Tuesday, July 29, 2014

Saya akan terus mengambil gambar


Gambar di atas ialah keadaan longkang besar di belakang satu Bazar Ramadan yang popular di Seremban. Beribu dan mungkin berjuta lalat berterbangan dalam longkang besar tersebut, ada yang baru menetas dari kepompong dan tidak kurang pula sedang betelur di sisa makanan yang sudah tentu dibuang kebanyakannya oleh peniaga bazar tersebut. Ulat-ulat yang baru menetas dari telur sedang bergelumang sambil menjamu selera yang diberi percuma oleh peniaga Bazar Ramadan sebelum bertukar menjadi kepompong.

Jadi kehadiran Bazar Ramadan tersebut bukan sahaja menjadi punca makanan kepada manusia, tetapi musuh manusia juga. Kerana lalat, seperti nyamuk adalah serangga pembawa penyakit juga. Tetapi kita seolah-olah lupa tentang hakikat ini. Hari-hari kita dengar mengenai kempen anti denggi, tetapi kita jarang-jarang mendengar kempen anti typhoid dan anti kolera, iaitu antara penyakit yang vektor atau pembawanya ialah lalat. Mungkin kita sudah biasa memakan makanan tercemar dan menjadi lali. 

Ekoran itu sudahlah tentulah saya yang memang terlatih dalam bidang kesihatan dan memenuhkan tempoh kerjaya semata-mata dalam bidang itu terkejut melihat keadaan longkang tersebut. Tindakan saya seterusnya ialah mengambil gambar longkang tersebut dari kamera yang sentiasa ada dalam poket seluar saya. Saya jarang-jarang mengambil gambar menggunakan telefon bimbit kerana mutunya tidak seperti gambar dari kamera biasa. 

Saya terus memuatkan gambar itu ke laman sosial Facebook saya dengan dikongsi atau 'share' oleh satu kumpulan terdiri-diri dari kakitangan jabatan lama saya. Saya juga menulis melalui email kepada pihak berkuasa mengenai sampah (atau nama saintifiknya sisa) dan pembersihan awam. Disebabkan hari itu hari minggu saya hanya dapat menghubungi pejabat mereka keesokan harinya. 

Di sinilah seorang dari ahli kumpulan saya itu menegur saya meletakkan gambar ke laman sosial. Rupa-rupanya dia seorang budak mentah yang baru sahaja berkenalan dengan laman sosial itu. Agaknya dia belum sempat melihat beratus gambar yang saya telah poskan dalam laman tersebut.

Saya bukan baru dalam bidang mengambil gambar ini. Semasa bekerja dulu apabila membuat penguatkuasaan saya mengambil gambar untuk dijadikan bukti. Saya dapati juga apabila saya mengeluarkan saman sambil mengambil gambar orang yang kena saman itu cepat-cepat menyelesaikannya kerana dia tahu saya menyimpan bukti. Itu sebelum jabatan saya membekalkan kamera kepada pegawai dan kakitangannya.

Jadi kepada mereka yang kurang senang melihat saya mengambil gambar saya tidak perlu memohon maaf. Saya akan terus mengambil gambar.      


Saturday, July 19, 2014

Selamat tinggal Heliconia (lebih dikenali sebagai MH17)

Heliconia di KLIA pada 17 Disember 2006.


Heliconia di KLIA pada 7 Januari 2007. Di USA tarikh itu ditulis 1/7/2007.


Saya mula-mula berminat mengambil gambar kapalterbang semasa saya berkursus di Fukuoka, Jepun pada tahun 2004. Kebetulan hotel di mana saya tinggal berada di atas stesen LRT bawah tanah. LRT itu berakhir di Lapangan Terbang Antarabangsa Fukuoka (FUK). 

Ada beberapa kali setelah solat Subuh saya turun ke LRT dan pergi ke FUK dan melihat kapalterbang turun naik dari anjung tinjau di tingkat paling atas. Bila sampai masanya saya kembali ke hotel dan berkumpul di lobi dengan kawan-kawan saya (kami tinggal sebilik seorang) tidak menyedari ke mana saya pergi. 

Di FUK juga saya lihat ramai orang Jepun mengambil gambar pesawat. Oleh kerana saya hanya berbekal satu kamera digital murah saya tidak mengambil apa-apa gambar. Tetapi apabila pulang ke Malaysia dan dengan baki elaun yang diterima saya pun membeli satu kamera DSLR dengan satu lensa telefoto untuk mengambil gambar-gambar pesawat di KLIA.

Di KLIA saya dapati ramai golongan seperti saya dan kami pun berkenalan sambil menjadi ahli kepada satu forum di internet dan menghantar gambar-gambar yang kami ambil di situ. Saya mendapat tahu mengambil gambar pesawat dipanggil 'spotting' dan kami menggelar diri kami 'spotters'. Antara tempat-tempat kami 'spotting' ialah 'Obsevation Hill'(yang saya beri kod Oscar Hotel), 'the pond', 'ladang', 'weather station' dan '32L'.

Kami 'spotters' tidak menggunakan Anjung Tinjau KLIA kerana dua sebab iaitu:
  1. Terdapat cermin tebal antara peninjau dengan pesawat. Cermin ini menjejaskan kualiti gambar.
  2. Cermin tebal juga menutup bunyi enjin pesawat. Tak ada 'thrill' bagi kami.
'Observation Hill' walau pun menjadi tempat paling strategik untuk melihat KLIA dari jauh dan mengambil gambar, adalah tempat larangan. Semasa KLIA mula dibuka ramai orang naik ke atas bukit itu untuk bersantai sambil melihat kapalterbang turun naik. Tetapi ia kemudian ditutup dan dijadikan kawasan larangan atas sebab-sebab keselamatan. Kami 'spotters' sudah beberapa kali dihalau oleh pegawai-pegawai Malaysian Airports Berhad (MAB). Sampai saya pernah berkata mungkin pihak berkuasa takut ia dijadikan pangkalan untuk menembak kapalterbang menggunakan peluru berpandu atau 'missile'. 

Antara pesawat yang paling menjadi idaman kami ialah dua pesawat MAS yang mempunyai warna kulit atau 'livery' yang luar biasa seperti berikut:
  1. Pesawat Boeing 747-400 diberi 'livery' merah yang kami panggil 'Hibiscus' atau bunga raya. Nombor pendaftarannya ialah 9M-MPD.
  2. Pesawat Boeing 777-200 diberi 'livery' biru yang kami panggil 'Heliconia'. Nombor pendaftarannya ialah 9M-MRD. 
Tetapi kedua-dua pesawat itu tidak kekal lama sebagai 'Hibiscus' dan 'Heliconia'. Ini kerana cat tambahan itu menyebabkan pesawat menjadi lebih berat dan sudah tentu menggunakan minyak yang lebih. Kemudian 9M-MPD dan 9M-MRD kembali ke 'livery' biasa.

Saya sudah lama tidak pergi 'spotting' di KLIA. Kali akhir ialah selepas menghantar isteri saya pergi ke Bandung beberapa tahun yang lepas. Saya tidak tahu apa sudah jadi kepada tempat-tempat strategik dari mana kami mengambil gambar dahulu.

Apabila MH370 hilang beberapa bulan yang lalu saya ada bertanya kepada seorang 'spotter' adakah ia Heliconia? Dia menjawab tidak, sambil menambah Heliconia ialah 9M-MRD. 

Apabila pesawat MAS dengan kod laluan MH17 jatuh terhempas setelah ditembak dengan peluru berpandu di Ukraine beberapa hari yang lalu saya bukan sahaja sedih dengan kematian 'crew' dan penumpangnya. Saya merasa sedih kerana kehilangan Heliconia. Apabila melihat di TV yang mengatakan nombor pendaftaran pesawat yang terhempas itu ialah 9M-MRD saya menyemak di internet akan kesahihannya.

Jenaka saya yang salah satu pesawat di KLIA atau diletupkan dengan peluru berpandu rupa-rupanya menjadi kenyataan. Cuma peluru berpandu itu tidak dilepaskan dari 'Oscar Hotel' tetapi di negara beribu kilometer jauhnya dari KLIA. Sasarannya pula pesawat yang pernah menjadi idaman para 'spotters'. 

Al-Fatihah kepada 'crew' dan penumpang MH17. Selamat tinggal kepada 9M-MRD atau Michael Romeo Delta yang pernah dipanggil Heliconia. 

Thursday, July 17, 2014

Antara CDM 25 dengan NBN XXXX

Semalam dunia cyber di Malaysia dikejutkan dengan video mengenai sikap kurang ajar seorang perempuan Melayu yang memandu kereta Peugeot 208 dengan nombor pendaftaran CDM 25. Keretanya terlanggar sedikit oleh kereta Proton Wira yang dipandu oleh sorang warga emas berbangsa Cina.  Kejadian berlaku pada petang Isnin 14 Julai 2014 di Kuantan, Pahang. Kerana ramai telah mengetahuinya tidak payahlah saya ceritakan secara terperinci di sini.

Kebetulan pada pagi hari yang sama saya nyaris terlibat dengan kemalangan juga. Untuk mengetahunya sila klik di sini. Oleh kerana ada persamaan antara kemalangan kecil di Kuantan itu dengan pengalaman yang saya alami saya rasa terpanggil untuk memberi sedikit komen di blog saya ini. Antara persamaan itu ialah:
  1. Kejadian di Kuantan melibatkan seorang warga emas dan pesara kerajaan  berbangsa Cina dengan seorang perempuan muda Melayu. Di Seremban pula melibatkan saya seorang warga emas dan pesara kerajaan berbangsa Melayu dengan seorang pemandu kereta perempuan Cina. Perbezaannya ialah dalam kes saya tidak ada apa-apa sentuhan atau geseran antara skuter saya (bernombor NBN XXXX) dengan kereta perempuan itu. Mujur saya mengelak, jika tidak mungkin nyawa saya melayang.
  2. Saya juga bersemuka dengan pemandu kereta itu dengan memberhentikan skuter saya di depan keretanya. Saya juga memarahi pemandu itu, tetapi tidaklah sampai memaki hamun atau menghamburkan bahasa perkauman. Saya juga tidak menyentuh keretanya, jauh sekali memukul dengan apa-apa. Saya juga tidak meminta apa-apa bayaran kerana tidak apa kerosakan berlaku kepada skuter saya. 
  3. Pemandu itu juga meminta maaf kepada saya. Perbezaan besar di sini ialah saya menerima permohonan maafnya walau pun saya sempat mengambil gambar pemandu (yang tidak jelas) dan keretanya.  
Sekian.

Tuesday, July 15, 2014

Ada dua jenis manusia yang berbuka puasa di hotel.

Gambar dengan ihsan Hj. Khalil Rahim.

Jika pembaca menonton filem 'The Good, the Bad and the Ugly' sebutan 'there are two kinds of people in the world, my friend' sering disebut oleh 'the Good' dan 'the Ugly'. Petang semalam saya berbuka puasa di sebuah hotel terkemuka di Seremban. Dari pandangan saya 'There are two kinds of people who break their fast in hotels' atau pun ada dua jenis manusia yang berbuka puasa di hotel.

  1. Pertama ialah mereka yang menganggap berbuka puasa satu ibadah. Mereka datang dengan pakaian untuk senang bersolat, contohnya tidak datang berkasut. Apabila sampai ke ruang yang disediakan oleh pihak hotel untuk berbuka mereka mengambil makanan yang minima hanya untuk memenuhi kewajipan berbuka puasa. Kemudian mereka akan ke surau yang juga disediakan khas oleh pihak hotel untuk solat Maghrib. Selepas solat Maghrib mereka kembali ke ruang makan dan barulah mengambil makanan yang lebih berat. Mereka tidak malu untuk berulang-ulang meninggalkan meja makan mengambil apa-apa makanan yang disediakan. Selepas itu mereka sama ada akan balik ke rumah untuk menunaikan solat Isya' dan seterusnya solat Tarawikh atau menunaikan kedua-dua solat itu di surau hotel.
  2. Kedua ialah mereka yang datang dengan tujuan utama untuk makan. Ada yang berpakaian biasa dan ada juga yang berpakaian seolah-olah hendak bermain golf. Mereka mungkin datang dalam kumpulan bersama dengan orang bukan islam. Mereka ini akan mengisi pinggan penuh dengan segala makanan yang ada. Kebanyakan mereka akan duduk makan tanpa berulang-ulang mencari variasi makanan walaupun ada sebilangan kecil yang tidak berbuat begitu. Perbezaan besar dengan kumpulan yang pertama ialah mereka tidak menggunakan kemudahan surau yang disediakan oleh pihak hotel untuk bersolat. Ada yang pulang awal untuk bersolat di rumah dan ada juga yang tidak sempat bersolat kerana lebih memikirkan tentang makan dan makan/
Saya terletak di kumpulan mana? Itu saya tidak boleh cerita.

Monday, July 14, 2014

I almost became a road bully. Saya nyaris jadi pembuli jalanan.

This car overtook me and at the same time almost pushed me to the drain.

This is the car driver. Luckily her face is blocked the reflections from a Magnum 4D shop. Notice the child seat beside her.

WITHOUT PREJUDICE.

I saw a video posted to the internet showing a Chinese man on a motorcycle trying to bully a Chinese lady car driver carrying a passenger, also a Chinese lady. It showed the man riding slowly ahead of the ladies and at the same time preventing the lady driver from overtaking him. Eventually the man forced the car to stop. Finally he alighted from his motorcycle, shouted at the ladies and hit the car's windscreen causing it to crack. 

After watching the video surely one would think that the motorcyclist is a road bully trying to bully two helpless ladies. But what the video did not show was the event before that. In my mind there must be something started by the car driver that irked the motorcyclist. I think I got the answer this morning.

I was riding my 125 cc scooter to work when suddenly a Myvi car tried to overtake me on a doubled-lined winding road. I tried to tell the driver that it was wrong to overtake on a double-lined road by preventing he or she from overtaking me. He or she could do it further down the road. Furthermore there was a car coming  from the opposite side. But the driver was persistent and in doing so almost forced me and my scooter to the drain. 

With my powerful 125 cc scooter there was no problem for me to overtake the car. Then I did what the 'road bully' in the video did. I rode slowly while preventing the car from overtaking me again. Yes, for a few minutes I became a road bully!

When reaching a row of shops the car swerved through a service road towards them. I too swerved and stopped in front of the car. What do you know? The car driver is a Chinese lady too. 

I was not taught to bang cars, smash windscreens or hurt or bully ladies. Furthermore this is the fasting month when one should control his or her temper. So I just told her that she almost pushed me to the drain and she was overtaking on a double-lined road. 

She replied she was in a hurry and apologised. I accepted her apology but told her I have to snap a photo of her and her car. She quickly wounded up her car window but I managed to snap the above photos.

So readers, if you come across videos of road bullies in the internet don't just make your judging conclusions. I almost became one myself.   


TANPA PRSANGKA.

Saya ada melihat satu video di internet menunjukkan seorang penunggang motosikal lelaki Cina membuli seorang pemandu kereta perempuan Cina yang membawa seorang penumpang, juga perempuan Cina. Video itu menunjukkan penunggang motosikal itu memandu perlahan sambil menghalang pemandu kereta itu memotongnya. Akhirnya lelaki itu memaksa kereta itu berhenti, turun dari motorsikalnya, memaki pemandu kereta sambil mengetuk cermin depan kereta menyebabkannya retak.

Setelah melihat video itu sudah tentu kita memutuskan bahawa lelaki itu seorang pembuli jalanan membuli dua orang perempuan. Tetapi video itu tidak menunjukkan apa yang berlaku sebelumnya. Pada fikiran saya tentu ada perkara yang dilakukan oleh pemandu perempuan itu yang membuatkan penunggang motosikal itu marah. Saya fikir saya mendapat jawapannya pagi tadi.

Saya menunggang skuter 125 cc saya ke tempat kerja apabila sebuah kereta Myvi cuba memotong saya di satu selekoh bergaris kembar. Saya cuba memberitahu pemandu itu adalah salah memotong di jalan bergaris kembar dengan cuba menghalangnya dari memotong saya. Dia boleh memotong saya di hadapan sana. Tambahan lagi ada kereta yang datang dari arah bertentangan. Tetapi dia tetap nekad dan dalam pada itu nyaris-nyaris memaksa saya jatuh ke longkang.

Dengan skuter 125 cc, tidak menjadi masalah bagi saya memotongnya balik. Kemudian saya buat apa yang pembuli jalanan itu buat. Saya menunggang perlahan sambil menghalang kereta itu memotong saya sekali lagi. Untuk beberapa minit saya menjadi seorang pembuli jalanan!

Bila sampai ke sederet banguan kedai kereta itu melencong ke hadapannya. Saya juga melencong dan berhenti di depan kereta itu. Rupa-rupanya dia juga seorang pemandu perempuan Cina.

Saya tidak diajar untuk mengetuk kereta orang, memecahkan cermin kereta atau mencederakan atau membuli perempuan. Lebih-lebih lagi sekarang bulan puasa di mana kita diminta banyak bersabar. Jadi saya cuma kata padanya yang dia nyaris menyebabkan saya jatuh ke longkang dan dia memotong saya di jalan bergaris kembar.   

Pemandu itu menjawab dia hendak cepat dan memohon maaf kepada saya. Saya pun memaafkannya tetapi dengan syarat saya ingin mengambil gambarnya. Dia cepat-cepat menaikkan cermin keretanya, tetapi saya sempat mengambil gambar-gambar seperti di atas.

Jadi pembaca sekalian, jika terlihat video menunjukkan pembuli jalanan di internet, jangan terus memberi hukuman. Saya nyaris menjadi seorang darinya.

Friday, July 4, 2014

Mengata dulang paku serpih....

Mengata dulang, paku serpih
Mengata orang, aku yang lebih

Itulah satu peribahasa Melayu menasihatkan supaya kita melihat diri kita dulu sebelum mengata orang. Semasa saya bekerja dulu saya sering teringatkan peribahasa itu semasa menjalankan tugas, terutama jika ia melibatkan penguatkuasaan undang-undang.

Semalam saya mengalami sendiri peribahasa itu. Ceritanya begini:

Saya sekarang menjadi setiausaha kepada satu pertubuhan bukan kerajaan atau NGO. Dua bulan lepas saya membuat silap dengan menghantar notis mesyuarat tidak dalam tempoh masanya. Saya sedar akan kesilapan itu dan berharap tidak ada orang membangkitkannya. Kerana sekarang zaman email, fax, sms, facebook, whatapps dan entah apa lagi. Surat notis adalah satu syarat sahaja. Tetapi saya silap kerana ada orang telah mengadu kepada pihak berkuasa. 

Beberapa hari yang lepas saya menerima panggilan telefon dari pihak berkuasa tersebut. Arahanya ialah seorang pegawai ingin berjumpa saya. Tidak disebut kenapa ia ingin berjumpa saya dan juga tidak dinyatakan untuk saya membawa apa-apa.

Pagi semalam saya pun pergi ke pejabat itu hanya berbekalkan buku perlembagaan NGO saya dibantu dengan apa yang ada dalam kepala saya. Apabila saja saya berjumpa dengan pegawai berkenaan dia pun menyerahkan kepada saya surat rasmi meminta saya berjumpanya. Untuk menyelamatkan dirinya saya lihat tarikhnya sudah dikebelakangkan ke tarikh bila saya menerima panggilan telefon sebelumnya.

Dia terus bertanya kenapa saya menghantar notis lewat untuk mensyuarat yang dimaksudkan. Saya pun terus memberikan alasan saya dan tidak payahlah saya menceritakan apakah alasan saya. Tetapi apa yang saya cakapkan direkodnya di komputer dan kemudian dia mencetak laporan saya dan meminta saya mengesahkannya.

Saya ada terfikir hendak menggunakan peribahasa Melayu lama itu kepadanya. Dia memanggil saya untuk menyiasat kes saya lewat menghantar satu surat notis mesyuarat. Tetapi dia tidak sedar dia juga membuat kesilapan seperti apa yang saya buat. Dia juga lewat menyerahkan surat memanggil saya berjumpanya. 

Cuma dalam kes ini saya tidak boleh menggunakan peribahasa Inggeris 'The customer is always right'. Saya terpaksa menggunakan peribahasa Melayu 'Seperti durian dengan timun'. Dialah durian dan saya timun.

Saya dulu bekerja dengan kerajaan. Kita hanya membunuh diri sendiri jika melemparkan peribahasa 'Mengata dulang paku serpih, mengata orang aku yang lebih' kepada pihak kerajaan. 

Sekian.

Thursday, June 26, 2014

"Dia ludah saya dulu......"

Baru-baru ini saya melihat di TV dan membaca mengenai pemain bolasepak Uruguay Luis Suarez menggigit bahu seorang pemain Italy di perlawanan bolasepak Piala Dunia 2014 di Brazil. Sehinggakan satu akhbar England menggelarkan Suarez sebagai seekor binatang dengan menulis 'Animal Suarez......'. Ini tidak memeranjatkan kerana sudah tentu semua warga England marah kepada Suarez kerana dia mencari makan dengan bermain dengan kelab mereka Liverpool. Tiba-tiba jaringan dua golnya menyebabkan England tersingkir dari Piala Dunia 2014.  

Rupa-rupaya ini bukan pertama kali Luis Suarez menggigit pemain bolasepak. Sekurang-kurangnya dia telah menggigit dua pemain bolasepak sebelum ini.

Cerita Suarez ini membawa ingatan saya kepada seorang penjual daging lembu di Pasar Besar Seremban berpuluh tahun yang lalu. Dia seorang lelaki Melayu yang tinggal di Mambau, Seremban di masa itu. Sebelum itu dia seorang anggota tentera tetapi telah diberhentikan kerana masalah yang dibawanya. Dia juga pernah berkahwin tetapi bercerai dengan isterinya juga kerana masalah yang dibawanya.

Tanpa mengetahui masalah yang dibawanya Majlis Perbandaran Seremban (MPS) meluluskan permohonannya untuk menjual daging lembu di Pasar Besar Seremban. Sudah menjadi dasar MPS menolong bekas-bekas tentera dengan memudahkan mereka mendapat gerai-gerai kepunyaannya.

Rupa-rupanya masalah yang dibawanya di kem tentera dan di rumahtangganya dibawanya ke Pasar Besar Seremban. Apakah masalah yang dibawanya? Tidak lain tidak bukan dia suka meludah orang. Ini saya ketahui pada satu hari apabila saya ditugaskan menjaga pasar itu. Seorang yang lalu didepannya tiba-tiba diludah. Yang diludah membalas dengan menumbuk si peludah. 

Orang ramai membawa kedua-duanya ke pejabat saya yang cuma beberapa meter dari gerai daging lembu di Pasar itu. Apabila saya tanya kenapa dia meludah orang yang lalu dihadapannya penjual daging ini menjawab "Dia ludah saya dulu". 

Kita tidak akan meludah orang tanpa sebab. Saya pun bertanya kepada staff saya mengenai penjual daging ini. Mereka menjawab memang selalu dia meludah orang dan jawapannya tetap sama "Dia ludah saya dulu". Saya pun memberitahunya supaya jangan meludah kembali jika ada sesiapa meludahnya. Sejak itu kurang sedikit insiden dia meludah orang.

Satu hari dia datang ke pejabat saya dan menunjuk kepada seorang sambil bertanya "Orang itu meludah saya Encik, boleh tidak saya tumbuk dia?". Saya jawab "Jangan, mana bekas ludahnya?". Dia tidak dapat membuktikan apa-apa.

Kemudian saya membuat kajian sedikit mengenai manusia seperti ini. Memang benar pada pandangannya orang meludahnya. Itulah sebab dia meludah balik. Jika diuji dengan alat 'lie detector' pun dia akan lulus ujian itu. Jika disoal di mahkamah pun jawapannya tetap konsisten iaitu dia nampak orang meludahnya. Ada orang yang bersikap begini akibat pengaruh dadah. Ada juga yang tidak. 

Berbalik kepada Luis Suarez. Pada hemat saya Luis Suarez mempunyai perasaan yang sama dengan penjual daging lembu itu. Dia nampak atau terasa orang menggigitnya. Ekoran itu dia menggigit kembali. Jika dia hendak mencederakan pemain lain secara sengaja atau tidak banyak caranya, bukan dengan meninggalkan kesan seperti gigitan.

Saya tidak tahu apa terjadi kepada penjual daging lembu itu sekarang. Yang saya tahu ialah lesen menjual daging lembunya telah ditarik balik. Bukan untuk menganiaya dia sebenarnya, tetapi untuk melindungnya. Ini kerana kami tidak tahan melihatnya sering ditumbuk oleh orang yang diludahnya. 

Sekian.  

Wednesday, June 25, 2014

Kenapa takut menuntut hak kita?

Gerai burger di petak letak kereta. Sila perhatikan kereta-kereta di belakang saya juga mencari tempat letak kereta.

Gerai yang sama setelah dipindahkan ekoran aduan saya.

Petang Ahad lepas saya singgah di satu pasaraya yang baru dibuka beberapa minggu berhampiran rumah saya. Saya tidak berniat untuk membeli apa-apa pada mulanya. Tetapi saya tanya diri saya, manalah tahu ada keperluan rumah yang ditawarkan dengan harga murah di pasaraya ini. Jadi saya pun melencong ke situ.

Seperti biasa banyak kereta mencari-cari petak letak kereta di hadapan pasaraya itu. Saya perhatikan ada kereta yang berhenti di hadapan saya menunggu kereta yang hendak keluar dari petak. Walau pun saya terhalang, saya sabar kerana berfikir di situasi yang sama saya juga akan membuat seperti pemandu di hadapan saya itu.

Tiba-tiba saya ternampak sesuatu yang membuat kesabaran saya hilang. Satu petak letak kereta di hadapan saya dipenuhi dengan satu gerai burger. Dari keadaan keempat-empat tayar gerainya yang sudah terangkat saya pasti gerai itu diletakkan di petak letak kereta itu 25 jam sehari (meminjam senikata lagu The Beatles 'Eight Days A Week'). Apabila sampai di hadapan gerai burger itu saya pun mengambil gambar seperti gambar pertama di atas.

Saya bukanlah sakit hati melihat orang berniaga menjual burger. Tetapi mengapa menjual dengan menafikan hak orang lain? Bukankah petak letak kereta itu untuk diletakkan kereta, bukan gerai burger atau gerai apa-apa pun. Banyak lagi tempat di sekitar pasaraya itu untuk diletakkan gerai burger.

Pagi esoknya saya pun mengedarkan gambar itu di facebook persendirian saya dan beberapa kumpulan facebook yang saya menjadi ahli, termasuk kumpulan facebook jabatan saya dulu. Di samping itu saya juga menggunakan hak saya mengadu secara rasmi kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang kebetulan jabatan saya dulu itu.

Kemudian saya pun banyak menerima komen dari kawan-kawan dan ahli-ahli kumpulan facebook saya. Kebanyakan komen itu menyokong tindakan saya mengedarkan gambar tersebut. Tetapi ada juga komen yang mengutuk tindakan saya dengan menuduh saya dengki kepada bangsa sendiri. Kerana tidak mahu akaun facebook saya dijadikan sebagai medan kutuk mengutuk dan tuduh menuduh saya pun menggunakan hak saya menahan atau 'block' mereka yang mengutuk dan menuduh saya itu.

Ada juga komen-komen yang memberitahu situasi yang sama berlaku di tempat-tempat lain di Seremban. Sehingga ada juga yang meminta saya memajukan aduan kepada PBT bagi pihak mereka. Jawapan saya senang sahaja iaitu kenapa takut untuk menggunakan hak kita untuk membuat aduan sendiri? Buatlah seperti yang saya telah buat.

Esok harinya saya dapati gerai burger itu sudah dialihkan ke kawasan di luar petak letak kereta tersebut. Saya yakin ini akibat saya memasukkan gambar ke akaun facebook jabatan saya dulu ditambah dengan aduan rasmi saya.

Kenapa takut untuk menuntut atau menggunakan hak kita?

Tuesday, June 24, 2014

Kalau orang kata saya mengumpat, mengumpatlah saya.

Kalau orang berkata saya ini mengumpat, mengumpatlah saya.

Minggu lepas jiran sebelah rumah saya sekeluarga yang menyewa rumah tersebut telah berpindah. Bertahun-tahun sebelum ini semasa bekerja dan kemudiannya bersara saya bernasib baik kerana jiran-jiran bersebelahan rumah-rumah saya tidak ramai isi rumahnya (meminjam dari bahasa yang digunakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia untuk jumlah penduduk dalam sebuah rumah).

Pernah beberapa tahun jiran di sebelah kanan rumah saya di Paroi Jaya ialah seorang janda yang anak-anaknya (dua orang lelaki) pada mulanya meninggalkan rumah untuk belajar di institut pengajian tinggi dan kemudian bekerja bukan di Negeri Sembilan. Rumah jiran di sebelah kiri pula hampir kosong sepanjang masa kerana tuan punya suami isteri telah meninggal dunia dan anak-anak pula mencari jalan masing-masing.

Apabila berpindah ke rumah yang lebih besar di Sikamat pada mulanya jiran sebelah kiri ialah pasangan yang tidak mempunyai anak. Kemudian mereka berpindah ke Kuala Lumpur kerana kedua-duanya bekerja di sana dan tinggal di rumah ibu bapa kepada puan rumah. Beberapa bulan rumah itu kosong sehingga saya meletakkan kereta saya di tempat letak keretanya.

Kemudian suasana menjadi haru biru apabila rumah itu disewakan dengan isi rumah seramai lapan orang. Mujurlah mereka berpindah ke sini selepas Banci Penduduk 2010 berlalu. Jika tidak tentu Kerani Banci pening kepala mengisi banyak borang. Ini kerana isi rumah terdiri dari dua keluarga. Satu keluarga pasangan suami isteri yang tidak mempunyai anak dan satu lagi pasangan dengan empat orang anak. Mereka bersaudara kerana puan-puan rumah adik beradik.

Mereka pula mempunyai empat buah kereta yang tidak pernah diletak dalam kawasan rumah. Kemudian pada hujung-hujung minggu ibu-bapa dan saudara mara datang menambahkan suasana haru biru sehingga seorang dari jiran kami menyangka adik beradik saya dan isteri yang datang apabila melihat jumlah kerana yang diletak di hadapan rumah kami.

Untuk memberi contoh suasana haru biru itu loceng rumah saya telah beberapa kali dibunyikan oleh anak-anak mereka kerana bola yang mereka main termasuk ke dalam kawasan rumah saya. Kesabaran saya hilang pada satu hari apabila bola mereka masuk betul-betul ke dalam rumah. Saya terus menyimpan bola itu walau pun mereka membunyikan loceng tanpa henti sambil menyebut 'Assalamualaikum' beberapa kali.

Saya pernah berkata kepada isteri 'Ini mungkin balasan kepada kita kerana hidup tanpa gangguan selama ini. Tibalah masanya untuk kita diganggu pula walau pun dalam usia emas dan anak-anak kita telah meninggalkan rumah kita'.

Dari keadaan di atas saya akan dituduh menipu jika saya kata tidak suka jiran saya berpindah. Cuma isteri saya agak marah apabila mendapat tahu sebenarnya tuan rumah (yang pernah menjadi jiran kami) seolah-olah suka penyewanya keluar dengan berkata 'Awak meletak kereta depan rumah orang'. Sudah tentu saya diantara 'orang' itu. Saya kata kepada isteri 'Apa nak dimarahkan, memang betul mereka meletak kereta depan rumah kita'.

Tuan rumah sudah meletakkan notis hendak menjual rumahnya. Saya cuma berharap apabila tiba masa untuk Banci Penduduk seterusnya Kerani Banci hanya menggunakan satu borang untuk membanci jiran saya. 

Sunday, June 22, 2014

Komat Jolobu



Sungai Teriang, di Jelebu, Negeri Sembilan. Sungai ini mengalir melalui pekan Triang di Pahang, kemudian ke Sungai Pahang dan seterusnya ke Laut China Selatan. Di masa dulu-dulu orang-orang dari Pahang yang tidak percaya dengan 'Komat Jolobu' menyusur ke hulu sungai untuk menetap di Jelebu.

Ko Jolobak ko Jolobu
Tuai padi tigo tangkai
Kalao kono komat Jolobu
Tak mati badan meghasai

Gurindan dulu-dulu jangan ponah dipotikai
Tak tahu tanyo dulu jangan goma momandai-mandai

Saya telah mendengar sebutan 'komat Jolobu' sejak saya kecil lagi. Maklum sajalah saya dilahirkan di Jelebu dan bersekolah rendah di sana. Sekarang tiba-tiba sebutan itu menjadi terkenal seluruh Malaysia kerana penyanyi Hattan, orang Kuala Pilah dan Waghih, orang Rembau menjadikannya sebahagian lagu mereka 'Gadis Jolobu'.

Jika sebutan 'komat Jolobu' dijadikan sebahagian senikata lagu lima puluh tahun yang lalu tentu ramai orang Jelebu yang marah. Sudah tentu ramai yang meminta lagu itu diharamkan. Tetapi tidak lagi sekarang, malah kami anak-anak Jelebu merasa bangga sebab nama daerah kami disebut dalam lagu.

Untuk mereka yang belum kenal Jelebu saya ingin menerangkan mengenainya secara ringkas. Daerah Jelebu terletak di utara Negeri Sembilan. Banyak keunikan Jelebu, antaranya bandar utamanya tidak dipanggil 'Jelebu' tetapi Kuala Klawang. Kepada mereka yang masih kurang jelas saya sering memberitahu mereka 'Saya orang Jelebu, tetapi saya bukan orang Kuala Klawang'.

Jelebu bersempadan dengan daerah Hulu Langat di Selangor dan daerah Bentong di Pahang. Ini satu lagu keunikan yang tidak dikongsi oleh daerah-daerah lain di Negeri Sembilan, iaitu kami bersempadan dengan dua negeri.

Jelebu pula daerah yang paling kurang pembangunan di Negeri Sembilan. Perkara ini mungkin menyebabkan rasa rendah diri orang-orang Jelebu di masa dulu, sehinggakan ada orang Jelebu yang tidak mengaku orang Jelebu. Tetapi perkara ini tak jadi hal lagi sekarang.

Apa dia 'komat Jolobu?'. Mungkin dalam Bahasa Melayu maknanya 'Hikmat Jelebu'. Saya ada mendengar beberapa penjelasan mengenainya. Tetapi di sini saya cuba menerangkan dua daripadanya.


Teori pertama: Dulu kebanyakan daerah Jelebu belum diteroka. Tentulah mengikut kepercayaan kawasan-kawasan yang belum diteroka ramai 'penunggu'nya. 'Penunggu' ini akan mengenakan 'komat' mereka kepada penceroboh yang datang. Mereka yang kena 'komat' ini sama ada akan mati atau badan mereka 'meghasai' atau merana sepanjang hayat'. 

Tetapi mereka yang tidak percayakan 'komat' ini tetap datang meneroka ke Jelebu. Contohnya orang dari Pahang menaiki sampan menyusur ke hulu sungai dan menetap di Simpang Durian, Peradong dan Kenaboi. Orang dari Kuala Pilah pula akan merentas hutan untuk menetap di Geylang, Petaseh dan Peradong. Nenek moyang saya ialah contoh pendatang dari Kuala Pilah itu. Alhamdulillah saya tak kena 'komat Jolobu'.

Kalau dibanci asal-usul mereka penduduk pendatang Melayu di Jelebu mengatasi penduduk asal. Tidak ada pula yang mati atau meghasai kena 'komat Jolobu'.

Teori kedua: Kerana kedudukannya yang jauh dari tamadun, ramai orang yang takut atau ditakutkan apabila diperintah bertugas di Jelebu. Ibu-bapa takut anak-anak bujang mereka yang dihantar bertugas di Jelebu akan lupa kampung halaman mereka. Lebih-lebih lagi jika mereka 'menyomondo' atau kahwin dengan orang Jelebu. Sekali lagi 'komat Jolobu' digunakan sebagai alat untuk menakutkan.

Tetapi terbukti itu cerita dongeng juga. Ramai kakitangan kerajaan seperti anggota Polis dan kakitangan Kesihatan ditugaskan di Jelebu. Belum ada saya dengar antara mereka terkena 'komat Jolobu'. Malah apabila mereka meninggalkan Jelebu tidak ada cerita lain melainkan kenangan manis yang mereka ceritakan kepada ibu bapa dan kawan-kawan mereka.

Mungkin pembaca-pembaca yang berasal dari Jelebu ada teori-teori lain. Saya mengalu-alukannya.