Thursday, April 28, 2016

Reunion di Kelantan (Bahagian 3 - Dulu Mudo Lorni Tuo)


Dalam dua bahagian siri pos saya sebelum ini saya tidak menceritakan bahawa sekolah saya ialah Sekolah Dato' Abdul Razak yang lebih dikenali sebagai SDAR. Kepada mereka yang belum tahu, sekolah itu ialah antara sekolah berasrama penuh (SBP) yang paling awal di negara kita. Sekolah itu bermula di Johor Bahru, kemudian berpindah ke Tanjong Malim sebelum berpindah ke Sikamat, Seremban dan akhirnya tersergam di Sungai Gadut, Seremban sekarang.

Reunion ini dianjurkan oleh apa yang dipanggil SDARA SENIORS CLUB (SSC) di mana keahlian terhad kepada Sdarians atau 'budak-budak SDAR' yag berumur 50 tahun ke atas. SDARA bermaksud 'Sekolah Dato' Abdul Razak Alumni'. SSC telah mengadakan lawatan jejak kasih ke Kuala Terengganu, Kuantan, Perlis, Melaka dan Johor sebelum ini.

Tetapi lawatan ke Kota Bharu, Kelantan agak unik. Kalau lawatan-lawatan sebelum ini boleh dikatakan secara kecil-kecilan sahaja, lawatan kali ini diadakan secara besar-besaran.

Ramai Sdarians atau budak-budak SDAR yang berasal dari Kelantan, tetapi kebanyakan mereka yang sudah lepas belajar (mengaji kata mereka) menetap di Lembah Kelang seperti Kuala Lumpur, Shah Alam dan Bangi. Hanya segolongan kecil yang 'kelik Kelate'. Buktinya beberapa bulan yang lepas seorang Sdarian Kelantan mengajak kami makan buah-buahan di dusunnya di Kajang. Lebih setengah dari yang datang 'budak Kelate' belako. 

Tapi di reunion yang diberi motto 'Dulu Mudo Lorni Tuo, Bilo Jumpo Mesra Sokmo' bukan saja 'budak Kelate' yang datang, tetapi Sdarians dari seluruh Semenanjung Malaysia. Saya sudah tentulah datang dengan bas (yang ditaja sebenarnya). Tetapi yang lain datang dengan kereta dan kapalterbang. 

Saya tidak mahu menceritakan secara terperinci 'reunion' kami ini. Biarlah gambar-gambar berikut bercerita. Tepatlah kata motto itu yang bermaksud 'Dulu Muda Sekarang Tua, Bila Jumpa Mesra Sentiasa'.  

Sebelum itu tidak adil kiranya jika saya tidak mengenalkan orang kuat reunion ini. Inilah Zainuddin Muhammad yang berasal dari Kampung Kangkung, Pasir Mas, Kelantan yang menjadi Setiausaha SDARA SENIORS CLUB.





Isteri-isteri yang kami panggil SDARINAS pun tidak tinggal.






















Mereka ini satu kelas dengan saya di SDAR. Kebetulan semuanya menetap di Kota Bharu.

Di tengah-tengah tu Hassan Rahman, mantan pegawai Polis. Semasa saya di Bachok pada awal tahun 1972 dia sering melawat saya. Sekarang beliau bersara di Bachok juga.

Bersambung......

No comments: