Thursday, November 11, 2010

Jangan bermusuh dengan wartawan.

Jabatan saya dahulu, Majlis Perbandaran Seremban atau MPS mempunyai hubungan baik dengan wartawan. Saya fikir sampai sekarang hubungan baik itu masih diteruskan kerana saya jarang-jarang membaca berita MPS dihentam oleh mereka. 

Ada juga kawan-kawan saya merungut terhadap layanan istimewa yang diberikan oleh jabatan kepada wartawan. Antaranya jabatan sering mengadakan jamuan khas untuk wartawan. Ceritanya untuk menjaga hubungan baik antara jabatan dengan media massa. Para wartawan juga diberi stiker letak kereta percuma. Ceritanya pula untuk menyenangkan para wartawan meletakkan kereta mereka di mana-mana, supaya memudahkan mereka membuat laporan apa-apa kejadian. Sudah tentu dalam apa-apa laporan itu tidak diceritakan apa-apa keburukan kami. Aku jaga kau, pandai-pandailah  kau jaga aku.

Saya pun jawab kepada kawan-kawan, jika tidak berbaik dengan wartawan, susah juga kita. Tentu banyak berita negatif mengenai kita dilaporkan. Bila boss kita baca laporan begitu, kitalah  yang jadi mangsa. Mungkin ada sesiapa yang mengharapkan menerima Anugerah Khidmat Cemerlang terbantut cita-cita mereka cuma kerana ada diantara kami yang bermusuh dengan wartawan. 

Beberapa tahun dulu ada satu restoran nasi ayam di Ampangan, Seremban. Saya selalu singgah disitu membungkus nasi ayam apabila orang rumah saya tidak sempat menyediakan makanan tengah hari kerana  sebab-sebab tertentu. Saya cukup bangga kerana restoran ini diusahakan oleh satu keluarga Melayu dan perniagaannya boleh tahan juga.

Tiba satu hari seorang DJ Negeri FM (dulu dipanggil Radio 3 Seremban) lelaki dan tidak kurang popularnya singgah di restoran ini. Mungkin pekerja-pekerja restoran ini tidak mengenali DJ ini. Maklum sahajalah cuma suara mereka yang sering kedengaran, rupa entah macam mana? Dipendekkan cerita DJ ini menerima layanan buruk dari restoran ini. Apa lagi, DJ ini yang termasuk dalam gulungan wartawan juga, terus menceritakan tentang layaran buruk ini di udara. Walau bagaimana pun dia tidak menamakan restoran ini secara khusus, tetapi dari apa yang diceritakannya pendengar boleh tangkap restoran mana yang dimaksudkan.

Semenjak itulah perniagaan restoran ini merosot. Perniagaan kemudian diambil alih oleh orang lain. Peniaga restoran ini kemudian membuka satu gerai haram di tempat lain untuk meneruskan perniagaannya. Itu pun tak jadi. Sekarang saya tidak dengar lagi nama restoran ini. Itulah satu contoh di mana wartawan boleh mengubah kehidupan kita sama ada kepada yang baik atau sebaliknya.   

Baru-baru ini saya melihat dokumentari mengenai seniman agung Allahyarham P. Ramlee di Astro History Channel. Rupa-rupanya P. Ramlee ini tidak mesra dengan wartawan. Diceritakan oleh seorang kawan rapatnya apabila P. Ramlee tahu wartawan hendak datang ke setnya dia akan lari. Ini saya rasa satu kesilapan besar dan bagi saya salah satu sebab kejatuhan seniman agung ini semasa penghujung hayatnya.

Di antara orang yang saya tahu paling mesra dengan wartawan ialah mantan Menteri Besar Negeri Sembilan Dato' Seri Utama Tan Sri Isa Samad. Semasa menjadi MB wartawan mengekorinya ke mana-mana dia pergi. Sehinggakan apabila dia datang ke jabatan saya untuk mesyuarat dan sebagainya, kami menyediakan ruang khas untuk Dato' Seri Utama membuat persidangan akhbar. Juga untuk menjaga hubungan baik kami dengan wartawan mereka juga tidak lupa dijamu. Tetapi oleh kerana masa amat penting bagi mereka, tidak semua yang tinggal untuk menjamu selera yang tidak kurang enaknya.

Saya perhatikan Dato' Seri Uama cukup selesa dengan wartawan di sekelilingnya. Tidak sah jika tidak ada wartawan yang ketawa di sidang akhbarnya. Hubungan baik Dato' Seri Utama dengan para wartawan juga menjadi faktor dia menang dalam satu Pilihanraya Kecil beberapa bulan yang lalu sedangkan Dato' Seri Utama seolah-olah sudah tersisih dari arena politik negara.

Ini berlainan dengan seorang Menteri Besar di satu negeri di utara yang diceritakan di TV malam tadi dan di akhbar-akhbar hari ini.

1 comment:

Abu Nu'man said...

Informasi yang sungguh bermanfaat. Hakikatnya kita dilarang bermusuh dengan sesiapa pun. Saya boleh memahami emosi yang dilalui oleh Menteri Besar dari negeri Utara tersebut. Dan saya juga memahami situasi 'terpaksa' yang dilalui oleh para wartawan. Mereka kadang kala terpaksa mengorbankan prinsip kebenaran. Apakan daya, makan gaji. Apa pun, saya sangat suka apabila tuan berkongsi cerita-cerita lama. Sangat-sangat bermanfaat.