Monday, January 11, 2010

Cerita anjing.

Pos saya kali ini berlainan cerita sedikit.

Semasa saya tinggal di Taman Paroi Jaya, Seremban dahulu saya mempunyai banyak pilihan untuk bersenam. Kebanyakannya saya berlari di atas trek tartan Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Pemain-pemain bolasepak Negeri Sembilan yang berlatih di atas padang ramai yang sedar akan kehadiran saya. Kadang-kadang saya sempat menyepak kembali bola-bola yang terlepas ke laluan lari saya. Antara jurulatih pasukan Negeri Sembilan ialah sahabat saya K. Devan yang sekarang melatih pasukan Selangor. Baru-baru ini pasukan K. Devan mengalahkan pasukan Negeri Sembilan di stadium yang sama dalam Piala Sumbangsih.

Satu ketika Tok Mat, Menteri Besar Negeri Sembilan datang melihat anak-anak buahnya berlatih. Saya sempat memberi salam kepada Dato' Seri Utama sambil berlari.

Jika saya tidak sempat berlari saya berenang di kolam renang sebelah stadium itu. Ada beberapa kali saya datang ke kolam renang membawa kain dan baju Melayu. Selepas berenang dan mandi saya terus memakai kain dan baju Melayu tadi untuk solat Maghrib di Masjid Kariah Paroi Jaya yang berjiran dengan stadium dan kolam renang.

Saya juga kadang-kadang berbasikal di hujung minggu. Laluan saya ialah ke Paroi, kemudian ke Senawang dan balik ke rumah melalui Rahang.

Tetapi apabila saya berpindah ke rumah saya sekarang saya menyesuaikan program senaman saya kepada situasi baru. Saya pernah berlari ke taman-taman perumahan berhampiran. Tetapi saya terfikir juga apa akan jadi jika saya tiba-tiba pengsan semasa berlari. Agak sukar juga sesiapa untuk menghubungi keluarga saya kerana saya hanya membawa telefon bimbit semasa berlari.

Saya juga pernah berjalan kaki, berlari dan menaiki basikal di atas projek Lebuhraya Kajang Seremban (LEKAS) di belakang rumah saya.

Pernah di satu pagi hari cuti saya disengat beberapa ekor lebah di atas lebuhraya ini ketika berjalan kaki. Nasib baik saya berada berhampiran dengan Bandar Warisan Puteri. Saya berlari ke jalan raya dan menahan satu kereta. Pemandu kereta terus menghantar saya pulang ke rumah. Saya terus ke klinik dan doktor memberitahu saya bernasib baik kerana disengat lebih kurang dua puluh ekor lebah sahaja.

Kata doktor lagi lebah akan menyerang manusia jika sarangnya dirosakkan. Saya tidak pasti sama ada pekerja-pekerja lebuhraya ini merosakkan mana-mana sarang lebah. Teori ini betul juga kerana baru-baru beberapa ekor lebah telah membuat sarang di dahan pokok papaya jiran saya. Saya tidak mengacau mereka dan mereka pun tidak mengacau saya sekeluarga.

Memikirkan balik peristiwa itu saya telah membuat keputusan yang bodoh juga. Hari itu ialah hari cuti Tahun Baru Cina bila mana tiada seorang pun bekerja di projek lebuhraya itu. Saya tidak boleh bayangkan jika saya disengat beribu-ribu ekor lebh di tengah-tengah lebuhraya tanpa pertolongan.

Walau bagaimana pun saya tidak boleh lagi memasuki lebuhraya itu sekarang kerana ia telah dipagar.

Oleh kerana faktor-faktor di atas saya mengambil keputusan untuk berlari atau berjalan kaki di jalan-jalan taman di hadapan dan belakang rumah saya. Ini kerana jiran-jiran di kiri kanan dan di belakang mengenali saya. Jika saya menghadapi masalah saya anggap mereka boleh menolong saya.

Jiran-jiran sejalan dengan rumah saya berbangsa Melayu semuanya. Tetapi jiran-jiran di belakang ada berbangsa Cina dan India. Sekurang-kurangnya tiga rumah memelihara anjing. Satu keluarga India, satu keluarga Cina dan satu lagi keluarga campuran Cina India.

Di hari-hari permulaan saya berlari apabila sahaja saya menghampiri ketiga-tiga rumah tadi anjing-anjing mereka akan menyalak saya. Ada anjing besar, ada anjing kecil. Ada anjing hitam dan ada anjing putih. Ada anjing-anjing tadi berdiri di pintu pagar sambil menyalak. Agaknya kalau pintu pagar itu berlubang mungkin ada yang menerkam saya.

Tetapi lama kelamaan saya dapati salakan anjing-anjing tadi berkurangan. Ada anjing hanya berbunyi 'yelp' seolah-olah memberi salam kepada saya. Ada yang cuma baring sambil memerhatikan saya sedangkan sebelum ini mereka menerkam ke pintu pagar. Akhirnya tiada anjing yang menyalak saya.

Saya cuba mengacah anjing-anjing yang senyap ini dengan membuat bunyi salakan. Tetapi anjing-anjing ini membalas dengan salakan kecil, seolah-olah membalas 'salam' saya.

Beberapa minggu yang lepas saya berpeluang meronda malam dengan salah seorang tuan punya anjing ini. Dia anak bujang kepada keluarga campuran Cina India yang saya sebutkan di atas. Dia memberi nama Nathan kepada saya.

Saya pun bertanya kepadanya kenapa anjing-anjingnya tidak lagi menyalak saya seperti mula-mula dahulu. Nathan memberi jawapan ringkas iaitu anjing-anjingnya sudah mengenali saya. Samalah seperti anjing-anjingnya sudah mengenali jiran-jirannya yang lain.

Mengikut Nathan anjing-anjing akan menyalak sesiapa yang baru dikenalinya. Tetapi apabila mana-mana anjing sedar bahawa orang yang disalaknya bukan musuh ia tidak lagi menyalaknya lagi.

Ini mengingatkan saya apabila membaca sebuah buku mengenai kombat di udara. Apabila seorang pilot pesawat pejuang melihat kehadiran pesawat lain di radarnya ia akan memberi signal yang dipanggil IFF untuk 'Identification Friend or Foe' atau 'Pengenalan Kawan atau Musuh'. Pilot akan bertindak apabila menerima tindak balas signalnya.

Itu jugalah halnya kepada anjing-anjing tadi. Mereka menyalak untuk mendapatkan IFF. Setelah jelas saya ialah seorang 'Friend' atau kawan mereka tidak menyalak lagi.

Saya juga sempat bertanya kepada si bujang campuran tadi mengenai anjing-anjing yang diracun oleh perompak. Mengikut Nathan ini berlaku kepada anjing-anjing yang tidak disiplinkan dari kecil lagi.

Nathan berkata dia sekeluarga mendisiplinkan anjing-anjingnya dari kecil lagi dengan memberi makanan dalam bekas seperti piring. Sampai dewasa anjing-anjingnya tidak akan menyentuh apa-apa makanan yang tidak disajikan dalam piring atau sebagainya. Oleh itu anjing-anjingnya tidak mungkin dapat diracun oleh sesiapa yang melimpar makanan dari luar.

Nathan juga memberitahu anjing ialah binatang yang sukar lupa. Contohnya apabila seorang itu memukul seekor anak anjing atau 'puppy', mungkin si 'puppy' tidak melawan kerana ia masih kecil. Tetapi IFF anjing tadi memberitahunya bahawa si pemukul tadi adalah musuhnya. Apabila si 'puppy' ini menjadi dewasa dan terserempak dengan si pemukul tadi ia akan menerkamnya. Jelas Nathan perkara ini pernah berlaku kepada seorang saudaranya.

Walau kita orang Islam menganggap anjing sebagai najis kita tidak boleh menganiayainya. Samalah juga kita tidak boleh merosakkan rumah-rumah ibadat penganut agama lain.

1 comment:

melayuangkat said...

Assalamualaikum Tuan,

Memang anjing kuat menyalak terutama jika mahu menunjukkan bakti pada tuannya. Anjing memang najis disisi Fiqh Islam tetapi bukan bererti kita boleh menganiyanya sesuka hati kita. Berdosa.

Dalam keadaan tertentu juga kita boleh bela anjing, contohnya untuk menjaga estate yang luas pun itu kena pelihara anjing-anjing itu dengan baik, cukup makan minum dan kesihatannya.

Rajin Tuan bersenam walau berbagai rintangan, Alhamdulillah. Saya, bersenam dalam rumah saja sekarang. Tapi maklumlah senaman ni kena ada kuatan dalaman. Nak kurus badan, tapi malas bersenam, macam mana?
Jamuan makan hampir tiap hujung minggu. Banyak betul cabaran zaman sekarang.

Dulu dalam tahun 1960an, cabarannya tak banyak makanan, kalau ada kenduri kahwin amat riang dapat makan daging. Sekarang? Ada daging pun tak boleh makan. Kuota dah cukup, doktor dah beri amaran. Macam-macam...inilah kehidupan.