Friday, February 6, 2009

Perak, kau tak boleh aku lupakan!

Saya mempunyai mempunyai nostalgia tentang negeri Perak ini. Orang kata zaman remaja merupakan zaman paling indah kita. Saya melayari masa ramaja saya diantara umur 12 hingga 17 tahun di negeri Perak. Di Tanjung Malim, lagi tepat. Tahun-tahunnya ialah antara 1962 dengan 1967.

Saya berjaya memasuki Sekolah Dato' Abdul Razak, Tanjung Malim, sebuah sekolah berasrama penuh. Sekolah ini lebih dikenali sebagai SDAR. Bekas pelajar sekolah ini walau pun sudah menjadi datuk seperti saya tetap digelar 'budak SDAR'. Kadang-kadang ditambah 'budak SDAR yang tak sedar-sedar'.

Sekolah itu kemudian berpindah ke Jalan Sikamat, Seremban dan akhirnya ke Sungai Gadut, Seremban juga. Beruntung juga saya rasanya kerana apabila pergi ke SDAR sekarang saya dapat mengembalikan kenangan saya dengan melihat bahan-bahan sejarah seperti gambar-gambar yang ada di dalam dewan.

Antara peristiwa yang berlaku dalam dunia semasa tempoh remaja saya di negeri Perak adalah seperti berikut:

  • Kegemilangan The Beatles. Orang berkata siapa yang berumur remaja diantara tahun 1962 hingga 1970 dan tidak meminati The Beatles orang itu tidak betul. Saya ialah seorang peminat gila The Beatles, jadi saya ni betullah agaknya.


  • Filem James Bond bermula dengan Sean Connery sebagai Bond. Sean Connery ialah pelakon James Bond yang paling baik dari pelakon-pelakon James Bond lain.


  • President John F. Kennedy dibunuh oleh Lee Oswald. Lee Oswald kemudian dibunuh pula oleh Jack Ruby.


  • Marlyn Monroe meninggal dunia, disyaki membunuh diri.


  • Perang Vietnam bermula


  • England memenangi FIFA World Cup (dipanggil Jules Rimet World Cup di masa itu).


  • 'Hippies' timbul.


  • Mini skirt mula dipakai.


  • Malaysia ditubuhkan.


  • Muzik 60an Melayu timbul dimulai oleh M. Osman dan dipopularkan oleh A. Ramlie dan Jefridin.


  • Presiden Lyndon Baines Johnson melawat Malaysia dan menamakan Felda LBJ di Labu, Negeri Sembilan berdasarkan singkatan namanya.

Di Perak jugalah saya belajar menyimpan duit. Saya membuka akaun Pejabat Pos di Tanjung Malim dengan nombor akaun Tanjung Malim 9890 pada tahun 1962. Apabila Bank Simpanan Nasional (BSN) ditubuhkan akaun saya di pindahkan ke Bank tersebut. Pada mulanya tertulis perkataan PERAK sebelum nombor akaun baru. Tetapi dengan sistem komputer sekarang perkataan negeri itu sudah tiada lagi. Apa yang menjadi nostalgia oleh saya ialah akaun bank saya itu masih aktif sekarang.


Di Perak jugalah saya banyak menggunakan perkataan 'aku' dan 'kau' bila bercakap dengan kawan-kawan. Saya berhenti menggunakan 'aku' dan 'kau' selepas sekolah. Tetapi sekarang saya kadang-kadang menggunakannya juga. Itu pun apabila bercakap dengan kawan-kawan sama sekolah seperti Ibrahim Moideen dan Muhammad Abdullah. Itu juga sebabnya mengapa saya menggunakan 'aku' dan 'kau' dalam tajuk pos saya ini.

Sebenarnya pekan Tanjung Malim ialah pekan sempadan sama seperti pekan Beranang di negeri Selangor dan Tampin di Negeri Sembilan. Dari Tanjung Malim ke Selangor memadai dengan berjalan kaki di atasi jambatan menyeberangi Sungai Bernam.

Pekan di sebelah Selangor pula bernama Ulu Bernam. Tapi saya dan kawan-kawan sekolah hanya ke Ulu Bernam untuk satu tujuan iaitu menengok wayang di Pawagam Majestic di situ. Antara filem yang saya tengok di pawagam ini ialah 'Sangam' lakunan Raj Kapoor, Rajendra Kumar dan Vijayantimala. Dengar khabarnya Pawagam Majestic sudah tiada lagi.

Apabila saya ke utara dan jika masa mengizinkan saya akan melalui pekan Tanjung Malim. Saya melihat masjid dimana saya menunaikan solat Jumaat dulu. Saya lalui padang UPSI yang sebahagiannya menjadi padang sekolah saya dulu. Saya juga lalui bekas sekolah saya dulu dan melihat dewan yang dinamakan Dewan Rahman Talib. Saya melintasi Hospital Tanjung Malim di mana saya pernah dimasukkan beberapa kali kerana mengidap demam Malaria.

Saya juga melihat padang bandaran Tanjung Malim di mana kami berhimpun untuk Hari Kebangsaan dan Maulidur Rasul. Saya masih ingat lagi di acara-acara begini juruacaranya bernama R.M. Idris dari Jabatan Penerangan, Perak. Setelah bersara beliau memasuki politik dan pernah menjadi ADUN Perak.

Saya pernah berjumpa Y.B. R.M. Idris semasa Menteri Besar Perak (saya lupa siapa) merasmikan persidangan Kesatuan Sekerja saya di Ipoh. R. M. Idris ada bersama Menteri Besar di upacara itu. Beliau sangat gembira apabila saya berjumpanya dan mengenalkan diri saya.

Buat masa sekarang saya tertunggu-tunggu bila laluan KTM Komuter ke Tanjung Malim akan bermula. Apabila mula sahaja saya berjanji menjadi diantara yang akan mula-mula melompat naik.

Oleh itu perkembangan politik yang berlaku sekarang di negeri Perak mendapat perhatian saya. Semalam saya ponteng kerja di sebelah petang untuk melihat perkembabangan melalui TV. Saya menitiskan air mata apabila melihat kesemua ADUN BN dan Bebas menyembah dan mencium tangan Sultan Perak dan Raja Muda Perak. Di saat-saat genting begini mereka sangat-sangat memerlukan raja.

Saya juga ada nostalgia mengenai Sultan Perak ini. Dulu di awal tahun 1963 Sultan Izzudin, Sultan Perak mangkat. Kami dikehendaki memakai songkok berlilit putih tanda berkabung. Kami memakai songkok ini semasa pergi sekolah dan keluar ke pekan Tanjung Malim. Cuma bila kami menyeberang ke Ulu Bernam, Selangor kami berasa janggal oleh kerana orang di sana tidak berkabung.


Oleh itu saya tidak berasa janggal beberapa minggu sebelum ini untuk memakai songkok berkabung kerana DYMM Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan pula mangkat. Bila saya memakai songkok ia membawa saya ke kenangan lama berkabung di negeri Perak 46 tahun yang lalu.

Saya tidak mahu menyentuh suasana politik di negeri Perak kerana saya memang tidak pandai berpolitik. Cuma saya nak komen satu sahaja. Menteri Besar yang dititah Sultan supaya meletak jawatan itu seolah-seolah tidak tahu siapa ketua atau bossnya. Bossnya bukan mursyidul, bukan presiden partinya, bukan ketua de-facto pakatannya dan bukan kawan-kawan pakatannya yang tersengeh dan ternganga tu.

Bossnya ialah Paduka Seri Sultan Perak.

Daulat Tuanku.

4 comments:

Anonymous said...

Tn Hj,

Saya pun begitu. Saya anggap masa tu Perak my `home' state. Keseronokan belajar di SDAR memang tak dapat dilupakan. Tinggal di hostel, makan bersama, mandi di sungai Bernam, cari/beli buah di dusun berhampiran, tengok wayang di sekolah dan di panggung di pekan, sembahyang Jumaat sama budak SITC lebih2 lagi kita kenal budak baru SITC kalau pakai samping labuh, bermain di padang yang dikongsi ngan SITC, balik kampong naik keretapi saya turun Di Tampin- Tampin dan Seremban merupakan station favourite budak2 SDAR turun, sports day paling nak tengok kalau lari relay interschool apatah lagi rivals tu terdiri dari STAR, Alam Shah, MCKK, speech day, April Fool teringat Mr Sankaran kena kurung, basikal Mr Lim atas atap semua jadi kenangan belaka. Bidang hiburan saya juga minat The Beatles, Lulu, Bee Gees, Hollies. Teringat masa gila2 pop yeh yeh semasa kami berkumpul di padang sepaktakraw antara Rumah Sultan dan Shahbandar mendengar radio `Penyanyi Pujaan Minggu Ini' kami bertempiaran lari bila terdengar `tup-tap,tup-tap' kasut Chek Razak bila dia round malam walhal masa tu Chek Razak berada di rumah Bendahara. Teringat Omar Shamsuddin jadi juara penyanyi Malam Anekaragam yang diadakan di Dewan A Rahman Talib.....begitulah antara kenangan masa lalu. Selain itu beberapa bintang film dan bintang radio adakan persembahan di SDAR iaitu Allahyarham Abdullah Chik dan pasangannya Rosmawati, Jamal Kerdil, SM Salim, Allahyarham Ibrahim Din, Allahyarham A Karim Mohamad pengerusi berbalas pantun. Program TV yang tak boleh saya lupakan ialah You Ask For It, Shindig, Danger Man, That Man From UNCLE, Dr Kildare, The Fugitive. Ada satu peristiwa dunia yang tercicir dari catatan tn Hj ialah ketika Cassius Clay mengalahkan Sonny Liston dalam perlawanan tinju hwt pusingan ke 7 tak salah tahun 63 dan ulangan dalam pusingan pertama merupakan rekod terpantas 1 minit kut. Peristiwa tentera `Sukarno' mendarat di satu tempat di Johor rasanya....dan kita pernah berlatih bagaimana nak meyelamatkan diri...tn hj boleh betulkan kalau saya tersilap. Berbalik pada peristiwa politik di Perak ni saya beri sikit komen Sultan Perak bukannya bodoh dia perhati tindak tanduk ahli-ahli politik ni. Dia tak mau tengok perkara2 negatif selalu disebut2 mengenai negerinya. Kalau kita pun dalam rumah kita disebut orang perkara2 negatif kita suka ke. Walau bagaimana pun dia berhak untuk berbuat sesuatu yang dia mahu. Ini zaman sekarang kalau zaman feudal dulu bagaimana nasib dia orang ni. Saya akan tulis panjang lebar lagi mengenai perkara ni dilain masa jika kelapangan. Wassalam.

Muhammad, Kajang

Anonymous said...

Tn Hj,

Nak tambah lagi..... Perang Arab-Israel berlaku tahun 1967 (6 hari)...tamatnya Penggunaan wang gambar Queen Elizabeth dan ditukar kepada Wang Ringgit Malaysia gambar Almarhum Tuanku Abdul Rahman.

Muhammad, Kajang

Anonymous said...

Tok Penghulu

Tok baru balik daripada bertapa di Gunung Ledang.

Time turun dari gunung tadi sempat juga tok baca paper NST, antara tajuk yang sempat tok baca sepintas lalu - Sultan Selangor sedih dengan krisis politik yang berlaku di Perak mutakhir ini.

Baginda sedih kerana pak sedaranya, Sultan Azlan menerima tentangan hebat daripada rakyat jelatanya sendiri setelah menitahkan kepada Nizar letak jawatan sebagai MB Perak.

Tok tak nak komen tentang kenyataan rasmi Sultan Selangor itu, cuma tok nak bagitahu semua dalang sebenar di belakang tabir mengheret Raja-Raja Melayu ke dalam situasi yang menyulitkan kita semua ialah UMNO. Memang Tok confirm dan yakin benar.

Sudah lama UMNO menyusahkan Raja-Raja Melayu dan sudah tiba masanya kita kaum Melayu membebaskan mereka semua daripada belenggu UMNO.

Satu Malaya tahu Mat Taib@Mat Tyson, bekas MB Selangor larikan Ku Yah (adik Sultan Selangor sekarang) ke Siam dan berkahwin di sana. Punyalah samseng Ketua Penerangan UMNO sekarang, tak lain tak bukan Mat Tyson. Tok heran kenapa Sultan Selangor tak tarik balik pingat kebesarannya dan usir keluar Mat Tyson dari Selangor. Melarikan adik Sultan dah kira tahap derhaka paling teratas dan sukar dimaafkan.

Anuar Musa ketika jadi timbalan pengerusi perhubungan UMNO Kelantan pernah menabalkan sendiri sepupu Sultan Kelantan sebagai Sultan Kelantan sedangkan Sultan Kelantan masih lagi bersemayam di istana. Inipun kira derhaka jugak.

Di Terengganu, penyokong Idris Jusoh berang dan melakukan demo yang terpapar kami mahukan Deris, "natang" (binatang). Kata-kata kesat itu ditujukan kepada penghulu Raja-Raja Melayu tak lain dan tak bukan Sultan Mizan yang juga Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong. Bukankah ini juga derhaka kelas yang tertinggi.

Di Perlis, Shahidan Kasim enggan hadir ke majlis mengangkat sumpah MB Perlis yang baru juga boleh dikatakan derhaka dan boleh dibuang negeri.

Paling kesian mantan Yam Tuan Negeri Sembilan. Allahyarham Tuanku Jaafar yang disaman bank Standard Chartered sebanyak RM1 juta. Ini boleh dianggap derhaka dan UMNO tidak berbuat apa-apa untuk membantu Allahyarham Tuanku Jaafar. Tok nak peringatkan orang Melayu semua jangan simpan duit kat bank penderhaka ini. biar terlingkup habis bank ini.

Sekarang Raja-raja Melayu dikelilingi oleh pengkhianat Melayu dan penderhaka Melayu yang duduk dalam pertubuhan spastik bernama UMNO.

Bila masa korang bela Melayu. Tengok Singapura dan Pulau Batu Putih yang dah tergadai dan jadi hak milik kekal kepada Singapura. Wilayah Pembangunan Iskandar di Johor juga akan berdepan dengan situasi yang serupa. Kg Baru di Kuala Lumpur juga sedang menunggu masa untuk dirampas kerajaan pusat UMNO-BN. Banyak lagi bukti UMNO rampas tanah Melayu untuk buat duit.

Jasa mantan presiden UMNO, mamak Mahathirlah yang menghilangkan kekebalan Raja-Raja Melayu dan bukannya Pakatan Rakyat. Ketika itu media totok UMNO menghina raja-Raja Melayu. Bukan menderhakakah itu wahai orang-orang UMNO yang telah menjadi baghal dalam politik negara..?

Eloklah pemimpin Pakatan Rakyat bawak semua kes ini ke mahkamah biar semua rakyat tahu UMNOlah yang menderhaka selama ini.


Tok Penghulu.

Anonymous said...

Sultan Perak berhak ke atas negeri Perak...tetapi setiap perkara perlu di beri peluang dan tempoh masa bertenang...kenapa hari Khamis Menteri Besar Nizar di titah letak jawatan...dan kenapa hari Jumaat terus di buat pertabalan baru Menteri Besar Perak...di manakah silapnya? adakah itu satu keputusan yang bijak? itu adalah tidak releven bagi satu keputusan yang di buat...sekurang2nya perlu ada masa untuk bertenang...(fikirkanlah)