Thursday, April 7, 2016

Cerita gari.


Biasanya perkataan-perkataan Melayu mempunyai banyak abjad dari perkataan-perkataan Inggeris. Comtohnya 'All you need is love' akan menjadi 'Segala yang kau perlukan adalah cinta' dan 'I want to hold your hand' akan menjadi 'Aku ingin memegang tangan mu'. 

Tetapi ada satu perkataan Melayu yang mengalahkan perkataan Inggeris. Perkataan itu ialah 'gari' dan bahasa Inggerisnya ialah 'handcuff'.  Semasa bekerja dulu saya sering ke mahkamah dan disitu saya sering nampak orang digari. Tetapi saya ingin menceritakan dua pengalaman saya mengenai gari yang menyentuh hati saya. 


CERITA PERTAMA:

Antara tugas saya di Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dulu ialah merobohkan gerai-gerai haram. Untuk tujuan tersebut biasanya saya perlukan bantuan polis. Biasalah tuan punya gerai akan memaki hamun saya, tetapi dengan adanya polis mereka setakat memaki hamun itu sajalah.

Tetapi dalam satu operasi, tuan punya gerai yang kebetulan seorang bekas polis agak terlajak. Dia bukan saja memaki hamun saya, tetapi memaki hamun anggota polis itu. Tidak cukup dengan itu dia telah menolak seorang anggota tersebut. 

Polis itu pun meminta kami memegang si pemaki itu dan terus menggarinya. Di sinilah bila saya katakan hati saya tersentuh. Kerana apabila saja digari si pemaki itu hilang maki hamunnya. Dia seolah-olah terpukau dan terus duduk. Kami pun terus merobohkan gerainya tanpa apa-apa halangan.

Bila gerainya hampir roboh barulah garinya pun dibuka dan dia sempat meminta rokok di mana polis yang menggarinya memberikannya rokok.

(Saya masih ragu sama ada tindakan menggari dalam kes seperti ini betul atau tidak. Biasanya saya lihat polis menahan mereka yang aggresif di dalam kenderaan mereka dan mereka tidak digari). 

CERITA KEDUA.

Seorang kawan sekerja saya mengadu adiknya ditahan polis kerana bergaduh. Dia pun mengajak saya melawat adiknya di satu Balai Polis di Seremban. Kebetulan pegawai menjaga Balai itu yang berpangkat Inspektor mengenali saya kerana saya sering meminta bantuannya dalam apa-apa operasi. 

Inspektor itu pun mengarahkan anggotanya mengeluarkan adik kawan saya itu dari lokap polis. Dia pun di bawa ke pejabat Inspektor itu dengan bergari, Apabila sahaja Inspektor itu nampak suspeknya digari dia terus mengarahkan gari itu dibuka. Kawan saya itu pun dapat bercakap dengan adiknya dengan selesa.

Saya rasa arahan Inspektor itu supaya gari suspek dibuka bukan satu prosedur biasa, tetapi atas rasa hormatnya kepada saya dan kawan saya. Ini juga menyentuh hati saya.


Saya menulis cerita-cerita di atas kerana malam tadi saya lihat di tv seorang ahli politik ditahan polis. Semasa diiring polis pada mulanya kedua-dua tangannya diletak dibelakangnya dan bagi saya yang sudah biasa melihat orang digari, saya beranggapan dia digari, Pada anggapan saya juga, dia berlakon untuk mendapatkan simpati.

Cuma apabila kamera menunjuk ke punggungnya baru saya nampak dia sebenarnya tidak digari. Selepas itu dua orang polis di kiri kanannya memegang tangannya yang jelas bebas tanpa gari,

Sekian cerita orang pencen untuk kali ini.

No comments: