuk berjumpa dengan emak saya yang tinggal dengan adik bongsu saya Razak di Taman Bukit Chedang, Seremban. Seremban 2 dan Taman Bukit Chedang cuma bersebelahan. Sudah beberapa bulan saya tidak berjumpa dengan emak walau pun ada beberapa kali pergi ke Seremban 2 dan sekitarnya. Pejabat saya di Taman A.S.T., Jalan Sungai Ujung, Seremban pula cuma lebih kurang 2 kilometer dari Taman Bukit Chedang.

Saya tidak menyangka pertemuan saya dengan emak di hari itu merupakan kali terakhir saya dapat berbual dengan emak. Emak masih kenal saya walau pun dia mengadu pening kepala dan saya sempat berbual seketika dengannya.

Hampir Maghrib hari Selasa 15 Januari 2019 saya dipanggil oleh adik saya Shamsiah yang berada dengan emak. Emak cuma memandang saya dan tidak berkata apa-apa. Oleh kerana dia tidak demam atau sesak nafas kami tidak menghantarnya ke hospital. Razak kemudian pergi kerja dan Shamsiah balik ke rumahnya di Shah Alam. Emak tinggal dengan menantunya Norsham, isteri Razak.

Pagi esoknya Rabu 16 Januari 2019 Shamsiah memanggil saya dan memberitahu emak mungkin sudah meninggal dunia. Saya terus menalipon Razak yang memberitahu emak sudah tiada lagi. Dia berada di Balai Polis Seremban 2 untuk membuat laporan.

Saya dan isteri bergegas ke rumah Razak. Memang benar emak sudah meninggal dunia. Mula-mula saya fikir dia meninggal dunia di dalam tidur. Tetapi mengikut Norsham dia seorang mengadap emak semasa emak menghenbuskan nafas terakhir lebih kurang pukul 7.15 pagi itu.

Mengikut prosedur, saya pun menalipon 999 dan disambung ke bahagian ambulans Hospital Tuanku Jaafar, Seremban. Bebarapa minit kemudian sebuah ambulans datang dan pegawai-pegawainya membuat ujian dan mengesahkan emak sudah meninggal dunia.

Emak berumur 92 tahun 6 bulan semasa meninggal dunia. Dia ialah anak sulung kepada tujuh beradik. Sebelum ini lima dari adik-adiknya sudah meninggal dunia termasuk adik bongsunya yang muda satu tahun lebih dari saya.

Emak berkahwin tiga kali. Pertama, semasa belasan tahun, dengan seorang bernama Abu Samah dari kampung berdekatan. Mereka mendapat seorang anak perempuan bernama Noriah yang meninggal dunia semasa kecil. Mengikut emak, kerana kemiskinan dia tidak menghantar anaknya itu ke hospital apabila jatuh sakit. Tidak lama lepas itu mereka bercerai. Mengikut ceritanya emak tidak mahu mengikut suaminya bekerja di Kelantan.. 

Setelah menjanda beberapa tahun, emak kahwin dengan suami kedua, iaitu ayah saya Kassim. Ayah saya berasal dari Kg. Assam Jawa, Kuala Selangor, Selangor. Sebelum itu dia telah berkahwin beberapa kali di Selangor dan Perak dan sudah berumur.

Di perkawinan-perkahwinan ayah sebelum ini dia tidak mempunyai anak. Oleh itu ramai yang menyangka dengan emak saya dia juga akan begitu. Tetapi mereka dikejutkan bila ayah dan emak dikurniakan dengan empat orang anak.

Seperti dirancang, kami pula lahir selang dua tahun satu bulan antara satu. Abang saya Shamsudin lahir pada bulan Disember 1947, saya di bulan Januari 1950, adik saya Zahari pada 29 Februari 1952 dan Shamsiah pada bulan Mac 1954. Zahari cuma merayakan hari lahirnya empat tahun sekali. Antara berempat itu cuma saya dan Sahmsiah yang masih tinggal.

Tetapi kebahagian emak dan ayah tidak lama kerana ayah meninggal dunia pada tahun 1953. Di masa itu abang saya berumur 5 tahun, saya 3 tahun, Zahari 1 tahun dan Shamsiah baru sahaja dikandung emak. 

Dengan tiga anak yang masih kecil dan seorang lagi akan lahir, sudah tentulah masa depan emak dan kami gelap. Emak kemudian berpindah ke rumah ayahnya (datuk saya) yang cuma berdekatan. Atuklah yang membesar dan yang paling penting, menyekolahkan kami. 

Saya bercakap begitu kerana ada seorang dua pupu lelaki saya atau anak kepada sepupu emak, tidak mahu disekolahkan oleh ayahnya. Di masa itu cuma anak-anak lelaki yang dihantar bersekolah. Mak Cik Saleha pernah  menceritakan kekesalannya kepada saya kerana tidak bersekolah. 


Marah dengan sikap saudaranya itu, (saudara isterinya atau nenek saya sebenarnya) atuk telah mengambil dua pupu saya itu tinggal dengan kami sekeluarga dan menghantarnya ke sekolah. Berkawanlah dia dengan tiga adik lelaki emak dan pergi sekolah bersama-sama. Agaknya itulah yang dikesalkan oleh Mak Cik Saleha. Iaitu anak orang dihantar ke sekolah sedangkan anak sendiri tidak.      

Saya masih ingat di buku rekod sekolah, nama penjaga saya ialah atuk, iaitu Rasul bin Taib Imam. Tetapi atuk tidak perlu risau akan rekod pelajaran kami adik beradik, kerana semuanya baik. Cuma selepas atuk meninggal dunia barulah nama itu ditukar kepada nama emak. Itu pun emak cuma dapat menurunkan cap jari, kerana dia tidak tahu menulis atau membaca.

Nasib emak anak beranak tidaklah gelap sebenarnya. Kerana dia anak perempuan yang sulung, dia dapat rumah pesaka dan harta berupa tanah sawah dan dusun. Emak juga memelihara ayam dan itik (serta kambing di satu ketika). Ikan yang sentiasa ada dalam sungai depan rumah kami, tanaman liar seperti kangkung, pucuk ubi dan sayur paku menjadi sumber makanan kami secara percuma. 

Hasil dari tanaman padi di sawah, buah-buahan dari dusun dan ternakan itulah yang membesarkan kami. Itulah sebabnya jika ada orang yang memandang serong kepada Adat Perpatih saya cukup marah. Itu juga sebabnya kenapa sehingga hari ini saya jarang-jarang membeli durian. Saya pernah berkata kepada isteri saya Salmah yang saya ini 'penjual durian' dan bukan 'pembeli durian'. 

Bersambung........   

1 comment:

Anas altijah said...

Innalillah hiwarajiun. Alfatihah.takziah untuk keluarga pak maarof