Thursday, June 17, 2010

Banci lagi.

Kali terakhir saya terlibat dengan Banci ialah sepuluh tahun lalu iaitu pada tahun 2000. Satu dekad sudah berlalu dan negara akan menghadapi Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010 mulai 6 Julai hingga 22 Ogos 2010.

Jika dilihat dari gambar di atas beg banci saya yang diberi oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2000 masih baik lagi. Beg itu berwarna biru gelap.

Saya baharu sahaja diberi beg baru berwarna hitam. Ini bermakna saya akan terlibat dalam Banci kali ini. Sebenarnya saya sudah mula 'bertugas' mulai 14 Jun yang lalu. Ini juga bermakna setelah 'menganggur' selama hampir setengah tahun saya bekerja semula, walau pun cuma untuk sementara.

Sama seperti sepuluh tahun yang lalu kali ini saya akan bertugas sebagai Penyelia Banci juga. Saya akan menjaga lima orang Pembanci iaitu orang sebenar menjalankan kerja-kerja pembancian dari rumah ke rumah.

Untuk tujuan tersebut saya telah menjalanai latihan selama tiga hari di bangunan Majlis Perbandaran Nilai. Kenapa di Nilai? Kerana kerja sebagai Penyelia Banci untuk kawasan Majlis Perbandaran Seremban sudah penuh.

Bekerja di Nilai ini sebenarnya satu cabaran untuk saya. Kalau sepuluh tahun yang lalu saya boleh menggunakan 'kuasa' saya semasa bertugas di kawasan Majlis Perbandaran Seremban, kali ini tidak boleh lagi. Tetapi saya merasa bersyukur juga kerana kali ini diberi kawasan yang majoriti penduduknya Melayu. 

Antara 'Tempat Kediaman' (TK) dalam 'Lingkungan Banci' (LB) saya ialah rumah Dato' Seri Utama Tan Sri Isa Samad. Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pun di bawah 'LB' saya. 

Antara ciri-ciri baru dalam Banci kali ini ialah apa yang dinamakan sebagai DOPU dan e-census. DOPU bermaksud 'Drop Off & Pick Up'. Ertinya jika satu-satu TK didapati selalu tutup Pembanci akan meninggalkan  (drop off) satu 'kit' banci mengandungi borang dan pen khas serta arahan supaya borang diisi sendiri oleh penghuni. Selepas tiga hari Pembanci akan pungut (pick up) borang yang telah diisi.

E-census pula bermaksud penghuni boleh mengisi borang banci melalui internet. Untuk tujuan ini sesiapa yang hendak dibanci secara e-census hendaklah mempunyai e-mail sendiri. Saya telah memutuskan untuk mengisi borang banci melalui e-census untuk rumah saya sendiri. 

Dengan adanya sistem DOPU dan e-census jika masih terdapat manusia yang enggan memberikan kerjasama dalam kerja-kerja bancian tak tahulah saya nak cakap apa. 

Cuma saya berdoa kepada Allah supaya memudahkan tugas-tugas saya dan Pembanci-pembanci di bawah jagaan saya,    

1 comment:

Anonymous said...

Maarof.

Tahniah engkau sudah dilantik untuk bekerja kontrak dengan Jabatan Perangkaan. Bagus juga tu. Setidaknya ada 'masyuk'... siapa nak beri RM100 atau RM200 sehari. Teruskan.

Banci jangan benci pula.

Dari foto yang you lampirkan tu, nampaknya you masih simpan bag biru banci tahun 2000 tu ye? Cantik lagi. Macam lah kita simpan bag sandang kecil yang dibekalkan kepada setiap jemaah semasa menunaikan haji.

All the best to you. Time flexible ke? Malam kerja kut?

wasalam
MA