Saturday, April 30, 2011

Nikah di Masjid - Pengajaran dari Perkahwinan Putera Wlliam - Kate Middleton.

Beberapa bulan yang lepas kita dihebohkan dengan isu nikah di masjid. Seorang pakar agama menyatakan adalah salah bagi kita mengadakan acara nikah di masjid. Kemudian timbul pula pihak berkuasa yang menyatakan tidak salah untuk kita mengatakan acara nikah di masjid.

Pihak yang menolak acara nikah di masjid ada menyatakan ia meniru agama lain, terutamanya agama Kristian di mana acara kahwin diadakan di gereja. Kebetulan semalam saya melihat acara perkahwinan satu pasangan Kristian di gereja. Ia tidak lain dari acara perkahwinan Putera William dengan Catherine Middleton di Westminster Abbey, London. Saya terfikir banyak perkara-perkara yang kita boleh belajar dari upacara itu seperti saya senaraikan di sini:


1. Mengapa perlu nikah di masjid?

Sebab utama ialah masjid merupakan satu tempat suci dan pasangan-pasangan mendapat berkat dari kesuciannya. Dalam kes agama Kristian di mana pegawai yang menikahkan ialah pegawai gereja, tukang nikah kita juga ialah pegawai masjid. Ini samalah seperti bila sakit kita pergi ke klinik atau hospital di mana doktor bertugas dan bukan doktor datang ke rumah kita. Nikah orang Islam pun ringkas sahaja dan beberapa pasangan boleh dinikahkan di dalam satu masjid pada satu hari dengan tidak payah tukang nikah pergi dari rumah ke rumah pengantin.


2. Pakaian.

Kita tidak perlu meniru pakaian seperti jemputan ke perkahwinan William - Kate itu. Macam pertunjukan fesyen pula saya nampak. Tetapi kita hendaklah menutup aurat. Saya pernah melihat jurugambar wanita dan mak andam pondan memakai jeans di dalam masjid. Pihak masjid hendaklah tegas dalam perkara ini an tidak membenarkan sesiapa yang tidak menutup aurat dari memasuki masjid.


3. Kanak-kanak.

Saya tidak nampak kanak-kanak di upacara perkahwinan William - Kate itu melainkan budak-budak pengiring dan penyanyi koir. Tetapi mereka ini tentu sudah didisiplinkan. Oleh itu kita tidak payahlah mambawa kanak-kanak ke upacara nikah di masjid.


4. Jurukamera.

Saya tidak nampak jurukamera dalam abbey tu. Jurukamera tv pun tersorok. Tetapi bila ada acara nikah di masjid semua orang nak mengambil gambar. Memadai dibenarkan dua jurugambar sahaja. Jika pihak istana boleh menghadkan jumlah jurukamera dalam mana-mana upacara mereka mengapa pihak masjid tidak boleh? Dengan kemudahan internet sekarang gambar-gambar boleh dikongsi, oleh itu tidak payahlah semua orang hendak mengambil gambar.


5. Perjanjian dengan pihak masjid.

Saya tidak tahu situasi sekarang. Saya juga pernah menikahkan anak perempuan saya di masjid. Saya cuma membuat perjanjian dengan Imam dan beliau melihat diarinya dan kami membuat perjanjian untuk tarikh dan masa yang sesuai. Kemudian beliau menunjukkan kepada saya papan notis masjid yang menerangkan tentang bayaran-bayaran yang saya kena jelaskan.

Saya cadangkan supaya diadakan satu perjanjian hitam putih diantara pihak masjid dan wali. Dengan kemudian komputer yang saya rasa dipunyai oleh kebanyakan masjid deraf perjanjian boleh disimpan dalam komputer dan apa yang perlu dibuat ialah mengisi data-data yang perlu. Dari perjanjian ini syarat-sayarat seperti menutup aurat dan lain-lain boleh disertakan.

Semasa saya menikahkan anak saya ada perkara yang tidak dijangka berlaku. Imam cuma melihat diari peribadinya dan tidak melihat diari masjid. Sebenarnya pernikahan anak saya bertembung dengan Kursus Haji yang dijalankan dalam masjid yang sama. Oleh itu Imam meminta semua peserta kursus bersabar sementara beliau menjalankan kerja-kerja pernikahan. Tetapi saya bersyukur juga kerana pernikahan anak saya disaksikan oleh beratus orang. Oleh kerana mereka datang untuk Kursus Haji, masalah menutup aurat tidak timbul. 


Cuma saya merasa malu sedikit apabila seorang peserta kursus datang mengucapkan tahniah kepada saya sedangkan nama beliau tidak termasuk dalam senarai jemputan saya.

Sekian.

2 comments:

Anonymous said...

payah nak larang orang bawak budak2/kanak2...nanti ado yang kocik hati..bukan sajo ke majlis nak tengok orang baca nikah....ada tu bawak anak bila berurus di bank, bawak kepasar,pejabat2.....kalau budak2 tu berlari ke sana ke mari, usik itu ini tak larang pun

Abu Nu'man said...

cadangan tu sangat baik tuan haji. Tp macam yang diulas oleh Anonymous, ada orang bawa anak atas sebab2 yang tidak dapat dielakkan. Cthnya takde org nak jaga anak kalau ke masjid. Maka terpaksala bawa anak. Tapi bila dah bawa anak, kena la pantau tata susila si anak ni td. Apa pun satu cadangan yang baik dan mungkin boleh dikemukakan ke masjid. Kalau tak setuju tu biasala, jgn la kita rasa kecil hati atau tidak berpuas hati. Saya yakin jika mereka tak setuju pun pastinya dengan alasan yang kukuh spt setiap org punya hak utk mengambil gambar dsb. Biasala, manusia kan banyak ragam