Sunday, July 6, 2008

Pengalaman semasa kerja

Dalam filem James Bond kedua From Russia With Love ada disebut "There's no substitute for experience". Maknya pengalaman tidak boleh dibandingkan dengan apa-apa. Oleh kerana secara rasmi saya telah bersara dari kerajaan saya ingin ceritakan sedikit pengalaman saya.

1. Siapa yang boleh bekerja dan siapa yang tidak.

Saya dapati orang yang betul-betul boleh bekerja ialah orang yang kurang bercakap. Ini tidak pula bermakna saya ingin memuji diri saya sendiri sebab saya fikir saya ialah seorang yang kurang bercakap. Orang yang selalu bercakap asyik menumpukan perhatian kepada bercakap sampai dia tidak ada masa untuk bekerja. Malangnya orang yang kurang bercakap dan rajin bekerja itu tidak diberi peluang untuk berfikir. Dia mengikut arahan sama ada betul atau tidak. Oleh itu ada yang mengambil kesempatan terhadap pekerja seperti ini.


2. Penguatkuasaan

Salah satu kerja saya ialah menguatkuasakan undang-undang. Saya akan bersukacita jika sesiapa yang dikenakan tindakan menganggap saya hanya menjalankan tugas saya. Biasanya yang membantah bukan yang dikenakan tindakan, tetapi pemerhati. Inilah yang kadang-kadang menimbulkan keadaan tegang. Saya akan bertindak lebih keras jika yang dikenakan tindakan melawan seperti memaki hamun saya. Sebenarnya yang dikenakan tindakan itu berani memaki hamun oleh kerana tindakan biasanya dilakukan 'di padang' dan beliau dibantu oleh pemerhati yang biasanya bersimpati. Tetapi jika berdepan dengan kami di pejabat beliau seperti tikus. Oleh itu biasanya untuk orang yang begini saya menalipon boss saya untuk mengenakan tindakan yang lebih keras jika beliau datang menyelesaikan tindakan terhadapnya. Jika tidak beliau akan berlakun di hadapan boss saya dengan mengatakan beliau dianiaya dan sebagainya.

3. Aduan

Satu perkara yang sering memeningkan saya ialah bila menerima aduan. Jika aduan itu menasabah tak apa juga. Tetapi kadang-kadang tu aduannya remeh temeh. Ada juga aduan timbul dari masalah peribadi antara dua pihak. Tetapi saya ada cara supaya mengurangkan menerima aduan.

Saya pernah didatangi oleh seorang yang mengadu pekerja-pekerja saya menyebabkan rumput-rumput beterbangan ke tempat letak keretanya bila memotong rumput. Oleh itu beliau meminta pekerja saya masuk ke dalam rumahnya dan membersihkan rumput tersebut. Saya kata tak boleh kah tuan bersihkan sendiri. Dia jadi marah dan menanya saya balik jika terjadi di rumah saya bagaimana? Saya jawab saya bersihkan sendiri seperti biasa. Selepas itu beliau tidak berani lagi berjumpa saya walau pun beliau sering saya nampak datang ke pejabat untuk membuat aduan-aduan lain. Beliau ini memang kaki pengadu.

Di Jalan Tok Ungku Seremban ada satu kawasan yang dinamakan Kampung Singh. Ini disebabkan kebanyakan penduduknya beragama Sikh. Tetapi penduduk yang tinggal adalah warga emas tinggal beberapa kepala sahaja. Bilangan mereka telah mengecil oleh kerana anak-anak mereka telah berpindah ke kawasan-kawasan yang lebih selesa. Beberapa rumah juga telah dirobohkan untuk memberi laluan kepada Projek Lingkaran Tengah Seremban. Tetapi percaya tak terdapat satu Balai Raya di kampung yang kecil ini. Saya fikir jika ia digunakan sebulan sekali pun sudah cukup baik.

Balai Raya ini didirikan hasil pergaduhan antara dua individu. Seorang individu telah membuka perniagaan garaj lori dengan mamakan sedikit tanah kerajaan. Musuhnya yang mengaku dirinya ketua kampung telah sakit hati dan meminta kerajaan membina Balai Raya di atas tanah kerajaan tersebut. Tujuannya hanya satu iaitu supaya peniaga garaj lori memberhentikan perniagaan. Tetapi setelah Balai Raya siap garaj lori masih lagi beroperasi. Ketua kampung ini kemudian mengadu kepada saya. Saya cuma menjawab "Jangan gunakan kami untuk menyelesaikan masalah peribadi awak berdua". Selepas itu beliau tidak berani jumpa saya lagi. Balai Raya pun menjadi semak samun.

No comments: