Tuesday, June 8, 2010

P. Ramlee dalam ingatan saya.

Tarikh 29 Mei tiap-tiap tahun ialah tarikh perginya ke Rahmatullah seniman agung P. Ramlee. Oleh itu tidak lewat rasanya saya menulis sesuatu mengenainya.

Saya mendengar berita pemergian P. Ramlee semasa membawa kereta pada pagi 29 Mei 1973. Apabila sahaja namanya disebut di radio saya sudah menjangka satu berita kurang baik. Jangkaan saya didapati benar. Apabila kembali ke pejabat saya dapati ramai kawan-kawan pejabat saya belum medengar berita yang sama. Saya masih bujang di masa itu.

Saya mula mengenali P. Ramlee melalui radio juga. Selepas arwah bapa saya meninggal dunia semasa saya berumur 3 tahun ibu saya membawa kami adik beradik tinggal di rumah datuk kami. Di rumah atuk saya mula-mula kenal kepada radio.

Radio atuk dikuasai oleh bateri basah seperti bateri kereta sekarang. Apabila kuasa dah nak habis atuk membawa bateri ke pekan Kuala Klawang, Jelebu menaiki bas untuk bateri di'cas' semula. Sementara atuk bawa bateri untuk di'cas' senyap sunyilah rumah atuk.

Antara lagu-lagu yang saya dengar di radio atuk lagu-lagu nyanyian P. Ramlee menarik perhatian saya. Antara-antara lagu-lagu yang saya ingat ialah 'Bulan dan Juga Angin', 'Patah Tumbuh Hilang Berganti' dan 'Rintihan di Jiwaku'. 

Apabila atuk pula meninggal dunia tiada siapa yang hendak menggantikan tugas atuk membawa bateri untuk di'cas'. Di samping itu juga ibu saya membawa kami kembali ke rumahnya. Oleh itu putuslah hubungan saya dengan radio. Saya hanya terdengar lagu-lagu di radio apabila melalui rumah-rumah jiran.

Di masa itu juga radio tidak menggunakan kuasa bateri basah lagi. Kali ini dikuasai oleh bateri kering pula. Baterinya berbentuk kotak sebesar kotak kertas tisu sekarang. Seperti bateri sekarang apabila kuasa habis ia dibuang sahaja. Antara jenama bateri kotak yang saya ingat ialah 'Berec' dan 'Eveready'.

Era radio bateri kotak tamat apabila timbul radio transistor menggunakan bateri saiz AA, UM-1 dan UM-3 seperti sekarang.

Apabila balik ke rumah ibu saya dapati arwah bapa saya juga meninggalkan koleksi piring hitam 78 r.p.m. Tetapi tiada piring hitam lagu P. Ramlee dalam koleksinya. Ini kerana arwah bapa saya meninggal dunia sebelum P. Ramlee terkenal.

Di tahun 1959 semasa saya berumur 9 tahun dan bersekolah di Darjah Empat ibu saya membawa kami adik beradik ke rumah adiknya Yusuf yang bertugas sebagai seorang tentera di Sungai Udang Melaka. Apabila melalui bandar Melaka saya ternampak poster-poster filem P. Ramlee 'Musang Berjanggut' di pasang di beberapa tempat. Ini memberitahu filem itu sedang ditayangkan di satu panggung di bandar itu. Sama ada Rex atau Capitol saya kurang pasti.

Hati saya terus berkata alangkah baiknya jika Acek (panggilan untuk arwah bapa saudara saya) membawa kami menonton filem ini. Sungguh tak disangka doa saya menjadi kenyataan. Acek membawa kami menonton filem itu di satu malam kami di sana. Jadi filem pertama yang saya tonton dalam hidup saya ialah filem P. Ramlee.

Sehingga sekarang apabila melihat kembali filem 'Musang Berjanggut' di TV saya tidak lupa teringat melihatnya kali pertama di Melaka Bandaraya Bersejarah. Sememangnya Acek ini kaki wayang juga. Salah satu hobinya ialah menyimpan koleksi tiket-tiket wayang yang ditontoninya. Oleh kerana beliau seorang tentera sudah tentulah koleksinya meliputi satu negara dan juga Brunei Darussalam di mana beliau pernah bertugas.

Tiket-tiket ini dibawanya balik ke rumah atuk. Di belakang tiket ditulisnya nama-nama filem yang dia tonton. Sudah tentulah ini termasuk filem-filem P. Ramlee. Malang sekali tiket-tiket itu sudah hilang sekarang.

Apabila saya memasuki sekolah menengah di Sekolah Dato' Abdul Razak, Tanjung Malim, Perak saya tidak mengharapkan orang seperti Acek untuk membawa saya ke panggung wayang. Dengan wang poket dan wang biasiswa saya bebas menonton filem di pekan Tanjung Malim dan Hulu Bernam, Selangor.

Saya tidak lepas menonton filem-filem P. Ramlee yang ditayangkan di panggung Rex, Tanjung Malim. Saya juga tidak melepaskan peluang mendengar lagu-lagu P. Ramlee di radio asrama sekolah.

Saya masih ingat menonton filem 'Labu dan Labu' di panggung Rex Tanjung Malim. Rupa-rupanya seorang guru saya berbangsa Inggeris bernama Colin George Ball juga menonton filem itu. Sudah tentu dia membaca sarikata sebagai panduan.

Dia pun bercerita dalam kelas bahawa dia sungguh terhibur dengan filem itu walau pun hanya memahaminya melalui sarikata. Antaranya yang saya ingat seperti disebut Mr. Ball ialah apabila P. Ramlee sebagai Labi mengatakan ia seekor 'educated tiger' bila bermimpi menjadi harimau. Inilah satu kehebatan P. Ramlee sehinggakan seorang yang bukan Melayu dan bukan warganegara Malaysia menghargai filemnya.

Dalam tahun-tahun enam puluhan pekan Tanjung Malim merupakan pekan persinggahan mereka yang berkereta dari utara ke selatan. Di antara yang pernah singgah di pekan kecil ini ialah P. Ramlee sendiri. Walau pun saya tidak pernah melihatnya ada kawan-kawan saya yang ternampak P. Ramlee minum di restoran Yik Mun yang sehingga sekarang terkenal dengan Pau Tanjung Malim itu.

P. Ramlee dan isterinya Saloma juga pernah menyanyi di Dewan Rahman Talib, dewan sekolah saya itu. Tetapi oleh kerana dewan itu disewa oleh pihak lain semasa itu kami murid-murid dilarang menghampirinya. Gambar lama dan baru Dewan Rahman Talib ada dalam 'slide' saya di atas.

Tetapi akhirnya saya dapat juga melihat P. Ramlee 'in person'. Saya lupa pada tahun berapa tetapi saya melihatnya dalam satu restoran di Stesen Keretapi Kuala Lumpur. Ini semasa saya dan kawan-kawan berhenti dalam perjalanan balik ke sekolah di Tanjung Malim.

P. Ramlee berada dalam satu kumpulan yang saya tidak kenal. Tetapi apa yang menarik saya ialah apabila bercakap P. Ramlee menggerakkan kedua-dua belah tangannya. Ini seakan-akan sama seperti dalam lakunan filem-filemnya.  

Bagi saya keistimewaan sebenar P. Ramlee ialah kebolehannya mencipta lagu. Memang benar P. Ramlee boleh mengarah, berlakun dan menyanyi tetapi ketiga-tiga kemahiran tersebut boleh didapati dari latihan. Pengarah dan pelakun seperti Francis Ford Coppola, Al Pacino dan Robert de Niro kesemuanya belajar di akademi lakunan.

Nyanyian juga tidak memerlukan bakat semula jadi. Eric Clapton memulakan kerjaya muziknya semata-mata sebagai pemain gitar. Setelah beberapa tahun bermain gitar untuk orang lain (gitar yang menangis dalam lagu  The Beatles 'While My Guitar Gentlly Weeps' ialah mainan Eric Clapton) barulah Eric cuba-cuba menyanyi, sampai memenangi hadiah Grammy.    

Tetapi tidak pernah saya dengar tentang ujudnya mana-mana akademi mencipta lagu. Kerana kebolehan mencipta lagu ialah satu anegerah Allah Taala. Perbezaannya ialah sama ada lagu atau muzik yang dicipta itu baik atau tidak. Dalam hal ini sudah ternyata lagu-lagu ciptaan P. Ramlee terbukti termasuk dalam kategori terbaik.

Dalam kes P. Ramlee mungkin dia bernasib baik juga kerana lagu-lagu ciptaannya dapat disampaikan melalui filem-filem. Tidak kiralah sama ada filem-filem itu arahannya, lakunannya atau tidak. Sebenarnya salah satu kekuatan filem-filem lakunan dan arahan P. Ramlee ialah muzik yang diciptanya sendiri.

Bagitu kaya lagu-lagu ciptaan P. Ramlee sampaikan jika kita teliti betul-betul ada lagu-lagu ciptaannya sudah terdengar di filem-filem awal sebelum lagu-lagu tersebut dinyanyikan secara sempurna di filem-filem kemudiannya. Contohnya lagu 'Alangkah Indah di Waktu Pagi' dari filem 'Ali Baba Bujang Lapok' sudah terdengar melodinya dalam filem awal 'Musang Berjanggut'.

Dalam filem 'Musang Berjanggut' juga terdengar melodi lagu 'Rukun Islam' yang hanya dirakamkananya beberapa tahun selepas filem itu. Bagitu juga semasa 40 penyamun bersukaria dalam gua dalam filem 'Ali Baba Bujang Lapok' mereka menari mengikut melodi lagu 'Aci Aci Buka Pintu' yang hanya dinyanyikan secara sempurna dalam filem 'Nasib Labu dan Labi'.

Ini mengingatkan saya terbaca cerita The Beatles merakamkan album mereka. Semasa dalam studio merakam lagu-lagu mereka untuk satu album, John Lennon dan Paul McCartney sudah menyuarakan beberapa lagu secara 'humming' untuk album mereka seterusnya. Kehebatan The Beatles juga ialah kerana kekuatan lagu-lagu ciptaan John Lennon dan Paul McCartney.  

Kadang-kadang saya terfikir kenapa kerajaan kita tidak meminta P. Ramlee mencipta Lagu Kebangsaan kita seperti kerajaan Singapura meminta Pak Zubir Said mencipta lagu kebangsaan mereka 'Majulah Singapura'. Tidaklah timbul kontrovesi lagu 'Negara Ku' diciplak dari lagu 'Terang Bulan' yang juga diciplak dari lagu 'Mamula Moon'.  
Walau bagaimana pun ada satu lagu P. Ramlee yang menjadu lagu 'anthem' seperti 'Negara Ku'. Lagu yang saya mamsudkan ialah lagu 'Selamat Pengantin Baru'. Saya belum pernah tidak terdengar lagu ini dinyanyikan secara rakaman, karaoke atau dimainkan oleh band semasa pengantin datang atau bersanding. Diharapkan lagu ini kekal selagi ada pasangan pengantin Melayu berkahwin.

Manalah tahu nanti ada pula fatwa mengatakan tidak perlu persandingan dan tidak perlu kenduri kahwin. Juga muzik itu haram di upacara perkahwinan. Maka lenyaplah lagu 'anthem' 'Selamat Pengantin Baru' ciptaan P. Ramlee.

Sebenarnya kita lupa sebelum P. Ramlee mencipta lagu 'Selamat Pengantin Baru' untuk filem 'Madu Tiga' beliau ada merakamkan lagu 'Di Renjis-Renjis', juga satu lagu perkahwinan untuk filem. Cuma saya tidak pasti sama ada lagu itu ciptaannya sendiri dan di filem apa lagu itu dinyanyikan.

Untuk pengetahuan, kerana mungkin ramai yang tidak tahu P. Ramlee mula-mula terlibat dalam dunia perfileman bukan untuk berlakun atau mengarah. Tetapi untuk meminjamkan suaranya untuk lagu-lagu nyanyian hero-hero lelaki Malay Film Productions, Singapura. Dari situ bakatnya sebagai pelakun, pengarah dan pencipta lagu terserlah.

Malang sekali di akhir-akhir hayatnya di Kuala Lumpur bakat P. Ramlee dalam muzik dan filem seolah-olah kering. Sampaikan untuk filem 'Enam Jahanam' dia menyanyikan semula lagu 'Dimana Kan Ku Cari Ganti' yang pernah dirakamkan untuk filem 'Ibu Mertuaku'. Begitu juga dalam lagu tema filem 'Do Re Mi' ada beberapa baris melodi lagu Inggeris 'Swanee River'.

Disamping itu P. Ramlee juga meminta bantuan pencipta lagu Ahmad Nawab untuk mencipta lagu untuk filem-filemnya. Contohnya lagu-lagu 'Bintang Malam' dan 'Bossanova' dalam filem 'Do Re Mi'. Juga lagu-lagu 'Ilham Tiba' dan 'Taman Firdausi' dalam filem 'Nasib Do Re Mi'. Ramai yang tidak tahu kesemua lagu-lagu tersebut bukan ciptaan P. Ramlee walau pun terdapat dalam filem arahan P. Ramlee dan dinyanyikan pula oleh P. Ramlee dan Saloma, isteri P. Ramlee.

Contoh kekeringan bakat filem dan muzik P. Ramlee dapat dilihat di filem terakhirnya 'Laksamana Do Re Mi'. Jika sebelum itu dua filem dari 'trilogi' 'Do Re Mi' iaitu 'Do Re Mi' dan 'Nasib Do Re Mi' cukup bertenaga, filem 'Laksamana Do Re Mi' adalah sebaliknya. Sebenarnya ada beberapa filem P. Ramlee keluaran Merdeka Filem Productions, Kuala Lumpur seperti dilupakan sahaja. Antaranya 'Dr. Rushdi', 'Sesudah Subuh', dan 'Si Tora Harimau Jadian'.

Mungkin ada hikmahnya P. Ramlee meninggalkan kita semasa bakatnya seolah-olah sudah menurun. Sekurang-kurangnya kita masih mengingati kehebatannya. Tetapi jika ditakdirkan beliau belum meninggalkan kita dan bakatnya terus menurun saya bimbang masyarakat akan terus lupa terhadap kehebatannya.

No comments: