Thursday, August 18, 2016

Yang dulu didulukan.





Dalam filem The Godfather Part II adik perempuan Godfather ingin berjumpanya. Sebelum itu si adik (yang asyik berpoya di luar keluarga) minta pengaruh ibunya supaya dia tidak menunggu giliran berjumpa abangnya itu. Ibunya menjawab "Kau pergi jumpa anak-anak kau dulu, kemudian kau beratur berjumpa abang kau seperti orang lain".

Di majlis yang sama seorang gangster yang pangkatnya rendah sedikit dari Godfather juga  ingin berjumpanya. Dia terserempak abang kepada Godfather dan mengadu "Patutkan aku menunjukkan surat pengenalan (letter of introduction) untuk berjumpa abang kau?" Bila si abang bertanya kenapa, si gangster menjawab "Mereka suruh aku menunggu di lobi". Filem tidak menunjukkan apa reaksi si abang seterusnya.

Dalam dunia jenayah pun ada disiplin, di mana kalau seorang itu ingin mendapat apa-apa khidmat dia kena beratur menunggu, tidak kira ia anggota keluarga atau berpangkat tinggi.

Mungkin kerana selama ini saya pergi ke satu klinik kerajaan berhampiran rumah saya empat atau lima bulan sekali saya tidak menyedari ada manusia yang sengaja memotong giliran. Tetapi kebelakangan ini saya sering ke sana mengiringi isteri saya mendapat rawatan susulan setelah keluar hospital.

Pagi tadi saya ke sana lagi. Kami datang sebelum pukul 8.00 lagi dan diberi nombor giliran agak kecil. Kemudian kami diminta menunggu sehingga nama isteri saya dipanggil. Kenapa nama dan tidak nombor? Kerana tidak ada panel LCD dengan suara perempuan menyebut '(Nombor) xxxx, kaunter xx' seperti yang kita biasa lihat dan dengar di kaunter lain, baik kerajaan atau swasta.

Dari lobi menunggu saya boleh nampak dan ingat mereka yang datang selepas kami. Tetapi ada dari mereka ini yang terus masuk ke bilik pertama (untuk diambil statistik berat badan, tekanan darah dan jumlah gula dalam darah) tanpa nama mereka dipanggil. Mereka ini juga yang dapat berjumpa doktor dulu dan akhirnya mengambil ubat di farmasi dulu. Antaranya seorang yang namanya bermula dengan Tengku.
  
Mungkin mereka ini mengambil kesempatan kerana bukan nombor yang disebut, tetapi nama sedangkan ramai yang tidak sedar mereka sebenarnya telah memotong giliran. Agaknya mereka ini jenis yang suka memotong giliran di mana-mana mereka pergi.

Kesudahan cerita pagi ialah saya masuk sendiri ke bilik pertama itu setelah kesabaran saya hilang dan menunjukkan nombor giliran saya sambil mengadu ada manusia yang nombornya terkemudian dari nombor yang saya pegang telah dilayan. Lepas itu seorang dari staff disitu berkara 'Dari sekarang kita panggil ikut nombor'.

Itulah sepatutnya iaitu yang dulu didulukan.

No comments: