Wednesday, October 7, 2009

Kenangan Pertama Pilihanraya

Oleh kerana beberapa hari lagi akan diadakan Pilihanraya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri N.31 kawasan Bagan Pinang, Negeri Sembilan saya ingin bercerita pengalaman pertama saya dalam pilihanraya.

Semasa Pilihanraya Umum Pertama (PRU 1) pada tahun 1955 saya tidak menahu langsung. Di masa itu umur saya baru lima tahun dan belum bersekolah lagi. Saya tidak pernah bertanya pada ibu saya sama ada dia mengundi atau tidak di PRU 1 itu.

Tetapi pada PRU 2 tahun 1959 saya ingat. Di masa itu saya berumur sembilan tahun dan bersekolah dalam Darjah Empat. Tetapi apa yang menyebabkan saya betul-betul ingat ialah kerana seorang kampung saya bertanding untuk kerusi Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan.

Beberapa bulan sebelum itu sekolah saya menerima murid-murid baru yang berpindah dari Petaling Jaya, Selangor. Mereka ialah adik beradik dan anak kepada seorang kampung kami yang selama ini bekerja dengan Dewan Bahasa dan Pustaka di Kuala Lumpur. Mereka sekeluarga tinggal di Petaling Jaya, Selangor. Ayah mereka yang bernama Aminuddin bin Manaf terpaksa berhenti kerja untuk bertanding dalam Pilihanraya. Sebelum bekerja dengan DBP Aminuddin pernah menjadi guru. Oleh itu beliau lebih dikenali sebagai Cik Gu Aminuddin sahaja.

Tetapi Cik Gu Aminuddin tidak bertanding di bawah mana-mana parti. Beliau bertanding sebagai calon bebas. Ceritanya begini, ramai pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri Pertang, Jelebu, Negeri Sembilan tidak berpuas hati dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang sedia ada yang menang dalam PRU 1 tahun 1955 atas tiket Perikatan-UMNO. Boleh juga bukan permastautin dalam DUN Pertang.

Oleh kerana ADUN ini akan bertanding semula pengundi-pengundi yang tidak berpuas hati tadi berbincang untuk meletakkan seorang calon untuk melawan calon berkenaan. Nama Aminuddin dipersetujui. Sebenarnya Aminuddin bukan berasal dari kampung kami. Keluarganya berasal dari Negeri Pahang tetapi telah menetap di Kampung Chenor, Jelebu.

Aminuddin pula berkahwin dengan orang kampung kami, oleh itu beliau bolehlah dianggap sebagai orang kampung kami.

Tetapi Aminuddin menghadapi dua masalah. Masalah pertama ialah dia bekerja dengan satu badan kerajaan iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka. Ini mewajibkan beliau meletak jawatan. Masalah kedua ialah beliau tidak menjadi ahli mana-mana parti. Oleh itu beliau terpaksa bertanding sebagai calon bebas.

Saya masih ingat Aminuddin bertanding menggunakan logo Meja. Beliau pula terpaksa menentang dua calon lain iaitu calon Perikatan-UMNO yang mempertahankan kerusinya dan calon PAS.

Di masa itu rapat umum sebagai kempen pilihanraya masih dibenarkan. Saya sendiri tidak pernah menghadiri rapat-rapat umum ini tetapi saya nampak kereta-kereta dan van dengan logo-logo Kapal Layar untuk Perikatan, Bulan Bintang untuk PAS dan Meja untuk Bebas berulang alik di dalam kampung. Terdapat juga poster-poster dan bendera Kapal Layar, Bulan Bintang dan Meja diletakkan di sekitar kampung, tetapi jumlahnya tidaklah banyak seperti sekarang.

Bukan senang untuk Aminuddin melawan calon parti yang memerintah. Tetapi hasil kerja kuat dari pekerja-pekerjanya ditambah dengan faktor orang kampung sendiri akhirnya En. Aminuddin berjaya memenangi kerusi DUN Pertang. Oleh itu bermulalah kerjaya politik En. Aminuddin Manaf sehingga tahun 1978 apabila kerusi DUN Pertang diambil alih oleh Dato' Rais Yatim yang terus menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan.

Tetapi sebaik sahaja menang En. Aminuddin memasuki UMNO dan menjadi ADUN Perikatan. Saya tidak pasti sama ada beliau melompat parti kerana sudah dirancang dari awal. Beliau kemudian pernah menjadi ahli EXCO dan dianugerah gelaran Dato' dari Istana Seri Menanti.

Sejak itu juga nama kampung saya yang tidak dikenali selama ini diketahui orang. Hingga hari ini apabila saya menyatakan saya berasal dari Kaampung Petasih, Jelebu ada yang bertanyaakan kenal tidak dengan Dato' Aminuddin dan adakah rumah rumah saya berdekatan dengan rumahnya. Saya jawab mana ada orang kampung saya yang tidak mengenalinya. Juga sesiapa orang dari luar hendak ke rumah Dato' Aminuddin terpaksa menempuhi rumah ibu saya dahulu.

Sudah pasti kampung sendiri diutamakannya. Jalan kampung saya dinaik taraf dari Jalan Pegawai Daerah ataua Jalan DO kepada Jalan Negeri. Kawasan kampung juga dibesarkan tetapi dengan terpaksa mengorbankan sedikit hutan yang mengelilingi kampung kami.

Selepas Dato' Aminuddin menang dengan kerusi bebas sudah tentu ada yang menirunya. Selepas menang kali pertama bertanding Dato' Aminuddin telah beberapa kali ditentang oleh calon Bebas tetapi mereka semua bungkus.

Dato' Aminuddin telah meninggal dunia beberapa tahun yang lalu. Tetapi dalam ingatan saya walau pun sudah mendapat gelaran Dato' orang kampung kami tetap memanggilnya Cik Gu Aminuddin sahaja. Bagitu juga balunya hanya dipanggil Mak Ngah dan tidak Datin.

1 comment:

Anonymous said...

Alhamdulillah..itu la arwah..dgn prinsip dan tegas setta garang dgn ank2..tpi kami bangga..ia tinggalkan ilmu uyk kami.