Friday, August 21, 2015

Kenapa baru sekarang saya dihargai?

Di permulaan filem 'A Few Dollars More' lakunan Clint Eastwood dan Lee Van Cleef ada ditulis 'Where life has no value, death sometimes has its price'. Maknanya dalam Bahasa Melayu 'Bila hidup tak ada nilai, mati kadang-kadang ada harganya'.

Itulah lebih kurang apa yang saya alami sekarang, walau pun dalam bentuk lain. Malah saya boleh ubahsuai ayat itu sebegini 'Bila kerja tak ada nilai, bersara ada harganya'.

Di masa kerja dulu saya banyak tidak selari dengan boss dan jabatan saya. Sebagai contoh saya lebih suka menyeret ke mahkamah mereka yang melanggar undang-undang yang dikuatkuasakan oleh jabatan. Boss saya pula suka anak-anak buahnya mengeluarkan kompaun kerana 'denda (dari kompaun) masuk ke tabung kita'. Jika kes dibawa ke mahkamah segala denda akan masuk ke tabung kerajaan persekutuan.

Puncak kecewa saya ialah apabila kawan saya yang buta komputer dinaikkan pangkat mengenepikan saya semata-mata kerana boss kami juga buta komputer. Kedua-dua contoh ini ada saya ceritakan dalam pos-pos saya sebelum ini.

Tetapi bila bersara, saya seolah-olah diberi nyawa baru. Secara kebetulan saya menyertai satu persatuan orang-orang pencen kerajaan dan dalam masa yang singkat dilantik menjadi Setiausaha Negeri. Kecelikan komputer saya yang seolah-olah tidak ada nilai semasa kerja dulu amat dihargai sekarang.

Sebagai contoh cawangan-cawangan persatuan di bawah saya merupakan satu-satunya cawangan negeri yang telah menghantar laporan tahunan kepada Pendaftar Pertubuhan atau Registrar of Societies atau ROS melalui sistem yang dipanggil eROSES, walau pun sistem itu tidak 'rosy' langsung. Setahu saya belum ada cawangan-cawangan dari negeri lain yang telah berbuat demikian.

Kemuncak penghargaan kepada saya terbukti di Persidangan Perwakilan kebangsaan kami baru-baru ini di Kuala Lumpur. Apabila tiba masa untuk ucapan-ucapan penangguhan, wakil dari sebuah negeri (bukan Negeri Sembilan) tiba-tiba menyebut nama saya dan meminta saya bangun mengenalkan diri.

Katanya sayalah yang selalu membalas soalan-soalan yang dihantarnya melalui email dan whatsapp kumpulan dengan jawapan-jawapan yang tepat sebelum orang lain menjawabnya.

Kenapa baru sekarang saya dihargai?

4 comments:

Abdul Hamid Hussin said...

SYABAS......KIPIDAP

Admin said...

Tahniah SDARAku.
Penghargaan di hujung usia lebih manis kerana ramai yg dilupakan.

Admin said...

Tahniah SDARAku.
Sdr sungguh bertuah kerana dihargai di hujung usia ketika ramai yg dilupakan.

Anonymous said...

neber gibap!