Thursday, July 2, 2015

Terkena tiga kali di tengah Ramadhan.



Buffet Ramadhan RM 60 untuk dua orang dewasa.

Beriani kambing yang tinggal kuah.

Mana mayonnaise dan sayur?

Makanan yang sudah licin dikebas.

Mungkin apabila pos saya ini tersebar pengurusan KRS Event Management Sdn. Bhd. sedang mengira pungutan yang mereka dapat dari apa yang dikatakan Buffet Ramadhan di kompleks mereka di Warisan Puteri, Jalan Sikamat, Seremban. Mungkin pekerja-pekerja mereka sedang mengemaskan pinggan mangkuk tanpa banyak kerenah. 

Saya kata tanpa banyak kerenah kerana makanan dalam pinggan mangkuk di 'food station' sudah licin. Cuma makanan di pinggan mangkuk di atas meja hidangan banyak yang ditinggal membazir. 

Isteri saya Salmah mencadangkan kami berbuka puasa di luar hari ini. Mula-mula saya bercadang hendak ke restoran yang kami sudah biasa. Kemudian saya terfikir ternampak iklan Buffet Ramadhan di satu dewan yang hampir dengan rumah saya. Kebetulan pengurusan dewan itu ada akaun di laman sosial Facebook.

Saya pun menalipon satu nombor yang tertera di laman itu dan memesan untuk makan dua orang. Tetapi saya agak kesal juga kerana dikenakan bayaran penuh RM 30.00 seorang walau pun saya jelaskan kami warga emas yang tidak makan banyak. Sedangkan untuk tiket keretapi kami dikenakan setengah harga.

Saya dan isteri sampai ke dewan tersebut lebih kurang pukul 7.10 minit iaitu 15 minit dari waktu berbuka. Saya perhatikan ada deretan panjang di luar dewan untuk mendapatkan apa yang dipanggil kambing golek. Saya fikir jika turut beratur sama belum tentu saya dapat berbuka puasa tepat pada waktunya.

Saya pun terus ke kaunter sambutan untuk melihat di mana kami ditempatkan. Rupa-rupanya hampir dengan pentas di hujung sana. Staff di kaunter terus meminta bayaran RM 60.00 untuk dua orang dan saya menjelaskannya.

Sebelah kaunter sambutan ialah lobi dewan yang dijadikan 'food station'. Ini bermakna makanan terletak jauh dari meja-meja makan. Tidak hairanlah semua tetamu memenuhkan pinggan mereka dengan apa makanan yang ada, kerana tidak mahu berulang alik untuk menambah makanan. Ini berbeza dengan majlis kahwin di dewan, contohnya di mana 'food stations' di letak di dalam dewan.

Di sinilah saya terkena kali pertama. Makanan adalah ala Arab, tetapi bila saya sampai ke dulang yang ditulis 'Beriani Kambing' yang tinggal hanya kuah. Saya memerhati sekeliling jika ada pekerja-pekerja yang dapat menambah bekalan daging kambing. Tetapi saya perhatikan seorang pun tidak ada. 

Saya membuat kesimpulan apa-apa makanan yang ada di 'food station' tidak akan ditambah. Beruntunglah mereka yang datang awal, kerana dapat membolot segala makanan yang ada di situ. Tetapi malang bagi mereka yang tiba agak lewat seperti saya kerana banyak makanan sudah dikebas. 

Gelas minuman yang dibekakan ialah saiz mini. Saya perhatikan pasangan di hadapan saya sudah bersedia dengan lima gelas minuman. Untuk berbuka puasa di musim panas ini mana cukup satu gelas saiz mini untuk seorang?

Ekoran itu, bila sedang makan saya pergi semula ke 'food station' untuk minum dan minum. Kemudian saya terfikir akan 'kambing golek' tadi. Walau pun saya tidak perlu beratur untuk mendapatkan beberapa cebis daging kambing (dan terubat kerana tidak merasa Beriani Kambing), tetapi aksesori seperti mayonnaise dan sayur-sayuran sudah habis. Saya terkena kali kedua.

Saya kembali ke meja saya (setelah berjalan jauh) untuk menghabiskan makanan bersama isteri dengan membawa kambing golek dengan sos cili. Saya perhatikan isteri saya sudah mengambil beberapa keping kuih. Katanya jenis kuih amat terhad.  

Setelah habis makan nasi, kambing golek dan kuih-kuih, saya ingat hendak mencuba makanan ringan seperi mee dan nasi goreng. Di sini saya terkena kali ketiga, kerana kebanyakan makanan itu sudah licin.

Saya pun mengajak isteri saya pulang sambil berfikir ini sebab pengurusan meminta kami membayar dulu sebelum makan. Jika bayar sesudah makan mungkin ada yang merungut kerana memikirkan bayaran RM 30.00 itu walau pun murah dibandingkan dengan makanan di hotel contohnya, tidak berbaloi. 

Saya tidak meminta pembaca supaya tidak pergi berbuka puasa di dewan ini. Tetapi jika mahu pergi juga jangan lupa datang awal-awal. Jika tidak jangan marah jika terkena seperti saya.

Saya nak pergi lagi? Minta maaf. Cukuplah terkena di tengah-tengah bulan Ramadhan ini. Harap tidak terkena lagi. 

5 comments:

Anonymous said...

Thank you. plan nak berbuka jabatan di sini minggu depan seramai 40+ pax. kt mungkin blh dtg awl, tp staf2 lain yg jauh dan dgn ank2 mungkin sampai lwt, xnak nanti ada yang dtg jauh2 xdpt makan. kesian plk anak2.. ada cadangn tempat lain yg rm30-40? trm kasih.

Nora Nordin said...

Sabar jerlah... kalau saya pun benggang jugak..mujurlah bulan ramadhan.. lebih baik berbuka kat surau.. walaupun secara pot luck

Anonymous said...

As Salam, kami dari pihak KRS Event & Management ingn memohon maaf atas kesulitan yang terjadi..pihak kami telah terlambat dalam penambahan lauk..untuk pengetahuan tuan..pihak kami telah menyediakan makanan untuk 400 orang dimana tambahan lauk sudah dibuat untuk beberapa kali..kalau tidak keberatan..jikalau tuan ingin membuat refund sila ke office kami untuk membuat refund tersebut..terima kasih kerana memberi feedback yang membina dan kami akan perbaiki services kami pada masa akan datang..ini adalah experience pertama kami dalam membuat buffet ramadhan di DEWAN PERDANA KRS..Sekian terima kasih

Anonymous said...

Assalamualaikum. Bila hampir Ramadan sy teringat keadaan yg hampir sama berlaku kepada kami pada tahun 2017 di DEWAN KRS. Jabatan sy seramai lebih kurang 40 orang termasuk suami isteri dan anak2. Bilangan yang berbuka puasa terlalu ramai dengan makanan yg sedikit. Kambing bakar yg yg tak mencukupi. Akhirnya ketua jabatan sy serta keluarga meninggalkan DEWAN KRS kerana tidak berpuas hati. Saya yang mencadangkan tempat tersebut berasa sangat kecewa. Sepatutnya KRS EVENT AND MANAGEMENT dapat membuat anggaran bilangan tempahan dengan makanan yg disediakan. Ataupun kalau tak mampu, hadkan bilangan tempahan dan bukannya memikirkan KEUNTUNGAN BESAR semata-mata. Terima kasih

Unknown said...

Baru cadang nk berbuka puasa jabatan ..hurmmm