Saturday, January 2, 2010

Jelebu

Saya rasa tidak adil jika tidak menyentuh sedikit mengenai tempat saya dilahir dan dibesarkan. Semasa saya bersekolah menengah dan bekerja saya selalu ditanya begini "Where is your home town?" Saya terus jawab "Jelebu, Negeri Sembilan". Sebenarnya jawapan itu adalah mengelirukan. Ini kerana tidak ada "town" atau bandar yang bernama "Jelebu" dalam Negeri Sembilan.

Sebelum terbentuknya daerah Jempul dalam Negeri Sembilan nama-nama daerah dan bandar atau pekan pentadbirannya adalah sama, melainkan Jelebu."

Dari itu bandar pentadbiran daerah Seremban ialah Seremban juga. Sama juga halnya di Port Dickson, Rembau, Tampin dan Kuala Pilah. Cuma di Jelebu ceritanya lain sedikit. Bandar pentadbiran untuk daerah Jelebu ialah Kuala Klawang.

Keadaan yang sama timbul sekarang di daerah baru Jempul yang dibentuk dengan mengambil sebahagian daerah Kuala Pilah. Keadaan di Jempul lebih unik. Bandar pentadbirannya ialah Bandar Baru Serting dan bandar komersial utama pula Bahau. Seperti Jelebu tiada "town" atau bandar yang bernama Jempul dalam daerah Jempul. Oleh itu saya tak tahu macam mana orang Jempul akan menjawab bila dia ditanya "Where is your home town?". Orang yang tinggal di Bahau boleh jawab "Bahau". Tapi bagaimana dengan kawan saya yang berasal dari Serting itu?

Saya berbalik kepada kes Jelebu. Terdapat kes dimana seorang luar datang ke Jelebu dari arah Seremban dan berpusing-pusing mencari bandar "Jelebu". Apabila balik semula ke Kuala Klawang dia bertanya seseorang "Mana bandar Jelebu?". Orang yang disoal menjawab "Inilah bandar Jelebu", walau pun sebenarnya jawapan itu kurang tepat.

Itulah sebabnya sekarang saya perhatikan di papan-papan arah Jabatan Kerja Raya ditulis Kuala Klawang (Jelebu). Ini untuk memberitahu kepada sesiapa yang hendak mencari bandar atau ''town" yang bernama Jelebu, yang dimaksudkan ialah Kuala Klawang.

Saya juga selalu ditanya mengenai kekeliruan ini. Setelah saya menerangkan segala-galanya saya akan berkata "Saya orang Jelebu, tetapi saya bukan orang Kuala Klawang" untuk memberi contoh yang lebih tepat.

Ya, saya orang Jelebu. Dari dahulu lagi saya mengaku saya orang Jelebu. Bukan macam dua orang kawan sekolah saya dari kawasan Durian Tipus yang mengaku orang Kuala Pilah.

Mengapa ini berlaku? Kerana sehingga tahun tujuh puluhan kawasan Durian Tipus dan kawasan-kawasan sekelilingnya di Jelebu mendapat khidmat pos dari Pejabat Pos Kuala Pilah. Oleh itu untuk cepat sampai surat-surat untuk kawasan-kawasan berkenaan hendaklah ditulis "Kuala Pilah" atau "Pejabat Pos Kuala Pilah" sebelum "Negeri Sembilan".

Sebab lain ialah infrastruktur. Penduduk Durian Tipus dan kawasan sekeliling mempunyai pilihan untuk pergi ke Seremban melalui Kuala Pilah atau Kuala Klawang. Jalan melalui Kuala Pilah jauh sedikit 1 batu atau 1.6 kilometer. Tetapi mereka lebih suka pergi melalui Kuala Pilah kerana dua sebab. Sebab pertama ialah jalannya lebih lurus. Sebab kedua ialah melalui Kuala Pilah mereka perlu menaiki dua buah bas sahaja sedangkan melalui Kuala Klawang tiga buah bas. Dalam mana-mana hal pun mereka lebih cepat sampai ke Seremban melalui Kuala Pilah dari melalui Kuala Klawang.

Tetapi keadaan sekarang sudah berubah. Jalan-jalan Jelebu yang dahulunya bengkang bengkok sudah lurus sekarang. Juga terdapat satu jalan pintas dari Kg. Kerangai ke Durian Tipus meninggalkan pekan Pertang dan Simpang Pertang.

Sejak pembukaan Keratong dan kawasan-kawasan di sekelilingnya di Pahang jalan Seremban ke Kuala Pilah juga sudah menjadi sibuk. Perjalanan dahulu melalui Kuala Pilah yang lebih cepat sudah menjadi lambat sekarang, walau pun dengan pembukaan jalan baru Paroi - Ulu Bendul.

Orang Jelebu juga boleh terus ke Kuala Lumpur dan Selangor melalui Genting Peras tanpa melalui bandar Seremban.

Sebilangan besar penduduk Melayu Jelebu terdiri dari pendatang dari daerah dan negeri luar. Penduduk di Peradong, Petaseh dan Geylang berasal dari Jempul dan Kuala Pilah. Penduduk di Kenaboi dan Durian Tipus berasal dari Pahang. Kebanyakan penduduk Kg. Gagu ialah dari keturunan Minang. Terdapat kampung bernama Sepri di Jelebu sama seperi Kg. Sepri di Rembau. Saya agak penduduk kampung ini berasal dari kampung yang sama nama di Rembau.

Oleh itu cuma sebilangan kecil orang Jelebu yang betul-betul bumiputra Jelebu. Sesiapa yang teliti dapat membezakan dari loghat percakapan mereka. Orang kampung saya kebanyakannya berasal dari Jempul dan Kuala Pilah. Oleh itu kami bercakap sama seperti orang Kuala Pilah.


Tetapi saya tetap mengaku saya orang Jelebu. Cuma saya bukan orang Kuala Klawang.



Semalam saya balik kampung di Jelebu berjumpa ibu saya. Saya berhenti sebentar di Kuala Klawang mengambil gambar-gambar ini.


Menara jam ini dibina sempena kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Bumbung berbentuk Minang itu adalah tambahan baru. Ini pandangan arah ke bandar Kuala Klawang.

Jamnya masih berfungsi dengan baik. Mungkin sudah ditukar kepada jam digital. Maaf, maksud saya jam quartz.



Ini pandangan menara jam arah ke Seremban.




Satu mercu tanda baru di pekan Kuala Klawang, Muzium Adat. Saya belum berkesempatan untuk memasukinya.



Bangunan Pejabat Daerah dan Tanah, Jelebu yang lama. Saya mengangkat sumpah jawatan di hadapan Pegawai Daerah atau DO di sini pada bulan Novemver 1968.



Bandar Kuala Klawang sudah ada jalan sehala dan lampu Tetapi saya tidak mempunyai apa-apa ingatan sentimental di bandar ini kerana saya tidak pernah melepak di sini.



Jalan-jalan di Jolobu dah lughuih sekaghang. Ini jalan baru dari kampung saya menghala ke Pertang, Simpang Pertang dan Kuala Pilah.

3 comments:

Anonymous said...

sdr Maarof

Terima kasih diatas 'luahan' hati mu tentang bandar 'Jolobu' tu.... memang betul lah.... daerah nya dinamakan Jelebu. Bandar nya ialah Kuala Klawang.

You kena cari, macam mano asal usul eh namo Kuala Klawang tu.... mano ado kuala di sekitar bandar tu.... tak ado sungai pun. Bonda banyak kek sanun tu.

Cantik juga yo.... kek Kuala Klawang ado jam gadang.... macam kek Sumbar pula gayo eh.

Ese harap Dato Sri Utama Rais Yatim baco blog kau ini... biar dio buek sesuatu tentang bandar (pokan, town?) Kuala Klawang ini.

Apa yang saya perhatikan, town Kuala Klawang tu bersih. Cuma kalau kita amati, banyak bandar-bandar di N. Sembilan tidak ada ruang for expansion...

wassalam
MA

Anonymous said...

tak berapa tepat agaknya orang peradong berasal dari kuala pilah, mungkin sebahagian kecil sahaja. Saya sendiri dilahirkan di Peradong walaupun membesar di tempat lain. Ibu saya berasal dari Pahang tapi tak pasti dah berapa jenerasi tinggal di Jelebu.

Kita tinjau dari segi pertuturan bahasa orang jelebu termasuk peradong sememangnya jauh berbeza dari gaya bahasa orang Kuala Pilah dan bahasa Negeri Sembilan. Berbeza sama sekali. Lebih banyak pengaruh bahasa Pahang dari bahasa Negeri Sembilan.

Asal usul Jelebu yang mula di kenal adalah dari zaman tok batin Terjali. Generasi ke 5 dari tok batin Terjali berkahwin dengan orang dari Pagar Ruyong Sumatera dan seorang lagi berkahwin dengan orang dari Pasai, Aceh. Dari sinilah asal usul keturunan orang Jelebu hingga ke hari ini. Generasi campuran Jelebu dan Pagar Ruyong inilah yang ditabalkan menjadi Udang Luak Jelebu yang pertama.

Wallahu'alam.

Anak Solomak Pahang said...

Ada komuniti Mandailing di Kerangai Pertang dan penduduk asal Terengganu yg tak silap area Chennah yg dikatakan melarikan diri dari buruan penjajah British di Terengganu. Tentang loghat neghori di Jelebu, mmg lucu sikit bila dengar penduduk berhampiran Kuala Klawang spt di Kg Sarin,Larong dll bila berckp loghat neghori sbb sebutan mereka tidak sama dgn loghat di daerah Kuala Pilah atau Rembau. Mungkin mrk pendatang asing 🤭 datang ke Jelebu dulu2. Di durian tipus, kg Jerang dan Spg durian/sg buloh ramai orang dari Pahang.tokoh ulama spt keluarga Dato Ahmad berasal dari Temerloh Pahang begitu juga keturunan syed..