Saturday, June 12, 2010

Datuk.

Saya meminta maaf jika pos saya ini dianggap melanggar mana-mana etika atau menyinggung sesiapa. Lebih-lebih lagi jika ia dianggap mencabar atau cuba mencabar kuasa atau hak mana-mana raja memerintah negeri-negeri dalam Malaysia ini.

Minggu lepas saya menerima satu SMS memberitahu saorang anak buah saya suami isteri menjemput saya ke upacara perkahwinan anak sulungnya. Yang memeranjatkan saya ialah terdapat gelaran 'Datuk' di hadapan namanya diikuti gelaran 'Datin' di hadapan nama isterinya. 

Saya pun terus menghubungi adik saya Shamsiah yang lebih kenal kepada anak buah kami ini menanyakan bila dan dimanakan dia mendapat gelaran Datuk ini. Saya pasti ia bukan dari Istana Seri Menanti kerana dua sebab. Sebab pertama ialah gelaran dari Yang Di Pertuan Besar, Negeri Sembilan dieja 'Dato'. Sebab kedua saya membaca sendiri senarai yang menrima anugerah 'Dato' dari Istana Seri Menanti untuk tahun ini dan nama anak buah saya itu tidak ada.

Adik saya Shamsiah menjawab anak buah kami mendapat gelaran 'Datuk' dari satu negeri lain pada awal tahun ini. Tidak payahlah saya menyebut dari negeri mana. Yang pentingnya saya tumpang gembira kerana sekurang-kurang ada saudara terdekat saya menerima anugerah 'Datuk'. 

Tetapi saya tidak akan memanggilnya 'Datuk'. Dia anak buah saya yang juga berpuluh tahun muda dari saya. Dia pula memanggil saya Pak Lang. Bagi saya walau apa pun pangkat dan anugerah yang kita terima etika kekeluargaan hendaklah diutamakan.

Semalam dan hari ini pula saya dikejutkan dengan berita empat orang Datuk telah ditarik balik anugerah mereka. Belum apa-apa lagi sudah ada pihak yang menafikan mereka 'menghasut' pihak istana supaya menarik balik anugerah tersebut.

Dihasut atau tidak mesti ada sebab kenapa anugerah mereka ditarik balik. Nasihat saya kepada anak buah saya itu ialah supaya menjaga tata tertib. Jangan pula nanti saya terbaca anugerah Datuk kepadanya ditarik balik pula.       

1 comment:

Anonymous said...

eden sukong pondapat tuan haji tu.
jaman sekarang ni ha..pangkat datuk tu udah takdo ummphh laie kato oghang..melolong, joget colah-colah pokok pon dapat datuk haa..dolu-dolu kalau bona berjaso baghu buleh dapat..
pado den, datuk pasa ado cucu laie hebat haa...
tak dapek den nak nolonggg aaa...

ojang tolajak