Saturday, April 9, 2016

Naik tiga kereta dalam satu hari.

Naik buggy dengan Hj. Salleh, Setiausaha Agung persatuan. Gambar dari akhbar KOSMO 9 April 2016.


Sebelum itu letak kereta di petak khas untuk pesara di blok atas.

Setelah dibawa ke blok bawah dengan kereta rasmi Pengarah Pencen. Saya tidak menjangka akan menjadi antara penumpang pertama buggy ini nanti. 

Dengan Tuan Hj. Salleh, Setiausaha Agung persatuan saya di ruang perasmian.

Semasa ucapan perasmian. Gambar dari RTM TV2.

Dari dalam buggy di saat-saat ia dirasmikan.

Ia bermula di hari sebelumnya, hari Khamis 7 April 2016. Saya dan Yang Di Pertua (YDP) saya pergi ke Mesyuarat Agung cawangan-cawangan persatuan kami paginya di Rembau dan petangnya di Jelebu.

Di Rembau YDP menerima panggilan telefon dari Ibu Pejabat persatuan di Kuala Lumpur menghendaki beliau menghadiri satu program Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada pagi esoknya di Putrajaya.

Di Jelebu YDP menalipon isterinya tentang niatnya hendak ke Putrajaya itu, Isterinya memberitahu mempunyai temujanji di Klinik Kesihatan di masa itu. YDP pun membatalkan niatnya dan meminta saya menggantinya. YDP meminta saya berada di JPA pada pukul 8.00 pagi hari Jumaat 8 April 2016. Apa programnya saya akan tahu di sana nanti.

Kerana tidak mahu terperangkap di kesesakan lalulintas saya pun bertolak ke Putrajaya memandu kereta saya selepas saja solat Subuh pada hari tersebut. Saya sampai ke JPA Putrajaya pada pukul 7.15 pagi dan terus meletak kereta di ruang dikhaskan untuk pesara.

Untuk mengisi masa saya pun mengambil gambar sekitar luar dan lobi JPA. Akhirnya saya ternampak satu komputer untuk kegunaan pelanggan dan terus membukanya dan membuat rutin biasa saya membaca email dan melayari laman sosial Facebook.

Tepat pukul 8.00 lagi saya pun masuk ke pejabat JPA dan dibawa terus ke Bahagian Pencen dan bertemu dengan Pengarahnya Dato' Dr. Yeow yang memang mengenali saya. Dato' memberitahu sebenarnya program berlangsung di blok lain di bawah sana bermula pada pukul 9.00 pagi. Dia pun memanggil pemandunya untuk membawa saya ke tempat berkenaan.

Saya fikirkan pemandu itu akan mengiringi saya berjalan kaki ke lokasi. Tetapi tidak, Dato' mengarahkannya membawa saya dengan kereta rasminya, sebuah Proton Perdana versi enjin Honda Accord. Saya pun naik kereta kedua di hari tersebut.

Di bawah sana barulah saya tahu program hari itu ialah perasmian sistem pengangkutan pelanggan JPA. Petak letak kereta di mana saya meletak kereta adalah terhad. Oleh itu mereka digalakkan meletak kereta di blok bawah dan dari situ mereka akan dibawa ke blok di atas dengan kereta elektrik yang biasa dipanggil 'buggy'. 'Buggy' biasa digunakan di padang golf untuk membawa pemain golf bergerak dari satu lubang ke lubang lain. Sementara menunggu buggy pelanggan boleh berehat di satu ruang menunggu yang selesa.

Di sana juga saya diminta untuk menjadi salah seorang penumpang pertama apabila 'buggy' tersebut dirasmikan. Ini adalah satu penghormatan untuk saya dan Setiausaha Agung persatuan saya, Hj. Salleh.

Setelah ucapan perasmian oleh Tan Sri Mohamad Zabidi, Ketua Pengarah JPA, saya menaiki kereta ketiga di hari tersebut, iaitu buggy yang menjadi sebahagian program. Buggy membawa saya ke blok di mana saya meletak kereta. Memang benar, saya perhatikan tempat kereta yang dikhaskan untuk pesara sudah penuh.

Kami terus balik ke blok di bawah tanpa berhenti. Di blok bawah saya terus ke bilik jamuan menunggu VVIP yang lain termasuk Tan Sri Ketua Pengarah yang sedang memberi sidang akhbar. 

Selepas jamuan saya menaiki buggy sekali lagi ke blok atas kerana kereta saya diletak di situ dan terus balik ke Seremban.

Sekian.    

No comments: