Friday, January 2, 2009

Berkabung



Saya bercuti dari 22 Disember 2008 sehingga hujung tahun. Pada 31 Disember 2008 seorang kawan saya di pejabat memberitahu kita dikehendaki memakai songkok berlilit kain putih di tengah-tengah untuk berkabung. Ini kerana menghormati kemangkatan DYMM Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-10 Tuanku Jaafar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman.

Saya tanya adakah pegawai yang memakai pakaian seragam dikecualikan? Jawapannya tidak.

Pagi tadi saya telah bertanya kepada isteri saya Salmah sama ada terdapat lebihan kain putih di rumah kita untuk dililitkan di songkok saya. Dia kata ada dan terus memotongnya dan melilitkan ke songkok saya. Walaubagaimana pun saya tidak berpuashati dengan hasilnya. Maklumlah dia tidak biasa dengan perkara begini.

Saya pun bawa songkok saya ke pejabat tetapi tidak memakainya. Saya perhatikan cuma setengah sahaja kekitangan pejabat saya yang memakai songkok berlilit kain putih. Tetapi kebanykan yang perempuan sudah memakai tudung hitam. Nampaknya kakitangan perempuan lebih patuh kepada arahan dari kami lelaki.

Bandar Seremban penuh sesak dengan kenderaan. Inilah akibat tabiat orang kita yang suka membuat kerja disaat-saat akhir. Kerja yang dimaksudkan disini ialah membeli keperluan anak-anak sekolah. Tetapi nasib baiklah saya datang ke pejabat dengan skuter saya. Itu pun kadang-kadang tersepit juga.

Saya pun pergi ke sebuah kedai menjual keperluan perhiasan di Jalan Dato' Lee Fong Yee bersebelahan dengan Public Bank. Dengan menunjukkan songkok saya bertanya sama ada kedai ini ada menjual kain lilitan putih. Bukan sahaja ada, rupa-rupanya mereka sudah sedia memotongnya siap dengan 'velcro tape' sekali. Saya pun meminta mereka menampalkannya di songkok saya. Harganya ialah RM 1.30.

Saya memakai songkok di sesi petang pejabat selepas solat Jumaat. Kali ini saya lihat lebih ramai kakitangan lelaki yang bersongkok dari pagi tadi. Saya sempat juga bertanya berapa harga yang mereka bayar untuk kain lilitan putih songkok mereka. Semuanya membayar lebih dari harga yang saya dapat. Saya terfikir agaknya pagi tadi saya datang dengan memakai pakaian seragam. Itu sebabnya saya mendapat harga murah.

Inilah nasib orang berniaga. Nampaknya kemangkatan ini memberi sedikit keuntungan kepada mereka.

Sebenarnya ini bukan kali pertama saya berkabung. Saya pernah memakai songkok berlilit putih pada tahun 1963 dulu semasa saya di sekolah menengah. Sultan Yusuf, Sultan Perak mangkat di masa itu. Jadi kami pun diarahkan memakai songkok berlilit putih. Cuma disini kami tidak dimestikan melilit dengan kain. Jadi kami memotong kertas lukisan untuk dijadikan lilitan.

Kami memakai songkok dengan lilitan kertas putih ini untuk pergi ke kelas dan bilik makan. Kami juga memakainya jika hendak keluar ke pekan Tanjung Malim, Perak dan semasa solat Jumaat di Masjid Jamek. Tetapi kami merasa janggal juga apabila memakainya di pekan seberang Sungai Bernam iaitu pekan Ulu Bernam. Pekan ini terletak dalam negeri Selangor dan sudah tentulah orang di sana tidak berkabung. Nak letak songkok dimana? Jadi pakai sajalah.

Tapi semasa tengok wayang di panggung Majestic Ulu Bernam tu kami bukalah songkok tu. Budak-budak sekolah saya menyeberang ke Ulu Bernam, Selangor hanya untuk tengok wayang di panggung Majestic ini. Tidak lebih dari itu. Dengar kabarnya panggung ini sudah dijadikan gudang perabut.

1 comment:

Anonymous said...

sdr Maarof

Sebenarnya memakai songkok dengan lilitan putih seperti ukuran yang di syaratkan tu, adalah satu tanda yang kita rakyat berkabong, simpati dengan kemangkatan raja kita.

Siapa lagi yang akan mempraktikan pemakaian songkok untuk berkabong tu kalau kita rakyat dari keturuan Melayu dan Islam. Jangan pula ada orang pertikaikan "Ini tidak ada nas atau hadith".... pada saya mengingati mati itu baik. Ramai orang yang kayo rayo lupo akan mati.

Lazimnya maknusia ini bila sudah senang mereka lupa mati. Bayang kan di saat menyambut tahun baru 2009 ada pula 'hamlau hamlau' (kata orang Melaka) yang buat parti seks pula. Ada yang suruh pergi ke tempat perkumpulan mereka yang lelaki jangan pakai apa2 underwear di buang.... yang perempuan pula pakai pantie yang diikat dengan seutas tali sahaja..... yang sedih nya ada orang Islam Melayu join pula tu.

Allah hu Akbar.... ngeri Maarof

wassallam

MA