Sunday, July 13, 2008

Jumpa kawan-kawan lama

Beberapa minggu dulu kawan sekolah saya Ibrahim menalipon saya meminta saya memasukki satu pertandingan bowling sumbangsih di Sunway Pyramid. Kawan punya pasal saya jawab okaylah. Tujuan utama pertandingan ialah untuk mengumpulkan sedikit sumbangan untuk persatuan murid tua sekolah dimana Ibrahim menjadi naib presiden.

Pada 12 Julai lepas kami pun ke Sunway Pyramid untuk tujuan tersebut. Ini kali kedua saya kesini. Pertama kali dulu mewakili Jabatan saya di Hari Kitar Semula peringkat kebangsaan.

Inilah quartet paling tua dalam pertandingan. Kami semua dah jadi datuk-datuk belaka.
  1. Yang paling kiri itu ada dua title datuk kerana telah dianugerah DSNS oleh DYMM Yang di Pertuan Besar NS. Beliau ialah kawan saya Dato' Zainal Azirun berasal dari Port Dickson dan telah bersara dari jawatan seorang Pengarah di TNB. Di gambar Class of 62 dia berdiri nombor empat dari kanan di barisan tengah. Sekarang menetap di Bangi.
  2. Di sebelahnya ialah kawan saya Ibrahim yang berasal dari Rembau dan sekarang menetap di Bukit Chedang, Seremban. Beliau telah bersara dari menjadi peguam dan sekarang bekerja dengan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia. Di gambar Class of 62 dia berdiri paling tengah di barisan belakang.
  3. Di celah Ibrahim dan saya ialah kawan saya Rasdi Mohamad. Berasal dari Johor dan pernah bekerja di TNB tapi tidaklah setinggi Dato' Zainal. Di gambar Class of 62 dia berdiri paling kiri di barisan tengah. Juga menetap di Bangi.
  4. Saya tak payahlah dikenalkan.

Ini lah dewan bowling di Sunway Pyramid yang dipanggil Mega Lanes.




Ibrahim menjadi tetamu kehormat mewakili presiden kami. Yang berbaju biru muda di belakang Ibrahim ialah Dr. Khairun Nadzar, AJK, pemberita dan juru foto persatuan murid tua kami. Seperti saya agaknya dia peminat fotografi juga. Dia menggunakan DSLR Olympus kali ni. Kalau tak salah saya dulu dia menggunakan Nikon. Mengikut Akta Pengamal Perubatan doktor tidak boleh iklan. Tapi kawan punya pasal saya beritahulah dia bekerja di Klinik Rawatan Islam Az-Zahrah di Bandar Baru Bangi.

Yang menang sudah tentulah yang muda-muda. Kami tak kisah. Janji seronok.

1 comment:

Anonymous said...

Saudara Maarof,

Memang seronok berjumpa kawan-kawan lama. Kadang-kadang kita tak sedar dah tua. Setiap kali kita berjumpa cerita lama keluar semula walaupun telah diulang beberap kali dan kita masih tetap ketawa.