Sunday, January 10, 2010

Tak boleh sabar ke?

Semalam saya pergi ke rumah anak saya Ina di Sungai Buluh, Selangor. Sejak pembukaan berperingkat Lebuhraya Kajang Seremban (LEKAS) saya sering menggunakannya untuk ke Lembah Kelang.

Memang kebiasaan saya apabila menurun di Bukit Mantin saya tukar gear kereta kepada 'N'. Samalah keadaannya apabila saya turun di Bukit Tangga (kedua-dua laluan) dan Bukit Putus (laluan lama arah ke Seremban).

Saya memalingkan muka ke kiri seketika untuk menikmati pandangan air terjun yang dibina oleh LEKAS. Tiba-tiba isteri saya Salmah menjerit. Saya dapati sebuah kereta Toyota Vios berwarna hitam betul-betul berada beberapa inci di kanan saya. Saya memilih jalan selamat dengan memberek kereta dan membenarkan dia memotong saya.

Dia tidak patut berada di situ kerana laluan menurun arah ke utara cuma satu lorong sedangkan laluan mendaki arah bertentangan dua lorong. Sudah pasti juga pemandunya melanggar peraturan jalan raya kerana melangkah garis berkembar.

Saya agak pemandunya berbuat begitu kerana dua sebab. Sebab pertama mungkin dia marah saya bergerak agak perlahan kerana membiarkan kereta saya bergerak mengikut graviti. Tetapi semasa memotong kereta saya dia terserempak dengan kereta dari arah bertentangan. Itu sebabnya dia hampir-hampir menolak kereta saya ketepi.

Sebab kedua mungkin kerana dia marah saya memotong keretanya sebelum itu di lorong memotong. Mungkin dia pemandu yang kurang berpengalaman kerana mengekori sebuah lori terlalu hampir sedangkan saya berada jauh sedikit di belakangnya dalam keadaan selamat. Apabila masuk sahaja ke lorong memotong saya bukan sahaja dapat memotong lori tadi tetapi keretanya yang terperangkap di belakang lori. Mungkin egonya tersentak disitu.

Saya biasa melihat kedaan serupa ini. Kereta berada terlalu hampir dengan kenderaan di hadapan. Ini kerana pemandunya seorang yang mementingkan diri sendiri atau 'selfish'. Tujuannya tidak mahu memberi untuk ruang kereta dari belakang memotongnya. Dia tidak tahu dengan cara ini dia juga tidak memberi ruang kepada dirinya untuk memotong kenderaan di hadapan.

Tapi apabila kereta di belakang memotong keretanya serta kenderaan yang diekornya dia jadi marah dan timbullah keadaan dia berlumba dengan kereta yang memotongnya tadi.

Bagi saya jika saya nampak kereta di belakang saya beria-ia hendak memotong, saya memilih jalan selamat dan membiarkan dia memotong saya. Mungkin dia ada sebab tergesa-gesa.

Mungkin dia baru menerima berita ada ahli keluarganya sakit.

Mungkin bak kata isteri saya kecelakaan menunggunya di hadapan.

Mungkin egonya terlalu besar dibanding dengan kekuatan keretanya.

1 comment:

Mohd Noor said...

Salam Bg Maarof,

Alhamdulillah you did the right thing in letting the idiot go.

Saya pun ada experience yang hampir serupa dengan Bng Maarof tapi lagi tragic.

Empat tahun yang lepas, saya travel dari Kota Bharu nak balik ke Kajang, bawa Toyota. Saya ambik shortcut ikut Sg Koyan, jalannya sempit dan treacherous sebab banyak kona.

A couple of kilometers sebelum sampai ke Kuala Medang, a red Wira aeroback potong kereta saya dangerously kat one corner. I told my wife "Mamat ni nak cari maut agaknya"

Beberapa minit lepas tu, further up saya terpaksa slow down sebab ramai orang kat tepi jalan. True enough, Wira aeroback yang sama remuk kerana bertembung dengan sebuah bulldozer kat selekoh. Looking at the car wreck, I don't think there's any survivor.

For the rest of the journey back, I drove macam orang tua hilang cermin mata.