Thursday, March 5, 2020

Dianaktiri oleh PUSPAKOM.

Menunggu tiga jam dalam kereta.

Pada mulanya saya tidak mahu menukar kereta lagi. Kereta Proton Waja 1.6 Automatik saya yang sudah berumur hampir 20 tahun masih baik. Tetapi tawaran dari kawan baik saya untuk membeli keretanya adalah 'too good to be true'.

Walau pun kereta Waja saya tu  dibeli 'second hand', saya pernah mempunyai empat kereta baru sebelum ini. Tetapi bagi kawan saya yang sudah berumur 61 tahun itu, inilah kali pertama dia hendak merasa kereta baru. Jadi dia tawarkan kereta Honda Accord yang juga dibelinya 'second hand' lapan tahun yang lalu kepada saya.

Saya tahu keadaan keretanya cukup baik, kerana dia cuma menggunakannya pada hujung minggu. Di hari-hari biasa dia menggunakan kereta Produa Kelisa yang didaftar atas nama isterinya. Oh ya, kawan saya ini sedang dalam proses membeli sebuah kereta Honda Accord baru, yang akan menjadi kereta Honda Accordnya yang keempat.

Kawan saya ini yang berbangsa Cina berwatak 'old fashioned' sedikit. Dia tidak memakai jam tangan, walau pun saya telah menghadiahkannya satu. Dia tidak mempunya kad ATM, walau pun mempunyai kad kredit. Untuk membeli keretanya, dia minta saya bayar dengan wang tunai. Katanya jika saya membayar dengan cek atau secara 'on line', dia tetap akan menukarkannya kepada wang tunai. Ini kerana dia akan membayar deposit untuk kereta barunya dengan wang tunai juga.

Pagi tadi dia minta saya pergi ke PUSPAKOM untuk mendapatkan sijil kelulusan sebelum kereta ditukar nama. Sebelum itu dia mengajar serba sedikit mengenai kereta yang sebenarnya sudah menjadi milik saya itu, setelah saya membayarnya dengan wang tunai. Dia kata tidak pernah menggunakan 'CRUISE CONTROL'. Ini dibuktikan bila saya lihat butang-butang 'CRUISE CONTROL' seperti tidak pernah diusik.

Lebih kurang jam 9.00 pagi saya sampai ke PUSPAKOM Senawang. Di sana saya diberitahu untuk pagi itu mereka cuma melayan kereta-kereta yang telah membuat tempahan pemeriksaan secara 'on-line'.  Untuk pelanggan 'walk-in' seperti saya, kami diminta datang pada jam 2.30 petang nanti.

Ini menjadi cabaran bagi saya. Setelah hampir setiap hari menggunakan sistem 'on-line' seperti menghantar email, membeli apa-apa dan membayar bil, baru saya tahu untuk memeriksa kereta pun ada sistem 'on-line'. Saya pun beredar dari PUSPAKOM.

Petangnya saya ke PUSPAKOM lagi. Bila masuk sahaja ke Lebuhraya Lekas dari Persimpangan Jalan Jelebu, saya cuba guna 'CRUISE CONTROL' di kelajuan 80 kmph. Tiba-tiba kereta menukar gear dengan sendiri kerana laluan itu mendaki dan menurun. Ini terbukti bila meter RPM turun dan naik. Wow, ini dia 'CRUISE CONTROL' yang tidak pernah diguna oleh tuan punya kereta sebelum ini.  

Saya tiba di PUSPAKOM sekali lagi pada jam 2.15 petang. Sudah ada lapan orang di depan saya, tetapi kami dilayan tepat pada jam 2.30 petang. Setelah mendaftar saya pun masuk di lorong yang di tulis 'WALK-IN' di luar bangunan. Lorong ini terletak di tengah-tengah antara lorong kenderaan komersial dengan lorong 'ON LINE'.

Di lorong ini lah saya terpaksa menunggu hampir tiga jam tanpa bergerak. Tetapi saya sudah bersedia dengan membawa satu botol minuman dan sebuah buku. Tetapi saya sempat membaca cuma dua muka. Waktu lain saya gunakan untuk berborak.

Saya fikirkan ketiga-tiga lorong akan bergerak serentak. Rupanya tidak. Kenderaan komersial seperti van dan lori kecil ada lorong pemeriksaannya sendiri dalam bangunan. Tetapi kami di lorong 'ON LINE' dan "WALK IN' berkongsi lorong pemeriksaan. Jangkaan saya pula yang kami akan masuk ke dalam bangunan secara 'alternate' atau beranti-ganti juga meleset.

Ini kerana PUSPAKOM memeriksa kereta-kereta yang membuat penempahan secara 'on line' dahulu. Bila lorong 'ON LINE' di luar sudah kosong, barulah kami di lorong 'WALK IN dibenarkan masuk'. Di lain perkataan, terdapat diskriminasi di PUSPAKOM dan kami yang 'WALK IN' dianak tirikan.

Di samping itu pula terdapat kereta-kereta yang sudah masuk ke lorong pemeriksaan di dalam yang di minta keluar dan masuk semula. Inilah kereta-kereta yang dipasang cermin gelap. Setelah ditanggalkan lapikan cermin gelap di satu ruang khas di luar bangunan, kereta-kereta ini dibenarkan pula memotong giliran untuk masuk semula. Alasannya mereka sudah membuat bayaran. 

Syukur juga kawan saya ini walau pun mengusahakan kedai aksesori kereta, cermin keretanya tidak digelapkan.

Akhirnya, hampir jam enam barulah saya meninggalkan kompleks PUSPAKOM, Senawang, Negeri Sembilan. Dari itu nasihat saya kepada mereka yang hendak membuat pemeriksaan kereta di mana-mana PUSPAKOM adalah seperti berikut:

  1.  Kereta yang mempunyai cermin gelap hendaklah ditanggal lapikan gelapnya.
  2.  Daftarlah pemeriksaan secara 'on line'.
Sekian.

2 comments:

Karen Ong said...

Hujung bulan Feb saya pun kena, keputusan saya dapat ialah Gagal. Sebab cermin gelap. Jadi selepas saya tanggalkan lapisan gelap di Kedai accessories, saya buat penepahan online kali ke2, Dan bayar lagi. Tunggu dari 2.30pm hingga 6pm baru dpt laporan Lulus.

RMs Hatta said...

Pemeriksaan kereta di pusspakom ini bisnes monopoli.
Tiada saingan jadi customer servis macam kerbau lembab.
Patut ada saingan supaya pembayar cukai ada alternatif lain.