Saya dengan Tony Chia baru-baru ini.
Semasa saya ditemuduga kerja di Majlis Bandaran Seremban (MBS) pada hujung tahun 1972 saya ditanya sama ada bermain bolasepak. Secara jujur saya jawab tidak. Orang yang bertanya agak hairan kerana sijil keluar sekolah saya ialah dari Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR) Tanjong Malim, Perak yang tidak sampai setahun di masa itu telah berpindah ke Seremban. Sejak berpindah sekolah itu telah menunjukkan kehandalannnya dalam sukan bolasepak dan sukan-sukan yang lain di Seremban dan Negeri Sembilan.
Apabila saya kemudiannya berjaya dilantik pada awal tahun 1973 baru saya sedar kenapa ditanya begitu. MBS sedang membentuk satu pasukan bolasepak untuk bersaing di liga bolasepak Negeri Sembilan. Pemain-pemain bolasepak yang belum bekerja atau tidak mempunyai kerja tetap ditawarkan kerja dengan MBS, kebanyakannya di perkhidmatan bawahan.
Ada juga yang telah diambil kerja beberapa bulan sebelum saya. Antaranya seorang yang bernama Tony Chia. Oleh kerana Tony tidak mempunyai kelulusan tinggi dia diambil sebagai seorang 'Category B Workman' yang bermaksud lebih kurang Pekerja Mahir .
Dari nama tugas yang dipegangnya Tony sepatutnya ditempatkan di Bengkel MBS. Tetapi kerana diambil untuk bermain bolasepak, dia diletakkan di pejabat dan diberi tugas mencari fail. Saya mengenali Tony di hari pertama saya bekerja dengan MBS kerana kami bertugas di jabatan yang sama. Di masa itu kedudukan staff di MBS terdiri dari berbagai bangsa dan Tony (dan saya sendiri) tidak rasa terasing.
Bila MBS dinaiktaraf menjadi MPS (untuk Majlis Perbandaran Seremban) Tony mula terasa terasing kerana jawatan-jawatan yang dikosongkan akibat persaraan dan sebagainya dan jawatan-jawatan baru diganti dan diisi oleh staff Melayu. Ini ditambah pula dengan sikap perkauman menebal di kalangan staff Melayu di MPS dan saya telah menceritakannya di pos saya "Balik ke Seremban".
Tony kemudiannya dilantik sebagai seorang Pengawas. Walau pun wujud sikap perkauman dari pegawai-pegawai atas MPS mereka terpaksa memikirkan Tony oleh kerana ada staff Melayu yang tidak tahu membaca dan menulis pun dilantik menjadi Pengawas.
Ada beberapa sebab mengapa Tony rapat dengan saya. Pertama kerana saya tidak ada sikap perkauman. Kedua kerana saya antara golongan kecil pegawai Melayu di MPS yang fasih berbahasa Inggeris dan Tony senang berbahasa itu dengan saya. Ketiga kerana kami sering bercerita mengenai bolasepak. Saya juga pernah mengurus pasukan bolasepak MPS semasa Tony menjadi pemain dan jurulatih.
Untuk makluman saya dijemput dan pergi ke majlis perkahwinan Tony di Dewan Bandaran Seremban lama. Dalam ingatan saya tidak sampai lima orang staff Melayu MBS hadir di majlis itu.
Selain bermain dengan pasukan MBS dan kemudiannya MPS Tony juga seorang pemain utama untuk pasukan negeri Negeri Sembilan untuk beberapa tahun dan pernah beberapa kali bermain dengan pasukan kebangsaan Malaysia.
Tetapi tempoh bila mana Tony bermain untuk Negeri Sembilan ialah tempoh pasukan bolasepak negeri kami itu tidak kuat jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain. Tempoh itu pula sebelum bolasepak Malaysia masuk taraf professional. Jika tidak sudah tentu Tony dibeli oleh pasukan-pasukan kelab yang sanggup membayarnya gaji yang tinggi.
Kerana kebolehannya Tony tidak bersara setelah tempoh bermainnya tamat. Dia menjadi jurulatih bolesepak pula selepas itu, di peringkat negeri dan kebangsaan. Di samping itu dia tetap menjalankan tugas sebagai Pengawas di MPS.
Tugas akhir Tony ialah sebagai Pengawas Kanan di Pasar Besar Seremban. Banyak innovasi yang dibawanya ke Pasar Besar itu, antaranya meniup wisel mengarahkan peniaga-peniaga tidak melanggar peraturan-peraturan pasar. Sudah tentu dia dapat idea ini di padang bola.
Sementara itu bila berjumpa saya dia akan bercerita mengenai bolasepak negeri dan kebangsaan. Antara ceritanya ialah bagaimana pemain-pemain kita menerima rasuah untuk menentukan kedudukan perlawanan.
Tetapi bila saya berjumpa Tony baru-baru ini dia tidak lagi becerita apa-apa mengenai bola sepak. Ini kerana beberapa tahun selepas bersara dari MPS dia diserang penyakit yang dipanggil 'Motor Neuron Disease' dan terlantar dirumahnya yang kebetulan tidak beberapa jauh dari rumah saya.
Tetapi semangat Tony masih kuat. Seperti biasa dia berbahasa Inggeris dengan saya walau pun tidak selantang dahulu.
Saya hanya dapat berdoa supaya Tony disembuhkan dari penyakitnya.
No comments:
Post a Comment