Orang putih kata ''A picture is worth a thousand words". Gambar di atas diambil oleh seorang jurugambar akhbar Bahasa Cina pada tahun 1990, beberapa hari sebelum Pilihanraya Umum tahun tersebut. Di sebelah kiri yang memegang tali rafia itu ialah Dato' Lee Yuen Fong, dikenali di Negeri Sembilan sebagai Tiger Lee. Beliau ialah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Temiang.
Di sebelah kanan pula ialah Dr. Chen Man Hin, pernah menjadi Ahli Parlimen Seremban untuk beberapa penggal. Semasa gambar diambil beliau ialah Pengerusi Kebangsaan parti DAP dan sedang mempertahankan kerusi Parlimennya.
Semasa itu saya dibekalkan dengan satu 'walkie-talkie' oleh Jabatan saya. Saya terdengar ada sedikit kekecohan di Jalan Dato' Bandar Tunggal, Seremban. Suasana di masa itu adalah hangat kerana Pilihanraya Umum akan berlangsung beberapa hari lagi dan parti-parti sedang sibuk berkempen.
Saya pun terus ke tempat kejadian berdasarkan panduan yang diberi melalui 'walkie-talkie'. Saya pun terus bertanyakan kepada seorang pekerja saya apakah masalahnya. Inilah ceritanya lebih kurang:
- Jalan Dato' Bandar Tunggal, Seremban dimasa itu ialah jalan dua hala dan tidak sehala seperti sekarang.
- Di atas pembahagi jalan terdapat kotak-kotak pasu bunga berukuran lebih kurang 4 kaki penjang dan 2 kaki lebar.
- Parti-parti yang berkempen meletakkan poster-poster mereka di sekeliling pasu bunga ini. Untuk tidak merosakkan pasu bunga mereka hanya dibenarkan mengikat poster dengan tali. Mereka dilarang menampal poster dengan gam.
- Beberapa hari sebelum Pilihanraya seorang penyelia jabatan saya telah membuat satu arahan bodoh supaya pasu-pasu bunga ini dicat semula.
- Tukang cat pun datang dan menanggalkan poster-poster dari pasu-pasu bunga. Untuk memotong tali rafia pekerja ini menggunakan puntung rokok.
- Poster-poster kemudian bersepah di atas jalan. Manusia dan kenderaan yang lalu kemudian memijak poster-poster ini yang memaparkan gambar calon-calon. Perlu diingat poster-poster yang terlibat adalah kepunyaan parti kerajaan dan pembangkang.
- Ada juga diantara poster-poster yang dipungut oleh pekerja-pekerja lain dan dimasukkan ke dalam tong sampah.
Pekerja-pekerja parti DAP telah menahan tukang-tukang cat jabatan saya dan terjadilah kekecohan tersebut. Saya hairan juga semasa kekecohan tersebut walau pun walkie-talkie dapat didengar oleh lebih dari dua puluh orang, saya seorang sahaja di kalangan pegawai yang datang menyiasat. Yang lain sudah tentu pengecut.
Saya terus melaporkan kejadian kepada boss saya. Buktinya ialah gambar di atas dimana saya sedang bercakap dengan beliau melalui 'walkie-talkie' saya. Selepas itu ada satu perkara yang berlaku yang tidak dapat saya lupakan.
Dr. Chen Man Hin yang bertanding untuk Parlimen Seremban dan diantara calon-calon yang gambarnya dipijak dan dimasukkan ke dalam tong sampah tadi telah datang dan bertanyakan kepada pekerja-pekerjanya apa masalah yang berlaku. Tiger Lee pun menceritakannya seperti dalam gambar.
Melihat kehadiran saya Dr. Chen telah meluru dan mencekik leher saya. Nasib baiklah Tiger Lee dan yang lain menarik Dr. Chen dari saya dan mengatakan saya tidak bersalah. Nasib baik juga saya tidak melawan. Jika tidak tidak tahulah saya akibatnya dalam suasana tegang semasa Pilihanraya akan hampir. Terima kasih Tiger.
Saya kemudian membuat laporan Polis terhadap tindakan Dr. Chen itu tetapi nampaknya tidak apa-apa tindakan susulan dari mereka. Walau bagaimana pun saya tidak menyalahkan Dr. Chen dalam perkara ini.
Yang salah ialah jabatan saya sendiri, khususnya penyelia yang mengarahkan pasu-pasu bunga tersebut dicat semula. Bukankah poster-poster berkenaan diletakkan atau diikatkan dengan kebenaran atau izin pihak berkuasa? Kenapa tidak tunggu beberapa hari lagi.
Untuk pengetahuan semua Dr. Chen kalah dalam pilihanraya tersebut. Tiger Lee pula menang di kerusi negerinya. Beliau kemudian tidak sehaluan dengan Dr. Chen dan meninggalkan DAP untuk memasuki MCA. Dalam Pilihanraya Umum bulan Mac tahun ini beliau memberi laluan kepada anaknya Jason Lee untuk menggantikan beliau, tetapi Jason kalah kepada calon DAP.
Hubungan saya dengan Tiger Lee dan anaknya Jason masih baik.
4 comments:
Brother Maarof,.. semasa membuat laporan ada tak disertakan dengan medical report?
Tak ada medical report. Saya tak cedera pun, cuma 'my pride was hurt'.
Salam Bang Maarof, tak pe, orang tua cekik tak sakit. Geli geli je, kan gitu?
terima kasih Abang Maarof diatas penerangan yang panjang lebar...memang abang seorang yang berani,berani kerana benar...tahniah.
Post a Comment