Beberapa tahun yang lalu saya duduk satu meja dengan seorang pengarah filem di satu jamuan makan malam di Seremban, Negeri Sembilan. Pengarah ini berasal dari Negeri Sembilan juga. Filem arahan pertamanya baharu sahaja ditayangkan. Tetapi filem ini telah dihentam oleh pengkritik-pengkritik filem satu Malaysia.
Memang menjadi perkara biasa apabila makan kita pun berborak. Pengarah ini tengah bercerita mengenai satu perkara bukan perfileman dengan seorang kawannya yang juga duduk satu meja dengan kami. Tiba-tiba pengarah ini berkata (saya cuba tuliskan apa sebenarnya disebut) "We learn from mistake, macam 'xxxxxxx' (nama filemnya yang saya malu nak sebut), we learn from mistake."
Saya tahu 'we learn from mistakes' atau kita belajar dari kesilapan. Tetapi kita tidak hanya belajar dari kesilapan kita sendiri. Kita juga belajar dari kesilapan orang lain. Dalam kes filem 'xxxxxxx' ini ia dihentam dari segala aspek. Arahannya teruk, lakunan teruk, suntingan teruk dan boleh dikatakan segala-galanya teruk.
Saya teringin untuk menegur pengarah filem ini, tetapi tidak berbuat demikian mengenangkan saya menjadi tetamu majlis ini.
Seniman agung Allahyarham P.Ramlee sebelum menjadi pengarah telah belajar dari pengalamannya berlakun. Dia juga belajar dari pengarah-pengarah seperti Phani Majumdar dan L.Krishnan yang mengarahkan filem-filem lakunannya. Kalau tak percaya tanya L.Krishnan yang masih hidup.
Tidak kurang pentingnya P.Ramlee juga menonton filem-filem Inggeris, Cina dan India. Dari sinilah P.Ramlee belajar dari kesilapan orang lain. Oleh itu bila dia mengarahkan filem pertamanya 'Penarek Becha' (ejaan sebenar semasa itu) dia tidaklah dikritik sangat. Mungkin tidak dikritik langsung. Kerana dia telah 'learn from mistakes' walau pun 'mistakes' dalam hal ini dibuat oleh orang lain.
Tidak berapa lama selepas makan malam itu pengarah ini mengarahkan sebuah lagi filem bertajuk 'yyyyyyy' (saya juga malu menyebut namanya). Filem ini ditayangkan secara perdana di panggung Odeon, Jalan Temiang, Seremban. Saya sama-sama menontonnya kerana diberi satu tiket percuma. Tetamu kehormat ialah Dato' Seri Utama Rais Yatim, Menteri Besar Negeri Sembilan semasa itu. Umum mengetahui Dato' Rais ialah seorang peminat seni.
Selesai sahaja filem ditayangkan Dato' Rais dan isteri Datin Masnah terus meninggalkan panggung tanpa menikmati jamuan ringan yang disediakan. Saya boleh mengagak kenapa mereka berbuat demikian. Sebagai seorang pencinta seni Dato' Rais malu melihat filem begitu rupa. Mungkin Dato' tidak sanggup bersemuka dengan pengarah filem ini kerana keterukan filem arahannya.
Jelaslah pengarah ini tidak belajar dari kesilapannya sendiri seperti yang pernah disebutnya. Kerana setelah ditayangkan kepada umum filem ini juga dihentam oleh para pengkritik.
Negara kita baharu sahaja dikejutkan dengan berita kematian Allahyarham adik Aminulrasyid yang mati ditembak polis semasa melarikan diri dengan kereta di Shah Alam, Selangor. Dari maklumat yang saya baca, masing-masing adik Aminul dan polis yang menembaknya telah membuat kesilapan. Malang sekali adik Aminul tidak sempat belajar dari kesilapannya.
Tetapi nampaknya sama seperti pengarah tadi ada orang lain yang tidak belajar dari kesilapan yang berlaku di Shah Alam itu. Tidak sampai dua minggu peristiwa malang itu, terjadi pula kejadian hampir serupa di Seremban, Negeri Sembilan. Kali ini seorang anggota polis menembak seorang penunggang motosikal yang cuba lari.
Kejadian berlaku di Jalan Jelebu, Seremban, cuma beberapa kilometer dari rumah saya. Malah pagi semalam saya melalui tempat kejadian tanpa mengetahui ada berlaku kejar mengejar dan tembakan beberapa jam sebelumnya.
Perbezaan kejadian di Seremban dengan di Shah Alam ialah kali ini yang ditembak tak mati. Dia cuma cedera dan hidup untuk menceritakan segala-galanya. Mungkin selepas ini ramailah pihak-pihak yang berkepentingan ingin berjumpa dengannya untuk tujuan-tujuan tertentu.
Dia menjadi seorang 'celebrity' secara tiba-tiba kerana tidak belajar dari kesilapan orang. Dia mungkin tidak sedar kesilapannya tidak belajar dari kesilapan orang hampir menyabut nyawanya.
Bagi anggota polis yang menembak dia diberitakan digantung kerja, juga kerana tidak belajar dari kesilapan beberapa orang kawan sekerjanya di satu negeri jiran. Mungkin dia sudah berkeluarga dan sudah tentu kehidupan keluarganya tidak seperti dulu lagi.
Ini semua berlaku kerana yang terlibat tidak belajar dari kesilapan, walau pun kesilapan itu dilakukan oleh pihak lain.
2 comments:
saya setuju apa yang dikatakan...bab polis tu satu hal lah ...menurut cerita dia digantung kerja.....tapi bila cerita ni atau yang serupa disensasikan seolah2 perbuatan budak ni termasuk arwah Aminulrasyid macam tak melakukan kesalahan....macam dianggap wira.........sebutkan kesalahan masing2 supaya jadi pengajaran kepada semua
Muhd. Abd.
Tidak berapa lama selepas WW1 kita menghadapai WW2 dengan lebih dahsyat. Buat masa ini kita telah mempelajari dari kesilapan itu dengan tiadanya WW3 hingga ke hari ini. Polis menjalankan tugas tetapi apakah alasan mereka yang dianggap mangsa untuk berada dijalan raya pada masa itu? Akan datang ini ramai pembunuh, perogol, peragut, perompak yang akan lepas bila diburu Polis kerana anggota Polis terlampau berhati. Dengan sikap yang berhati hati inilah juga saya rasa ramai anggota Polis akan menjadi mangsa apabila mereka berdepan dengan penjenayah yang bersenjata merbahaya.
Post a Comment