Wednesday, February 4, 2009

Peta dan Nombor Jalan

Beberapa tahun dulu sebelum Lebuh Raya Utara Selatan atau PLUS dibina sepenuhnya saya menghantar seorang sepupu isteri saya yang bernama Baharin berkahwin di Alor Setar, Kedah. Baharin dan isteri sekarang menjadi pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia, Sekudai, Johor.

Biras saya Hj. Yusuf menjadi pemandu rombongan kerana biasa dengan jalan-jalan di utara Semenanjung. Maknanya keretanya (van semasa itu) berada di hadapan sekali dan kami mengekor sahaja di belakangnya.

Di masa itu Lebuhraya Utara Selatan atau PLUS belum dibina sepenuhnya. Bahagian antara Changkat Jering, Perak hingga Sungai Petani, Kedah masih dalam pembinaan.

Kami melalui Lebuhraya PLUS dari Seremban hingga ke Changkat Jering, Perak. Dari situ kami melalui Laluan Persekutuan sehingga ke Parit Buntar, juga di Perak. Untuk mengelakkan kesesakan lalulintas di Seberang Perai, Pulau Pinang Hj. Yusuf telah membawa kami menyimpang ke kanan ke negeri Kedah. Kami melalui pekan-pekan Bandar Baru, Serdang dan Kulim. Akhirnya kami keluar di Sungai Petani. Dari Sungai Petani kami memasukki Lebuhraya PLUS semula hingga ke Alor Setar.

Apabila masuk sahaja ke negeri Kedah saya lihat nombor-nombor jalannya bermula dengan abjad K. Dengan sendirinya saya tahu kami melalui jalan negeri Negeri Kedah. Mutu jalannya tidaklah sebaik Laluan Persekutuan 1 yang kami tempuhi tadi di negeri Perak.

Biras saya Hj. Yusuf pula memandu vannya seolah-olah tidak membezakan jalan persekutuan dengan jalan negeri. Saya yang mengekor di belakangnya terpaksalah mengikut rentaknya untuk tidak ketinggalan.

Saya membawa isteri saya Salmah yang sedang mengandung anak bongsu kami Anis dan di belakang ialah kedua-dua arwah bapa dan ibu mertua saya. Di masa itu pula telefon bimbit belum ada di Malaysia. Jika sudah ada mungkin saya boleh meminta Haji Yusuf supaya jalan perlahan sedikit.

Di sepanjang perjalanan di jalan negeri Negeri Kedah itu ibu mertua saya sering membebel mengenai kedaaan jalan yang tidak baik. "JKR disini tak bekerja ke?" ialah diantara ayat yang disebutnya.

Saya terfikir juga untuk menerangkan kepadanya perbezaan antara jalan negeri dengan laluan persekutuan. Tetapi saya tidak berbuat demikian kerana takut akan dijawab "Kenapa di Melaka keadaan jalan dimana-mana sama sahaja?".

Memang benar dari dulu lagi jika kita pergi ke Melaka kita tidak dapat membezakan mutu jalan negeri dengan laluan persekutuan. Jika saya ditanya jawapan saya satu sahaja. Di Melaka tidak ada istana raja. Oleh itu peruntukan yang sepatutnya dikhaskan untuk membiayai istana-istana raja di negeri-negeri lain, Negeri Sembilan contohnya tidak wujud di Melaka. Oleh itu peruntukan ini digunakan untuk membiayai jalan-jalan negeri sehingga setaraf dengan laluan persekutuan.

Sekarang ini kawan-kawan sama sekolah saya sedang asyik membincangkan mengenai alat satelite yang boleh dipasang di dalam kereta untuk memberitahu pemandu di mana mereka berada. Alat ini juga boleh menolong pemandu kereta untuk sampai ke tempat tumpuan.

Tapi bagi saya buat masa ini memadailah dengan berpandukan peta dan nombor-nombor jalan sahaja. Peta Semenanjung Malaysia sentiasa ada dalam kereta saya. Di samping itu saya juga ada menyimpan peta-peta jalan negeri-negeri yang saya gunakan apabila pergi ke negeri-negeri berkenaan.

Saya sering terbaca atau mendengar cerita pemandu-pemandu kereta sesat jalan. Yang pertama seorang dari Kelang yang hendak ke Mersing tersilap simpang apabila melalui lebuhraya Kuantan - Segamat. Sampai dia terlajak ke Maran, Pahang. Ini selepas pemandu ini melalui Seremban, Kuala Pilah, Bandar Baru Serting dan Keratong.

Seorang pemandu lagi dari Kelantan hendak ke Melaka. Beliau telah terlajak sampai ke Air Hitam, Johor selepas melalui lebuhraya Kuantan - Segamat juga.

Saya hairan dengan sikap pemandu-pemandu ini. Mereka sanggup berbelanja beribu-ribu ringgit untuk membeli kereta dan memasang aksesori yang kebanyakannya tidak ada guna langsung. Tetapi mereka tidak sanggup untuk berbelanja beberapa ringgit sahaja untuk membeli peta jalan.

Bagi saya setiap kali saya berjalan jauh saya akan melihat peta dan menulis di satu nota laluan-laluan yang akan saya lalui. Yang paling penting nombor-nombor jalan juga saya catitkan. Saya letakkan nota ini di bawah radio kereta saya. Oleh itu jika saya termasuk ke mana-mana jalan yang nombornya tidak ada dalam nota saya sudah pasti saya tersalah jalan. Untuk kembali ke jalan yang betul saya rujuk kepada peta.

Lebuhraya juga mempunyai nombor. Contohnya Lubuhraya Plus dari Kuala Lumpur hingga ke Bukit Kayu Hitam ialah E1. Bahagian dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru pula ialah E2. E21 ialah Lebuhraya Kajang - Seremban (LEKAS).

Setiap persimpangan lebuhraya juga mempunyai nombor tersendiri. Persimpangan PLUS Seremban ialah No. 218 manakala persimpangan LEKAS di Mantin pula No. 2104. Kalau kita tersilap simpang di jalan-jalan biasa mungkin kita tidak perlu bergerak jauh untuk kembali ke jalan yang betul. Tetapi jika silap persimpangan lebuhraya berpeluhlah kita untuk tujuan yang sama.

Saya sering terbaca manual-manual memberi tunjuk bagaimana berjalan jauh berkereta dengan selamat. Contohnya angin tayar kereta hendaklah cukup dan sebagainya. Mengenai peta dinasihatkan supaya setiap pemandu mempunyai peta, itu sahaja. Tetapi bagi saya kita hendaklah membaca peta dari rumah lagi dan mencatitkan tuju arah kita di satu nota.

Saya tak perlu GPS dan sebagainya buat masa ini.

No comments: