Ini gambar semasa sessi latihan untuk berkayak. Muin berdiri betul-betul di hadapan saya.
KURSUS BINA SEMANGAT
Saya masih ingat dihantar untuk menyertai Kursus Bina Semangat di Pusat Bina Semangat Pasir Panjang, Port Dickson pada tahun 1991. Dalam kelas yang seramai lebih kurang 20 orang itu saya adalah antara yang paling tua. Aktiviti fizikal yang kami lalui lebih kurang sama dengan yang dilalui oleh peserta-peserta Khidmat Negara sekarang. Kami yang tua dan berbadan berat agak sukar menjalankan aktiviti fizikal seperti memanjat dan berlari. Walau bagaimana pun bagi saya yang suka berjogging dan berasal dari kampung tidak menjadi masalah bila berlari jauh, merentas hutan dan berkhemah solo dalam hutan.
SAYA DIKETAWAKAN
Ada seorang peserta kursus ini bernama Muin dan semasa itu bekerja di JKR Bahau. Saya tidak pasti beliau berasal dari mana oleh kerana Muin bukanlah nama biasa untuk orang Negeri Sembilan. Dia muda belia dan berbadan kurus lampai. Oleh itu tidak menjadi masalah baginya untuk membuat aktiviti memanjat dan berlari dekat. Masalahnya ialah dia suka mentertawakan kami yang tua dan berbadan berat ini. Bukan sahaja dia mempermainkan kami semasa aktiviti lasak, tetapi semasa mendengar syarahan di kelas.
BERJALAN KAKI 10 KM
Antara aktiviti kami yang terakhir ialah berkayak di laut. Kami di bahagikan kepada dua kumpulan. Pada hari pertama satu kumpulan dikehendaki berkayak dari Pasir Panjang sehingga ke pantai Rumah Peranginan Kerajaan Negeri Sembilan di Port Dickson. Di waktu yang sama kumpulan yang satu lagi (dimana saya dan Muin menjadi ahlinya) berjalan kaki lebih kurang sepuluh kilometer menuju tempat yang sama. Kami membawa barangan keperluan di beg belakang (back pack).
LAUT BERGELORA
Rupa-rupanya kumpulan pertama tidak dapat berkayak oleh kerana laut bergelora. Oleh itu mereka di bawa ke tempat pertemuan bersama-sama kayak menaiki lori tentera.
BBQ SAMBIL BERDOA
Pada malam itu kami menyalakan BBQ. Mengikut rancangan, kedua-dua kumpulan akan menjalankan aktiviti terbalik pada kesesokannya. Kumpulan pertama akan berjalan kaki balik ke Pasir Panjang dan kumpulan kedua akan berkayak pula. Sepanjang malam saya berdoa supaya laut tidak bergelora keesokan harinya oleh kerana saya hendak sangat berkayak.
DOA DIMAKBULKAN
Doa saya termakbul apabila mendapati laut tenang dan cuaca cerah pada pagi esoknya. Kumpulan pertama pun bergerak berjalan kaki manakala kami dari kumpulan kedua menolak kayak kedalam laut. Setiap kayak didayung oleh dua orang. Supaya kayak tidak senget kami dipasangkan mengikut berat badan. Yang ringan dengan yang ringan dan yang berat dengan yang berat. Pasangan saya sudah tentulah berat macam saya. Beliau pula tua sedikit dari saya. Pasangan Muin pula ringan dan sama muda sepertinya.
ORANG MUDA PECUT DAHULU
Apabila sahaja kami diarahkan mengayuh, pasangan yang muda-muda memecut dihadapan sedangkan saya dan pasangan mengikut di belakang. Kami semua diekori oleh sebuah perahu berinjin yang membawa para jurulatih kami.
MUNTAH
Saya merasa hairan juga walau pun saya dan pasangan adalah berat dan berumur kami dapat memotong pasangan yang lebih muda. Di antara Port Dickson dan Pasir Panjang terdapat sebuah pulau dan kami behenti berehat seketika. Saya sampai sebelum Muin dan pasangannya. Apabila sahaja Muin berlabuh dia telah berlari ke darat dan muntah.
DIA TIDAK BERKAYUH LAGI
Setelah beberapa minit kami pun meneruskan perjalanan ke Pasir Panjang. Tiba-tiba saya melihat perahu berinjin yang membawa para jurulatih telah memotong kami. Bukan itu sahaja, terdapat Muin duduk bersama-sama mereka. Jelaslah dia tidak boleh berkayuh lagi. Pasangan Muin pula duduk kesaorangan dalam kayak yang di tarik oleh perahu. Dia tak payah berkayuh lagi.
HUTANG KAMI DIBAYAR
Kami sama-sama sampai ke pantai Pasir Panjang. Di situ saya lihat Muin terbaring terlentang di atas pasir pantai. Para jurulatih kemudian mengelilingi beliau dan seorang lepas seorang melepaskan geram memaki hamun Muin. Mereka seolah-olah membayar balik hutang kami yang dipersendakan Muin apabila tidak dapat membuat aktiviti lasak seperti memanjat dan sebagainya.
BUKAN DIA SAHAJA YANG KALAH
Sebenarnya bukan sahaja Muin yang 'kalah' dalam disiplin berkayak ini. Pasukan orang-orang muda kalah kepada pasukan orang-orang berumur seperti saya. Ada lagi dua tiga orang sebaya muda dengan Muin juga muntah apabila berkayak. Bezanya mereka dapat menghabiskan aktiviti ini. Tetapi tidak ada pun peserta sebaya dengan saya yang muntah-muntah.
PENGALAMAN MENGALAHKAN USIA
Kesimpulan saya ialah orang-orang muda kurang kesabaran. Mereka hendak cepat-cepat selesai berkayak ini. Sedangkan pada petangnya kami tidak ada aktiviti apa-apa. Kami yang berusia dan mempunyai pengalaman hidup lebih lama seolah-olah sudah merancang strategi berkayak ini. Akhirnya pengalaman mengalahkan usia muda.
Bagi Muin pula semenjak peristiwa itu dia membisu seribu bahasa baik dalam kelas atau di aktiviti luar.
No comments:
Post a Comment