Friday, January 2, 2015

Perginya seorang Raja dan kawan.


Saya dan Raja Chulan di bulan Mei 2011 setelah 43 tahun berpisah.




Raja Chulan menyahut jemputan saya ke perkahwinan anak saya Miza pada bulan September 2012. Walau pun kurang sihat dan bertongkat dia tetap memberi senyuman seperti biasa.

Saya dikejutkan di hari pertama tahun 2015 dengan pemergian ke Rahmatullah seorang kawan lama saya yang berketurunan Raja. Kawan itu ialah Raja Chulan bin Raja Ahmad Tajuddin, seorang kerabat diraja negeri Perak. Beliau meninggal dunia di rumahnya di Gombak pada pagi 1 Januari 2015 kemudian dibawa ke Makam DiRaja Kuala Kangsar, Perak untuk disemadikan. Saya akan merujuk Allahyarham sebagai YM selepas ini untuk Yang Mulia.

Saya mula kenal YM pada awal tahun 1966 apabila dia memasuki Tingkatan Empat Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR) Tanjong Malim, Perak. Saya pun berada di Tingkatan Empat di masa itu, tetapi berlainan kelas dari YM, 

Walau pun SDAR sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) tetapi kualiti pengajaran kepada kami tidaklah seperti sekarang. Di masa itu setiap tahun sudah pasti ada murid yang gagal dalam peperiksaan Lower School Certificate (LCE) dan tidak naik ke Tingkatan Empat. Tempat-tempat mereka yang gagal itu diganti oleh budak seperti YM. Di antara budak yang sama-sama masuk ke SDAR di Tingkatan Empat pada tahun 1966 ialah Y.B. Dr. Hilmi Yahya, Timbalan Menteri Kesihatan sekarang. Saya menyebut 'budak' oleh kerana sesiapa yang memasuki SDAR akan dipanggil 'budak SDAR' seumur hidup.

Apa yang paling istimewa di diri YM ialah dia tidak langsung menunjukkan ciri-ciri seorang kerabat diraja, lebih-lebih lagi memandangkan dia berada di negerinya sendiri. Dia terus dapat bergaul dengan kami yang sudah bertahun-tahun makan nasi kawah sebelumnya. Ada juga antara mereka yang ditawarkan masuk ke Tingkatan Empat di masa itu menolak tawaran, tetapi YM (dan Y.B. Dr. Hilmi) tidak menolaknya. Baru saya dapat tahu hari ini bahawa YM ialah sepupu kepada Raja Nazrin, Sultan Perak sekarang. Ini satu fakta yang disembunyikan oleh YM dari kawan-kawannya.

Kebetulan pula YM ditempatkan satu bilik atau dormitori dengan saya dan kebetulan juga saya telah dipilih oleh penghuni bilik untuk menjadi ketua bilik tersebut. Oleh itu kebajikan penghuni bilik menjadi tanggungjawab saya. YM meminta kawan-kawan rapatnya memanggilnya 'Charlie' dan saya pun berbuat demikian.  

Bila satu hari YM ditimpa satu penyakit berjangkit iaitu 'measles' kalau tak salah, saya telah mengaturkan YM dimasukkan ke dormitori khas yang kami panggil 'sick bay', terletak di tepi Sungai Bernam, Saya juga telah mengaturkan YM diberi makanan khas untuk pesakit.

Setelah beberapa hari keluar dari 'sick bay' saya dikejutkan oleh YM dengan diberi satu kek yang dikirim oleh keluarganya dari Kuala Kangsar. YM telah menulis kepada keluarganya mengenai situasi beliau dan keluarganya meminta supaya kek itu diberi kepada saya. Tetapi seperti biasa bagi kami yang tinggal di asrama, kek itu saya kongsi dengan kawan-kawan se bilik.

Sejak itu saya cukup rapat dengan YM sehingga kami meninggalkan sekolah pada penghujung tahun 1967 dan membawa diri masing-masing. YM berjaya memasuki Universiti sedangkan saya tidak. Rupa-rupanya YM pernah bertugas di Perkeso atau Socso di Seremban pada tahun 1973 tanpa pengetahuan saya.

Saya mula berhubung kembali dengan YM pada tahun 2011 melalui laman sosial 'Facebook'. Saya cari 'Raja Chulan' dan namanya terpampang, Saya terus menegurnya 'Remember me, Charlie?'. Dia terus menjawab secara positif. Saya pun terus menghubungkan YM dengan kawan-kawan kami sama sekolah.

Rupa-rupanya YM telah bertindak lebih dari itu. Dia telah pergi ke seluruh Semenanjung Malaysia untuk berjumpa dengan kawan-kawan lama yang saya hubungkan balik dengannya. Akhirnya dia berjumpa dengan saya pada bulan Mei 2011 seperti gambar pertama di atas.

Sejak bertemu di Facebook saya mengikuti perkembangan YM melalui 'status'nya yang sering dikemaskini dengan gambar-gambar. Tetapi pada tahun 2012 saya dapati 'status'nya telah kurang dikemaskini. Saya mendapat tahu kemudian yang YM ditimpa 'mild stroke' dan terpaksa menggunakan tongkat. 

Tetapi ini tidak menghalang YM untuk menerima jemputan saya ke majlis kahwin anak saya Miza pada bulan September 2012 seperti gambar kedua di atas. Walau bagaimana pun YM tetap ceria seperti biasa. 

Saya menerima berita pemergian YM malam tadi. YM diberitakan meninggal dunia dengan tenang di rumahnya di Gombak. Untuk melengkapkan darjatnya sebagai seorang kerabat diraja, Allahyarham telah dikebumikan di Makam Di Raja Kuala Kangsar, Perak,

Al Fatihah saya ucapkan kepada Allahyarham Raja Chulan bin Raja Ahmad Tajuddin, seorang Raja dan kawan.      

1 comment:

ramly said...

Great report, a well written reminiscence of your close peer friend, Allahyarham YM Raja Chulan