Friday, January 28, 2011

Tolong jaga nama baik kita.

Saya ada bertanya kepada ibu saya bagaimana saya diberi nama Maarof. Dia menjawab adiknya Ibrahim yang yang mencadangkan nama ini. Jiran kepada datuk saya juga bernama Maarof dan nama itulah yang dicadangkannya untuk saya. Semasa Pak Lang Ibrahim saya mencadangkan nama itu isterinya juga sedang mengandung anak sulung mereka, juga seorang lelaki. Agaknya kalaulah anaknya itu lahir lebih awal dari saya nama Maarof akan pergi kepadanya. Alhamdulillah sepupu saya itu akan menerima menantu kedua pada hujung minggu ini.  

Apabila bapa saya meninggal dunia semasa saya berumur 3 tahun ibu telah membawa kami adik beradik (termasuk adik saya Shamsiah yang masih dalam kandungannya) tinggal bersama datuk. Dari itu jugalah saya mengenali orang yang senama dengan saya ini. Terus terang saya nyatakan dari mula lagi saya tidak menyukainya. Perasaan ini juga dirasai oleh adik beradik saya, sehingga saya merasa hairan kenapa nama orang yang kami tak suka ini diturunkan kepada saya.

Maarof ini dipanggil Aghup oleh orang-orang kampung. Apabila dia mengerjakan Haji dia dipanggil Haji Aghup. Saya tidak tahu nama penuh isterinya tetapi dia dikenali sebagai Olo sahaja, kemudian Hajjah Olo. Mereka tidak dikurniakan anak tetapi mengambil seorang anak saudara mereka sebagai anak angkat. Mereka memelihara anjing dan inilah salah satu sebab keluarga kami tidak menyukai mereka. Saya adik beradik pula akan menghalau anjing-anjingnya apabila mendekati rumah datuk. Tidak kurang anjing-anjingnya menerima rejaman batu dari lastik buatan sendiri kami.

Memang ada beberapa keluarga di kampung saya dahulu memelihara anjing. Tetapi perbuatan ini telah diberhentikan. Semasa ke Bukittinggi, Indonesia pada tahun 1992 dulu saya perhatikan masih ada penduduk Islam di sana memelihara anjing. Mungkin tabiat ini datang dari sana memandangkan ramai penduduk Negeri Sembilan berasal dari Sumatera Barat.

Aghup cuba menjatuhkan reputasi kami adik beradik dengan mengatakan kami tidak ada ayah yang mengajar kami untuk berkelakuan baik. Mujurlah pelajaran kami adik beradik baik juga, oleh itu masyarakat sekeliling tidak peduli akan tohmahannya.

Hubungan datuk saya dengan Aghup juga tidak rapat walau pun mereka berjiran. Datuk ada memelihara beberapa ekor kerbau untuk menampung keluarganya yang ramai termasuk kami adik beradik. Aghup pula boleh dianggap berada juga, mempunyai banyak tanah sedangkan hidup hanya bertiga. Pada satu malam seekor anak kerbau datuk telah terkeluar dari kandang dan menceroboh ke sawah padi Aghup. Agaknya dikejutkan oleh salakan anjing-anjingnya Aghup telah bangun, mengambil senapang patahnya dan menembak mati anak kerbau datuk. Alasannya dia menyangkanya seekor babi hutan memasukki sawahnya. Sehingga akhir hayatnya datuk tidak percaya yang Aghup tidak dapat membezakan antara babi hutan dengan anak kerbau.

Apabila saya memasuki Darjah 3 atau 4 ibu membawa kami balik ke rumahnya dan dengan itu juga kami tinggal jauh sedikit dari rumah Aghup. Apabila anak angkat Aghup kahwin dia telah memberikan rumahnya kepada anak angkatnya dan Aghup mendirikan sebuah rumah baru untuk dirinya sendiri dan isteri. Rumah barunya jauh dari rumah datuk tetapi cuma bersebelahan Laluan Persekutuan 86. Apa yang saya tak suka ialah rumah barunya juga berhadapan dengan perhentian bas dan di situlah orang kampung saya menunggu bas jika hendak ke bandar. Kadang-kadang Aghup menghabiskan masanya dengan duduk di perhentian bas ini dari pagi hingga petang dan berborak dengan penunggu bas.

Anak angkatnya pula mengikut suami yang bekerja dengan KTM di Gemas dan apabila balik kampung tidak menduduki rumah yang diuntukkan kepadanya. Sebaliknya mereka tinggal di rumah baru bapa dan ibu angkat mereka. Apabila Haji Aghup dan Hajjah Olo meninggal dunia anak angkat mereka dan keluarga terus tinggal di rumah baru. Rumah lama tersungkur bagitu sahaja.

Di sekolah rendah cuma ada seorang lagi dari saya yang bernama Maarof. Di sekolah menengah pula rasanya tidak ada Maarof selain saya semasa saya belajar dan tinggal di situ. Bagitu juga di pejabat saya. Oleh itu saya senang diingati. Cuma semasa saya berkursus di Pusat Bina Semangat, Pasir Panjang, Port Dickson pada tahun 1991 seorang dari jurulatihnya bernama Maarof, oleh itu saya menjadi tumpuan juga semasa di sana. Saya juga suka berseloroh dengan kawan-kawan dengan mengatakan Jalan Maarof di Bangsar, Kuala Lumpur dinamakan sebagai penghormatan kepada saya. Jika ada orang di Kuala Lumpur susah sangat hendak menulis nama saya, saya sering merujuk kepada Jalan Maarof di Bangsar. 

Hari ini dan semalam saya membaca berita tentang seorang lagi yang bernama Maarof. Maarof ini menjadi terkenal dengan tiba-tiba kerana dia ialah suami kepada seorang calon pilihanraya kecil yang akan berlangsung dua hari lagi di selatan tanah air. Yang menjadi bahan cerita ialah nama saya ini turut sama berkempen walau pun semasa cuti sakit. Oleh itu ramai yang mempertikaikan samada beliau betul-betul sakit.

Nampaknya nama saya ini tidak ada pilihan. Dia seorang guru, oleh itu tidak mudah mengambil cuti rehat biasa. Sebagai seorang suami sudah tentu beliau juga ingin menolong isterinya berkempen. Oleh itu terpaksalah mengambil cuti sakit. Dalam hal ini tidak ada sesiapa pun boleh mempertikaikan hak Doktor atau Pegawai Perubatan yang mengeluarkan Sijil Cuti Sakit. Tiada Undang-Undang atau Perintah Am Kerajaan yang boleh mencabar keputusan mereka. Cuma Allah sahaja yang tahu.

Walau bagaimana pun saya setuju dengan Sijil Cuti Sakitnya yang paling baru. Diagnos dari Pegawai Perubatan ialah 'Depressive Moods'. Mungkin terlaku tertekan dengan asam garam berkempen menyebabkannya nama saya ini bermurung atau 'moyok' dalam bahasa biasa.

Mungkin nama saya ini berharap sesuatu akan berlaku pada hujung minggu ini untuk menghilangkan kemoyokannya. Di samping itu saya berharap dia menjaga nama baik kami. Bukankah Maarof itu asalnya dari perkataan dalam Al-Qur'an yang berbunyi 'Makruf" dan bererti 'yang baik'?

1 comment:

Anonymous said...

sdr Maarof

There are 2 issues here. One is the Muslim name ... 'Maarof'... in Arabic or as you have said, it should be correctly written as 'Ma'ruf'.... meaning 'yang baik'.

Apabila sudah di tukar kepada Arop, or Aghop... memang lah lain makna nya... Agaknya pada fikiran saya yang tak mengaji ini.... itu lah yang menyebabkan perangai hamba Allah yang bernama Aghop tu kurang baik or unfriendly.... suka melihat orang lain didalam kesukaran atau kesusahan.

Bebalik kepada Maarof suami calon PAS di Tenang tu.... dari segi etika dan peraturan bertugas memang dia kira biadab. Apa tidak nya... makan gaji dengan Kerajaan. Kemungkinan besar dia bersubahat dengan doktor atau menceritakan kepada doktor yang dia in a depression.... murung bak kat you tu.... so, kononnya hendak mengurangkan tension atau depression mohon cuti sakit.

If you asked me the Medical Officer too must he hauled up... why he issued such a long cuti to him... as you have said, Maarof should be referred to a pakar psikologi. Wallah hu Aklam.

Nampak gaya nya he has to face the music lah... akan keluar satu tuduhan dan tomahan didalam kalangan penyokong PAS yang kerajaan 'menekan' atau pun ugut pegawai perubatan supaya tidak mengeluarkan surat cuti sakit kepada dia. PAS akan kata BN/UMNO ZALIMMMMMMMMMMMMM.

wasalam
MA(B)