Thursday, October 7, 2010

Stesen keretapi baru di Seremban.

Dengan penyambungan trek berkembar KTM dari Seremban ke Gemas dua stesen baru sedang didirikan si Seremban, satu di Senawang dan satu lagi di Sungai Gadut. Semalam saya sempat ke tapak pembinaan stesen baru di Senawang. 

Stesen ini terletak antara Taman Bukit Emas di Jalan Tampin dan Taman Seri Mawar di Senawang. Kebetulan semasa saya di sana beberapa orang kuat syarikat yang membina stesen ini sedang membuat lawatan. Pada mulanya saya menyangka akan di halau keluar, lebih-lebih lagi saya datang dengan kamera DSLR. Tetapi setelah mengenalkan diri dan menyatakan saya ingin mempromosikan stesen ini, saya dibenarkan mengambil gambar.

Pada perkiraan saya stesen di Senawang ini amat perlu memandangkan Senawang agak penuh sesak dengan manusia. Sebenarnya semasa Kawasan Perindustrian Senawang mula-mula dibina ada rancangan untuk menyambung trek keretapi terus ke kilang-kilang di sana. Jika diperhatikan di belakang kilang-kilang terdapat kawasan lapang memanjang yang sebenarnya dirancang untuk dijadikan trek keretapi. Tetapi dengan pembinaan Lebuhraya Utara Selatan pembinaan trek ini dibatalkan.

Tidak apalah stesen baru ini untuk pengangkutan manusia dan bukan untuk pengangkutan barang. Sekurang-kurangnya ia mengurangkan kesesakan di kawasan stesen keretapi Seremban sekarang. Cuma saya merasa kecewa seolah-olah tiada perancangan apabila pihak-pihak berkuasa membina terminal pengangkutan seperti stesen bas dan keretapi. Lihat sahaja di bandar Seremban. Stesen keretapi lebih kurang 500 meter jauhnya dari stesen bas. Kenapa tidak dibina stesen bas baru di tapak Seremban Parade sekarang? Sedangkan tapak dahulu ialah Padang Stesen dan kemudian Stadium Perbandaran Seremban.

Salah satu sebab Seremban Parade maju ialah kerana ia terletak bersebelahan dengan Stesen Keretapi Seremban. Tetapi orang ramai yang ingin bergerak dari Seremban Parade ke Stesen Keretapi Seremban dan sebaliknya terpaksa menyabung nyawa melintasi jalan utama yang sibuk. Kenapa tidak didirikan jejantas antara kedua-dua kompleks ini. Kenapa pihak KTM tidak berbincang dengan tuan punya Seremban Parade untuk tujuan ini? Agaknya mereka mengharapkan pihak ketiga seperti Majlis Perbandaran Seremban atau Kerajaan Negeri untuk mendirikannya.

Inilah gambar-gambar pembinaan stesen keretapi baru Senawang. Saya akan cuba mengambil gambar stesen keretapi Sungai Gadut selepas ini.


Pandangan dari Taman Bukit Emas.


Pandangan ke utara. Saya agak stesen ini akan mempunyai dua pintu masuk seperti stesen keretapi Tanjung Malim, Perak.


Saya tidak pasti sama ada keretapi antara bandar seperti ini akan berhenti di Senawang?


Kawasan komersial yang paling hampir ialah Taman Bukit Emas, Jalan Tampin.


Kawasan perumahan yang paling hampir pula ialah Taman Seri Mawar, Senawang.


Tapak untuk tempat letak kereta. Di belakang itu ialah Kawasan Perindustrian Senawang.

Stesen ini mesra Orang Kurang Upaya (OKU). Lif disediakan.
  


2 comments:

azahar said...

Masih teringat satu waktu cuti penggal ketiga di mana masa tu pelajar Terengganu terpaksa naik keretapi kerana banjir...

Aku ikut Mutalib Hj Nih naik keretapi dari TM ke Palekbang...24 jam perjalanan!

Dari Palekbang naik teksi ke KT (Pulau Rusa) bermalam di rumahnya semalam...

dahlan said...

Satu kemajuan dalam pembinaan stesen keretapi, dimana lebih kurang 16 -17 tahun lepas hentian atau stesen keretapi laluan KL - Klang atau KL Seremban pembinaannya agak mudah. Tambak kan tanah di tepi landasan, bina satu jejantas dan pagar kan kawasan nya, jadilah satu hentian ataupun stesyen.

Kita tidak pasti sejauh mana KTM mengambil kira pandangan umum dalam perancangan pembinaan landasan berkembar elektriknya. Yang pasti sekiranya pandangan dan buah fikiran lebih ramai pihak yang berkepentingan di ambil kira hasil usaha yang baik ini akan lebih disenangi.