Saturday, June 28, 2008

Dato' Seri Utama Tan Sri Isa Samad yang saya kenali

Mungkin ada pembaca bertanya mengapa saya menulis nama beliau demikian. Umum mengenal beliau sebagai Tan Sri Isa Samad. Tetapi saya diberitahu oleh Bahagian Protokol, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan (SUKNS) di negeri ini gelaran yang dianugerah oleh Istana Seri Menanti hendaklah disebut dahulu. Saya masih ingat semasa Dato' Seri Utama mempengerusikan satu mesyuarat di pejabat saya apabila beliau baru sahaja mendapat anugerah tersebut. Seorang yang hadir telah mengucapkan tahniah kepada beliau. "Saya ini setaraf dengan anak rajalah" jawab beliau. Kalau tak salah saya beliau menerima anugerah Tan Sri dari Yang Di Pertuan Agong sebelum dianugerah Dato' Seri Utama oleh Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan. Ramai anggota mesyuarat tersasul semasa menyebut gelaran beliau. Di antaranya ialah Dato', Dato' Seri, Tan Sri dan yang paling lucu Tan Sri Utama. Selepas ini saya akan menyebut Dato' Seri Utama sebagai DSU sahaja.

Nama DSU tiba-tiba sahaja disiarkan di muka hadapan akhbar-akhbar tempatan beberapa hari yang lepas setelah tempoh penggantungannya dalam UMNO selesai. Sekarang beliau bebas berpolitik semula. Saya bukanlah seorang ahli mana-mana parti politik. Jadi saya akan menceritakan tentang DSU yang saya kenali dengan tidak menyentuh politik seboleh-bolehnya.

Saya telah mengenali DSU sebelum beliau menjadi Ahli Dewan Negeri, Negeri Sembilan lagi. Semasa itu beliau mengajar di Sekolah Dato' Abdul Razak, Seremban. Saya sering ke sekolah itu kerana dua perkara. Pertama saya ialah seorang bekas penuntut sekolah tersebut semasa ia terletak di Tanjung Malim, Perak. Oleh itu saya sering dijemput ke apa-apa upacara sekolah. Kedua adir ipar saya yang juga bernama Mohd. Isa (belum dapat apa-apa gelaran lagi) pernah belajar di sekolah tersebut. DSU selain mengajar menjadi warden asrama. Oleh kerana DSU petah becakap beliau sering menjadi juru acara sekolah di kejohanan sukan dan sebagainya.

Di masa yang sama juga saya telah mengenali bapanya Dato' Abd. Samad semasa beliau menjadi ADUN kawasan Linggi, Negeri Sembilan. Semasa itu saya mewakili pejabat saya di mesyuarat Tilawah Alquran peringkat Negeri Sembilan yang diadakan di Port Dickson. Dato' Abd. Samad ialah seorang yang senang berjenaka sama seperti anaknya juga. Cuma kulitnya gelap sedikit tidak macam kulit DSU yang putih melepak. Saya masih ingat lagi Dato' Abd. Samad memanggil saya 'orang muda' mungkin kerana melihat saya sebaya dengan anaknya Mohd. Isa.

Apabila Dato' Abd. Samad meninggal dunia anaknya Mohd. Isa telah dicalonkan untuk mengganti tempat ayahanda beliau. Saya tidak pasti sama ada DSU menang pilihanraya kecil atau pilihanraya umum. Yang pastinya kerjaya perguruan DSU telah berhenti dengan tiba-tiba dan kerjaya politik beliau pula bermula. Semasa itu Dato' Rais Yatim menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan. Kalau tidak salah saya DSU terus dilantik menjadi Ahli EXCO. Disinilah saya memang menduga beliau akan menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan walau pun ada Ahli-ahli EXCO yang lebih kanan seperti Dato' Yazid Baba, Dr. Ramli Ujang dan Ismail Kamat.

Tidak hairanlah apabila Dato' Rais bertanding untuk Parlimen Jelebu dan seterusnya menjadi Menteri Kabinet DSU menggantikan beliau. Maka bermula pula kerjaya panjang DSU sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan. Saya pula tidak boleh menganggap beliau sebagai seorang guru sekolah saya lagi kerana sekarang beliau menjadi 'boss of the bosses' saya.

Untuk beberapa tahun beliau tidak pernah gagal untuk datang ke pejabat saya dan mempengerusikan mesyuarat bulanan atas tugas beliau sebagai Yang Di Pertua, Majlis Perbandaran Seremban. Sehinggalah Kerajaan Malaysia memutuskan seorang Menteri Besar tidak boleh menjadi Yang Di Pertua mana-mana Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Walau pun beliau sering berjenaka semasa mempengerusikan mesyuarat beliau bersifat tegas juga. Beliau pernah memberi kata dua kepada seorang ketua jabatan supaya menyelesaikan masalahnya dengan seorang sahabat DSU atau ditukarkan. Esok harinya pagi-pagi lagi ketua jabatan ini telah mengajak saya menemaninya untuk bertemu dengan DSU di pejabat Menteri Besarnya. Itu lah pertama kali saya masuk ke Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan. Yang memeranjatkan saya ialah kebanyakan staffnya merokok. Budak pejabat, kerani, Setiausaha Politik dan apa-apa Setiausaha lagi menghisap rokok. Walau pun di masa itu kerajaan belum lagi mengeluarkan arahan larangan merokok di mana-mana pejabatnya saya rasa ini lah pejabat kerajaan dimana kadar perokoknya paling tinggi. Saya tidak pasti sama ada DSU juga perokok.

Saya diminta oleh ketua jabatan tadi untuk menunggu di luar dan beliau berjumpa dengan DSU seorang diri. Saya akan dipanggil untuk 'back-up' beliau jika perlu. Baik juga oleh kerana DSU telah mengenali saya dan jika saya masuk bersama-sama susah juga DSU untuk membuat keputusan nanti.

Tidak sampai lima minit ketua jabatan tadi telah keluar dengan senyuman lebar. Semuanya sudah selesai katanya. Katanya lagi DSU seolah-seolah sudah lupa peristiwa di bilik mesyuarat semalam. Bagi saya di sinilah kelebihan DSU. Di bilik mesyuarat semalam di hadapan ketua-ketua jabatan kerajaan beliau telah menunjukkan ketagasan beliau sebagai seorang ketua eksekutif. Di pejabatnya pula beliau menunjukkan sifat tolak ansurnya sebagi seorang ahli politik.

Saya masih ingat di mana beliau datang ke dewan besar pejabat saya untuk merasmikan Hari Kualiti atau Q. Beliau banyak menyentuh mengenai imuniti raja yang hebat dibincang di masa itu. Beberapa hari kemudian saya bejumpa lagi dengan DSU di Port Dickson di mana murid-murid tua sekolah mengadakan perjumpaan. DSU menjadi tetamu khas. Bekas murid-muridnya memanggil beliau 'Cik Gu' sahaja. Presiden kami di masa itu ialah Datuk Mazlan Idris dari Pahang yang kemudiannya meninggal dunia dibunuh oleh Mona Fandey. Datuk Mazlan ialah senior saya di sekolah. Seorang murid tua bertanya kepada DSU mengenai isu imuniti raja ini dan beliau telah menyatakan pendapatnya. Kemudian beliau berkata beberapa hari yang lepas telah merasmikan Hari Q Majlis Perbandaran Seremban. Beliau cuma bercakap mengenai Kualiti atau Q sedikit sahaja. Kebanyakannya bercerita mengenai isu imuniti raja. "Kalau tak percaya tanya Maarof ni", katanya sambil menunjuk kepada saya. Kawan-kawan saya kebanyakannya terperanjat.

Begitu lah DSU amat mengingati seseorang. Beliau juga amat menghormati orang. Orang yang lebih tua dipanggilnya 'abang' walau pun beliau 'setaraf dengan anak raja'. DSU tua dari saya beberapa bulan sahaja. Oleh itu tidaklah wajarlah dia memanggil saya 'abang' pula.

Di satu mesyuarat lagi seorang ketua jabatan telah membentangkan satu kertas kerja. DSU bertanya kenapa kertas ini dibentangkan. Ketua jabatan tadi menjawab sebab DSU ada memberi surat sokongan. DSU kemudian menerangkan sesiapa sahaja yang berjumpanya untuk medapatkan surat sokongan akan diberikan surat sokongan. Tetapi terpulanglah kepada 'tuan-tuan semua' untuk menimbangkannya. Kertas kerja tersebut kemudiannya tidak dibicangkan.

Peristiwa tersebut telah memberi saya satu kekuatan apabila saya berhadapan dengan seorang yang didapati berniaga batu nesan di Makam Haji Said, Seremban. Mana boleh berniaga dalam kawasan Makam? Beliau terus mengeluarkan surat sokongan dari Menteri Besar. Saya nyatakan tidak hairan dengan surat itu oleh kerana sesiapa yang berjumpa dengan MB akan diberi surat. Terpulangkan kepada pegawai seperti saya ini untuk menimbangkannya. Beberapa hari kemudian saya telah dipanggil oleh boss saya. Rupa-rupanya peniaga ini telah mengadu bahawa saya menganggap surat sokongan dari MB itu sebagai surat palsu. Saya terangkan kepada boss bahawa saya hanya mengulangi apa yang DSU sebutkan dalam mesyuarat beberapa bulan yang lalu. Boss saya faham dan meminta kami teruskan tindakan terhadap peniaga ini.

Walau pun DSU petah bercakap beliau tidak boleh bercakap loghat Negeri Sembilan. Ini kerana beliau dibesarkan di Port Dickson dimana kebanyakan penduduknya bercakap loghat Melaka. Ada musuh-musuhnya menjadikan ini satu isu politik. Mana boleh seorang Menteri Besar tidak boleh bercakap loghat negeri itu, kata mereka. Saya fikir DSU bercakap loghat ayah dan ibunya lebih baik dari beliau mencuba bercakap loghat orang lain dan diketawakan atau dianggap cuma mempersendakan loghat orang lain itu.

Saya menerima jemputan beberapa bulan yang lalu melalui persatuan murid tua untuk upacara perkahwinan anak sulungnya. DSU sendiri hadir semasa penyerahan kad-kad jemputan tersebut semasa kami meraikan murid-murid tua yang menang bertanding dalam Pilihanraya Umum baru-baru ini. Cuma kali ini calun-calun yang menang terdiri dari penyokong dan pembangkang kerajaan. Ada juga calon BN yang menang tetapi menjadi pembangkang oleh kerana calon ini menang di DUN Pulau Pinang. DSU semasa ucapannya mengingatkan jika menyebut 'pembangkang' kena berhati-hati oleh kerana ada juga calon yang sama parti politik dengan kita menjadi pembangkang.

Saya merasa sedih juga melihat DSU di hari perkahwinan anaknya kerana beliau hanya ditemani oleh anak-anak dan saudara-saudaranya. Teringat saya semasa saya menerima jemputan di hari-hari perkahwinan anak-anak saya Halimi dan Ina. Saya ditemani oleh isteri saya Salmah. Di sini DSU tidak ditemani isterinya oleh kerana isteri kesayangannya telah meninggal dunia beberapa tahun yang lalu.

Sekarang Dato' Seri Utama Tan Sri Isa telah bebas dari 'hukuman'nya saya fikir beliau sudah cukup waras untuk membuat perhetongan seterusnya. Pengalaman pahit manisnya sebagai seorang guru, ADUN, Ahli Exco, Menteri Besar dan Menteri kabinet dan Ahli Parlimen ditambah dengan tragedi kehilangan isteri sudah cukup untuk memberi panduan beliau.

Semoga Allah memelihara Cik Gu, Dato' Seri Utama dan Tan Sri.

No comments: