Monday, August 4, 2008

Mencari Harta Karun

Di atas ialah keratan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 17 Julai 1990 dimana nama saya dicatitkan sebagai ketua pasukan yang mendapat hadiah kedua dalam acara Jelebuton.


Empat tahun sebelumnya saya telah memasuki satu acara yang biasa disebut 'Treasure Hunt' atau Mencari Harta Karun. Kawan pejabat saya En. Muhammad Kadis bertanyakan sama ada saya ingin memasuki satu pertandinganTreasure Hunt sempena pembukaan satu kedai aksesori kereta di Seremban. Saya tidak tahu menahu apa yang dimaksudkan dengan Treasure Hunt. Saya kata okeylah, untuk cuba-cuba.

En. Muhammad sendiri yang mengatur siapa yang layak menyertai pasukan kami. Saya juga dipilih sebagai Ketua Pasukan. Oleh kerana kereta saya yang paling besar (Toyota Corona 1.8 cc) ia digunakan oleh pasukan. Masa itu harga minyak masih murah, kalau sekarang jangankan untuk Treasure Hunt, untuk memiliki kereta sebesar itu pun saya takut.

En. Muhammad telah membuat pemilihan peserta yang paling baik. Selain kami berdua dia memilih kawan lama kami En. Roeze Ahmad yang biasa dengan kawasan luar bandar Daerah Seremban. Peserta akhir ialah En. Chew Hock Chuan, juga rakan sepejabat saya. En. Muhammad kata En. Chew diperlukan jika kami ingin mendapat maklumat dari orang berbangsa Cina. Pandai kau lah Mad!

Padu satu pagi Ahad kami pun berkumpul di perkarangan kedai aksesori ini di Rahang, Seremban. Pasukan-pasukan lain kebanyakannya berbangsa Cina. Bukan itu sahaja, ada yang datang dari Lembah Kelang dan berpengalaman dalam Treasure Hunt. Tapi kami yang mentah ini tidak bimbang oleh kerana kami ingin mencuba. Selain saya kawan-kawan saya yang bertiga ini pun belum pernah menyertai Treasure Hunt.

Kami diberi tiga keping kertas. Satu kertas ialah peta perjalanan. Bagi kami yang semi-professional ini tidak menjadi masalah untuk membaca peta sebab membaca peta dan pelan merupakan sebahagian dari kerja kami. Kertas kedua ialah soalan-soalan dan dikertas ketiga kami dikehendaki menulis jawapan kepada soalan-soalan tadi. En. Roeze ditugaskan untuk menulis jawapan.

Peta ditandakan dengan nombor-nombor di mana di lokasi sebenar jawapan untuk soalan di kertas dua boleh didapati. Soalan-soalan diberi secara teka-teki atau 'riddle' dalam Bahasa Inggeris. Antara kami mungkin En. Muhammad kurang fasih berbahasa Inggeris (sorry Mad), yang lain tu pakar-pakar English belaka. Jadi ini pun tidak menjadi masalah bagi kami. Masalahnya ialah untuk menjawab soalan berbentuk teka-teki ini.

Teka-teka ini ada yang memecahkan kepala juga. Contohnya di lokasi bangunan Negeri Sembilan Chinese Recreation Club (NSCRC) di Jalan Dato' Bandar Tunggal di tanya "How old is Mr. Tan?". Saya tak tahu beberapa orang yang boleh menjawab soalan ini. Agaknya ramai peserta-peserta tercari-cari seorang Cina yang bernama Tan. Tetapi di hadapan bangunan NSCRC itu terdapat satu papan iklan besar kereta Nissan. Antara yang ditulis ialah 'Tan Chong Motors, 20 years in Malaysia'. Itulah jawapannya, '20 years'. Saya tahu dengan sekelip mata.

Ada juga soalan yang lucu, tetapi saya ingat ramai yang dapat menjawabnya. Di Bukit Mantin ditanya "What does the Malaysian romeo say to his girl friend?" Tertulis besar di lereng bukit "PUSPA, I LOVE YOU". Itulah jawapannya. Siapa tak dapat boleh hantuk kepala ke Bukit Mantin.

Secara am kami dapat menjawab dengan tenang dan senang. Kami bekerjasama dengan semangat setia kawan. Kaedah percambahan otak atau 'brainstorming' digunakan sepenuhnya. Ada ahli-ahli pasukan lain asyik bertelagah tentang jawapan akhirnya mereka tak dapat apa-apa.

Bila nama-nama pemenang diumumkan kami terperanjat kerana mendapat hadiah pertama. Bukan itu sahaja, jarak markah dengan pemenang kedua amat jauh. Kami dihadiahkan dengan empat set aksesori kereta yang kami bahagi-bahagi antara kami.

Bagi saya pemenang sebenar Treasure Hunt ini ialah kawan saya En. Muhammad bin Kadis yang mendapat tahu mengenainya dan mengatur keahlian kami. Memang En. Muhammad seorang pakar dalam pengaturan kerja.

Gambar-gambar Treasure Hunt di atas ada saya simpan. Nantilah saya cari dan jika dapat saya poskan.

JELEBUTON.

Empat tahun berlalu saya mendapat tahu mengenai Jelebuton yang seakan-akan Treasure Hunt juga. Saya cari kawan-kawan yang sama tetapi cuma En. Chew Hock Chuan yang senang. Jadi saya gantikan dengan kawan saya En. Hapis Manap dan adik saya Zahari.

Pada satu pagi Ahad juga kami berkumpul di tapak Hari Peladang dan Nelayan dai Simpang Pertang, Jelebu. Kami dikehendaki menjelajah satu Daerah Jelebu dan menjawab soalan-soalan yang diberi. Jawapan dan soalan adalah dalam Bahasa Melayu. En. Chew Hock Chuan telah memberi cadangan yang baik apabila melihat situasi ini dan menawarkan untuk memandu kereta saya (Proton Saga 1.5 cc).

Untuk menjawap kami kena bertanya kepada penduduk-penduduk yang tinggal disekitar lokasi soalan. Di sinilah saya rasa ketidakadilannya. Jika kami salah tanya salahlah jawapannya. Lagi pulak orang yang memberi jawapan boleh menipu kami jika mereka tengok muka kami macam nak larikan anak daranya. Tapi bagi saya yang berasal dari Jelebu ada juga jawapan-jawapannya sudah ada dalam kepala saya.

Ada juga soalan-soalan yang mengelirukan. Contoh pertama ialah "Berapakah selekoh Bukit Tangga?". Selekoh yang macam mana? Kecil?, Besar?. Contoh kedua "Berapa tingkatkah air terjun di Jeram Toi?". Tingkat dua kaki boleh dikira tak? Kalau ditanya hari ini berapa selekoh Bukit Tangga (dalam Daerah Jelebu sahaja)senanglah jawapannya iaitu 'Kosong'. Untuk sesiapa yang tidak tahu jalan Bukit Tangga yang memisahkan Seremban dengan Jelebu yang dulunya berbengkok-bengkok sudah diluruskan. Tak ada lagi selekoh di bahagian Daerah Jelebu.

Akhir sekali kami ditanya 'Tuan telah menjelajah satu Daerah Jelebu, oleh itu berapa negeri dan daerahkan yang bersempadan dengan Jelebu?'. Untuk negeri jawapannya sudah tentu 'Dua' iaitu Selangor dan Pahang. Untuk daerah ada keliru sedikit. Adakah daerah untuk Negeri Sembilan atau termasuk luar Negeri Sembilan? Saya memutuskan untuk menjawab 'Lima' dan menyenaraikannya seperti berikut: 1. Seremban, 2. Kuala Pilah, 3. Jempol, 4. Bentong dan 5. Hulu Langat. Terpulangkan kepada para juri untuk menimbangkannya.

Saya memang tidak menjangka mendapat apa-apa hadiah. Lebih-lebih lagi kebanyakan peserta terdiri dari penduduk Jelebu. Apo poluang se yang dah lamo meghantau ni? Keputusan pula akan diumumkan lewat malam selepas satu konsert khas sempena Hari Peladang dan Nelayan ini. Tapi saya berjumpa dengan anak buah saya Tahar Abdullah yang bekerja di Majlis Daerah Jelebu supaya menunggu sehingga keputusan diumumkan. Manolah tau kok ado joki.

Pagi esoknya telefon pejabat saya berbunyi dan Tahar memberitahu "Monyinggah Pak Lang". "Monang ko?" tanya saya. "Yo, dapek numbo duo" jawab Tahar, "Duit eh ado kek se nia". "Potang ni Pak Lang datang ambik", jawab saya. Tentulah saya beri sedikit sagu hati kepada Tahar.

Beberapa tahun yang lalu saya ada juga masuk Treasure Hunt Telekom Malaysia di Seremban. Itu pun sebagai bidan terjun. Kali ini juga saya bukan lagi menjadi ketua. Ketua saya itu pula hendak menunjukkan pangkatnya (dia seorang ADO). Dia berlagak seperti tahu semua. Akhirnya kami lingkup, tak dapat hadiah apa-apa cuma satu tin minyak hitam diberikan kepada semua pasukan. ADO inilah yang kebas, kerana kami naik kereta dia.

No comments: