Di bandar Fukuoka, Japan ada sebuah kelab bernama Rainbow Club. Yang uniknya keahlian hanya terbuka secara percuma kepada penduduk asing yang tinggal di bandar tersebut, sama ada mereka pelancong, pekerja atau pelajar. Kelab ini terletak di satu tingkat bangunan sebelah bangunan Fukuoka City Hall. Kebetulan saya berada di Fukuoka pada pertengahan tahun 2004 kerana menjalani latihan yang dianjurkan oleh Japan International Cooperation Agency (JICA). Sebenarnya latihan dijalankan oleh JICA Kyushu yang berpusat di bandar Kitakyushu. Tetapi oleh kerana latihan banyak dijalankan oleh Fukuoka City Hall dan Fukuoka University saya dan kawan-kawan (7 orang semuanya) ditempatkan di Fukuoka.
Di Rainbow Club diletakkan buku-buku bacaan dari satu dunia. Akhbar-akhbar utama dunia juga diterbangkan ke kelab ini. Akhbar dari Malaysia ialah Utusan Malaysia walau pun ia lewat sampai sehari. Satu lagi kemudahan yang disediakan ialah kemudahan internet, juga percuma tetapi dihadkan penggunaan sejumlah sejam untuk tiap-tiap ahli untuk sehari. Ini bermakna seorang ahli yang telah menggunakan internet selama 30 minit pada paginya boleh menggunakan lagi 30 minit di waktu petang. Ini direkodkan di kad keahlian yang disimpan di kelab.
Saya menggunakan kemudahan internet di kelab ini setiap hari. Apabila kami menerima latihan di City Hall saya akan singgah di kelab ini sebelum balik ke hotel sedangkan kawan-kawan yang lain terus pulang. Ada juga kawan-kawan lain yang singgah sama, tetapi yang perempuan sahaja, sedangkan antara yang lelaki saya seorang sahaja yang berkunjung ke kelab ini. Sebenarnya kemudahan internet percuma djuga disediakan oleh pihak hotel. Tetapi kerana saya belum lagi mempuyai komputer riba di masa itu ia tidak memberi apa-apa kesan kepada saya. Saya mengetahuinya apabila dipinjamkan oleh JICA sebuah komputer riba beberapa minggu sebelum latihan tamat. Komputer ini diperlukan untuk menyiapkan laporan latihan kami.
Di 'Kelab Pelangi' ini jugalah saya mula-mula meningkatkan kegunaan internet saya walau pun saya telah menggunakannya di tanah air lagi. Di pejabat walau pun setiap pegawai diberi sebuah komputer kemudahan internet tidak ada, oleh itu saya telah membeli modem sendiri kerana saya boleh mendial telefon keluar dan saya telah mempunyai akaun internet. Ini menyebabkan saya diberi surat amaran oleh jabatan. Kononnya perbuatan saya itu boleh menyebutkan seluruh sistem komputer di pejabat runtuh. Macam mana runtuhnya saya tidak tahu. Tetapi saya tidak peduli itu semua dan saya hanya memotong modem saya apabila setiap pegawai diberi kemudahan internet oleh jabatan.
Setelah mendapat kemudahan internet tiap-tiap pegawai diberi juga satu email jabatan. Kami dipanggil menjalani kursus bagaimana hendak menggunakan email pejabat. Ini cukup melucukan saya kerana saya dapati saya lebih faham mengenai email dari jurulatih kami. Saya sendiri tidak pernah menggunakan email jabatan tersebut.
Pengalaman di Rainbow Club juga membuatkan saya membeli sebuah komputer riba atau 'laptop' sebaik sahaja pulang ke Malaysia. Apabila hendak menginap di mana-mana hotel saya membawa laptop bersama-sama dan memastikan hotel tersebut mempunyai kemudahan internet atau apa yang dipanggil 'wi-fi'.
Semasa saya berkursus Banci saya juga membawa laptop saya bersama. Apabila kami Penyelia Banci dibahagikan kawasan-kawasan banci, saya menjadi tumpuan kerana saya dapat membandingkan peta Lingkungan Banci dengan gambar satelit bumi yang didapati dari program Google Earth. Gambar-gambar satelit ini juga saya cetak dan berikan kepada Pembanci-pembanci saya sebagai panduan. Ini betul-betul menolong mereka kerana mendapat gambaran sebenar rumah-rumah yang dibanci berbanding dengan peta kasar yang di sediakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.
Oleh itu saya merasa kecewa sedikit apabila pergi ke Pulau Pinang untuk berehat pada hujung minggu lepas. Perkataan 'bercuti' tidak tepat kerana saya sudah bersara. Kecewa kerana hotel yang saya duduki tidak memberikan saya kemudahan wifi. Sebenarnya kemudahan wifi ada, tetapi tidak di tingkat di mana saya menginap. Oleh kerana saya ke sana sebagai ahli sebuah kelab percutian saya ditempatkan di bilik tanpa wifi, walau pun ini disebut sebagai disediakan oleh pejabat kelab di Subang Jaya.
Saya masih boleh menggunakan internet dengan menggunakan alat jalur lebar atau 'broadband' yang dibawa oleh anak saya Anis. Tetapi khidmat bradbandnya telah digantung mulai hari itu kerana bil belum dijelaskan. Terdapat kekeliruan dalam hal ini oleh kerana saya dijanjikan oleh penjual broadband yang saya akan menerima bil melalui email. Tetapi ini tidak dihantar dan akibatnya broadband Anis digantung.
Saya meminta Anis menghubungi Celcom untuk mendapatkan nombor akaun dan telefon untuk saya menjelaskan bayaran melalui internet berbayar hotel. Rupa-rupanya broadband itu mempunyai 11 nombor bermula dengan 015 dan nombor sebegini belum berdaftar dengan bank saya. Saya diminta membayar di mana-mana kiosk Celcom di Pulau Pinang yang beroperasi 24 jam sehari.
Sekali lagi teknologi moden menolong saya dan saya mencari kiosk Celcom melalui navigator GPS walau pun telah masuk waktu malam. Setengah jam setelah membuat bayaran, broadband Anis diaktifkan semula dan saya dapat melayari internet setelah lebih 12 jam kehilangannya.
1 comment:
Salam Hj,
Such invaluable experience..now we cannot live without technology and what more internet.
Our children and the young ones would not believe it that those days we have to wait for days to hear the news of our love ones through the postman!
Now at the tip of their fingers..
Post a Comment