Wednesday, July 22, 2015

Kecurian semasa berbuka puasa.

Kekecohan di Plaza Low Yat, Kuala Lumpur baru-baru yang bermula dengan satu kes kecurian membawa ingatan saya hampir 50 tahun yang lalu apabila berlaku satu kecurian semasa saya sekeluarga berbuka puasa.


Saya di tingkatan empat satu sekolah berasrama penuh di masa itu dan bercuti di hujung tahun yang kebetulan termasuk bulan puasa. Arwah abang saya yang baru sahaja masuk universiti pun bercuti sama.


Abang saya ini minat dengan alat-alat elektronik dan semasa sekolah sudah mempunyai satu radio transistor yang dibeli dari duit biasiswanya, Semasa masuk universiti dia juga membeli satu alat elektronik, kali ini satu tape-recorder jenis 'spool'. Di masa itu tape recorder jenis kaset belum ada di pasaran.

Jenama tape-recordernya ialah STANDARD dan 'spool'nya kecil, agaknya diameter dua inci sahaja. Dia mula-mula merakam lagu-lagu dari dari radio transistornya melalui mikrofon. Kemudian dengan ilmu elektroniknya dia dapat merakam terus melalui wayar tanpa mikrofon. Kali ini mutu rakaman lebih baik.

Masa itu kampung kami belum ada bekalan elektrik. Jadi abang banyak juga menghabiskan duit biasiswanya untuk membeli bateri. Tape recorder itu pula guna bateri saiz AA yang cepat habis. Jadi abang guna bateri saiz besar (UM-1 kalau tak salah) dan letak di luar tape recorder itu.  Ini menjimatkan duit sedikit.

Di rumah kami pula ada satu speaker lama yang masih baik peninggalan arwah abah kami. Abang letakkan speaker ni di dapur dan disambung dengan wayar ke tape recordernya yang diletak diserambi. Bila masa kami berkumpul di dapur untuk makan abang akan mainkan lagu-lagu dari tape recordernya dan kami mendengarnya melalui speaker di dapur itu. 

Selain dari kami sekeluarga ada juga jiran-jiran dan saudara yang datang ke rumah dan hairan melihat alat yang boleh merakamkan suara ini. Ini termasuk seorang dua pupu kami, walau pun sebaya dengan abang (umur 18 tahun masa tu) sudah berkahwin dan punya seorang anak.

Emak saya mempelawa dua pupu kami dan keluarga untuk berbuka puasa di rumah kami. Ini kerana dua pupu kami itu baru sahaja kematian emak (sepupu emak saya) dan emak saya berasa bertanggung jawab terhadapnya. 

Dua pupu saya ini betul-betul menunjukkan minat kepada tape recorder ini. Dia bertanyakan macam mana hendak rekod, play, rewind dan fast forward dan abang saya menunjukkannya.

Biasanya abang saya akan memainkan lagu-lagu dari tape recordernya semasa kami berbuka puasa di dapur. Tetapi entah macam mana di hari yang malang itu abang saya tidak berbuat demikian. Adik perempuan saya yang berumur lebih kurang enam tahun juga nyenyak tidur di serambi. Tak apalah, dia tidak berpuasa. 

Tiba-tiba emak saya bertanya kenapa tak mainkan lagu? Abang saya pun bergegas ke serambi untuk memainkan tape recordernya. Tiba-tiba abang balik ke dapur dan bertanya kepada saya 'Maarof, tape recorder mana?' Saya jawab tentulah di tempat biasa di serambi. Kami pun semua keluar ke serambi dan melihat tape recorder beserta pek bateri di luar sudah lesap. Plug untuk wayar speaker ke dapur siap ditanggalkan.

Adik perempuan kami masih tidur dan kami pun mengejutkannya dan bertanya adakah dia nampak sesiapa yang naik ke rumah. Dia menjawab tak tahu. (Sehingga hari ini saya fikir nasib baik adik saya tidak bangun dari tidur semasa kejadian itu, jika tidak tak tahulah apa akan jadi padanya. Sejak kejadian itu juga kami mengunci pintu di serambi apabila berkumpul di dapur.)

Kami pun hilang selera untuk meneruskan berbuka puasa. Kami tidak mengsyaki sesiapa kerana terlalu ramai jiran-jiran dan saudara mara yang datang melihat 'alat ajaib' yang dibawa balik oleh abang itu.

Kebetulan wakil rakyat kawasan kami tinggal sekampung dengan kami. Abang dan arwah bapa tiri kami terus pergi ke rumahnya untuk mendapat pertolongan. Sudah tentu dia menalipon polis yang terletak lebih kurang 6 km dari rumah kami. Polis berkata ini bukan jenayah berat seperti bunuh atau rompak, oleh itu mereka tidak akan datang, melainkan pihak yang kecurian datang ke balai dan membuat aduan.

Abang dan bapa tiri pun naik basikal malam itu juga ke balai polis untuk membuat laporan. Beberapa jam kemudian mereka pun balik dan berkata tidak lama lagi polis akan datang.

Betul, pihak polis datang lebih kurang satu jam lepas itu (lepas tengah malam). Setelah melihat kesan jenayah seorang pegawai yang tidak beruniform mengumpulkan kami sekeluarga. Kemudian dia bertanya adakah sesiapa yang datang ke rumah kami yang menunjukkan minat kepada tape recorder itu, contohnya menanya bagaimana hendak play, record, rewind dan fast forward. 

Tiba-tiba kami teringat kepada dua pupu kami itu (selepas ini saya panggil suspek). Kami pun memberi namanya. Kemudian sudah tentu pegawai itu bertanya di mana suspek tinggal. Abang berkata dia akan menunjukkannya. Abang kemudian pergi bersama Land Rover polis. Setelah menunjukkan rumah suspek, abang dihantar pulang.  

Hampir Subuh polis datang ke rumah kami semula dengan membawa tape recorder itu. Kami bertanya bagaimana mereka dapat menyelesaikan kes itu dengan cepat? Mereka jawab dengan bertanya kepada keluarga suspek adakah mereka berbuka puasa bersama suspek pada hari itu? Jawapannya tidak, kata mereka suspek ingin berbuka puasa di kedai. Mereka pun menangkap suspek.

Sekian,

No comments: