Sunday, May 23, 2010

Mengapa kita memudahkan mereka?


Semasa saya masih bekerja dahulu saya sering menggunakan ayat di atas. Pertama dalam kes kawalan deman denggi. Mengapa kita memudahkan nyamuk aedes membiak dengan menyediakan secara sengaja atau tidak tempat-tempat pembiakan mereka. Nyamuk aedes yang kita bela secara sengaja atau tidak boleh membawa demam denggi yang boleh memusnahkan hidup kita.

Memang benar nyamuk aedes juga makhluk Allah dan berhak hidup. Tetapi mengapa kita memanja atau memudahkan mereka hidup. Kalau mereka nak membiak biarlah mereka bersusah payah mencari air jernih yang jauh dari persekitaran kita. Di lain perkataan biarlah mereka berpeluh sedikit.

Begitu juga dalam kes lalat. Saya sering dapati premis-premis makanan walau pun menyediakan tong-tong sampah, tetapi dibiarkan terdedah. Ini menyenangkan lalat betina hinggap di dalamnya dan bertelur. Telur-telur ini akhirnya menjadi ulat, kemudian kepompong dan akhirnya lalat dewasa yang juga boleh membawa penyakit kepada manusia.

Lalat juga makhluk Allah, tetapi mengapa kita memudahkan makhluk yang boleh menyusahkan kita ini membiak dengan senang. Biarlah lalat-lalat ini 'berpeluh' mencari tempat membiak yang jauh dari kita.

Oh ya, apa kena mengena cerita nyamuk dan lalat dengan gambar di atas? Gambar itu ialah gambar rumah satu keluarga penduduk taman perumahan saya. Rumah di sebelah kanan itu dimasukki pencuri baru-baru ini. Tetapi tidak ada barang-barang berharga yang hilang. Ini kerana tuan rumah suami isteri, kedua-dua doktor perubatan, sedang menjalani kursus sarjana di Kuala Lumpur. Tetapi pintu-pintu bilik tidur mereka kopak juga.

Pencuri masuk melalui atap rumah. Tak payahlah saya menceritakan bagaimana dia atau mereka boleh masuk. Gambar itu boleh menceritakan segala-galanya. Dengan sekurang-kurangnya enam langkah sahaja pencuri sudah boleh berada di tangki air. Kemudian dia atau mereka naik ke atap, mencungkil dua tiga keping genting dan masuk ke atas siling. Kemudian dia atau mereka menebuk siling dan masuk ke dalam rumah, mungkin menggunakan tali. 

Ini berlaku kerana tuan rumah, dibantu oleh bangsal buruk jiran yang juga jarang-jarang balik kerana bekerja di tempat lain, dengan sengaja atau tidak telah memudahkan pencuri masuk.

Untuk pengetahuan, belakang rumah-rumah di atas ialah belukar. Saya mengambil gambar di atas dari belukar juga. Oleh itu jika kita hendak membeli rumah faktor belukar seperti ini hendaklah diambil kira juga.

1 comment:

melayuangkat said...

Salam Tuan Hj,

Ini semua kerana SIKAP masing-masing yang sering menyangka sesuatu itu hanya menimpa orang lain sahaja...