Friday, April 3, 2009

Patah Tumbuh Hilang Berganti

Datuk Seri Najib Tun Razak bersalaman dengan Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agong Malaysia, Sultan Mizal Zainal Abidin.


Datuk Seri mencurah air di pusara ayahandanya Tun Abdul Razak.

Di zaman saya dulu kemasukan ke sekolah menengah tidaklah secara otomatik seperti sekarang. Murid-murid yang berada dalam Darjah Enam sekolah rendah yang ingin menyambungkan pelajaran ke sekolah menengah dikehendaki menduduki peperiksaan kemasukan ke sekolah menengah. Siapa yang gagal dalam peperiksaan ini atau tidak mendudukinya langsung terlepaslah peluang untuk belajar lagi.

Masuk ke sekolah menengah bermakna memerlukan perbelanjaan lebih yang perlu ditanggung oleh keluarga. Maklum sahajalah sekolah-sekolah menengah terletak di bandar-bandar sedangkan sekolah-sekolah rendah terdapat di semua kampung. Dari itu jika anak-anak mereka dapat masuk ke sekolah menengah perbelanjaan lebih untuk tambang bas atau bayaran asrama terpaksa difikirkan.

Akibat itu ramai anak-anak kampung yang dihalang oleh keluarga mereka untuk menduduki peperiksaan masuk ke sekolah menengah ini walau macam mana pandainya mereka. Seorang anak buah perempuan saya termasuk dalam golongan ini pada mulanya. Tetapi kerana keperihatinan ibu saya dia dimasukkan juga ke sekolah menengah akhirnya. Ya, walau pun kami dari keluarga miskin ibu saya tidak sampai hati melarang anak-anak atau saudaranya belajar sehingga mana yang boleh.

Peperiksaan untuk masuk ke sekolah menengah ini juga dipusatkan di sekolah-sekolah yang terletak dibandar. Dalam kes saya saya terpaksa menaiki bas di waktu subuh lagi untuk menduduki peperiksaan di sebuah sekolah di pekan Kuala Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan. Saya membawa beberapa batang pensil dan sedikit wang belanja yang dibekalkan oleh ibu saya.

Masuk sahaja dalam bilik peperiksaan saya perhatikan murid-murid dari sekolah yang menjadi tuan rumah masing-masing mempunyai sebuah kotak yang tidak pernah saya nampak selama ini. Hanya beberapa bulan kemudian apabila saya berjaya masuk ke sekolah menengah baharu saya tahu kotak itu ialah 'Kotak Geometri' atau 'Geometry Box'.

Guru yang menjaga kelas peperiksaan pun memberi beberapa taklimat semasa peperiksaan sedang dijalankan. Antaranya ialah "Sesiapa yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan ini, jika lelaki akan masuk ke Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh dan Sekolah Tun Abdul Razak, Tanjung Malim, kedua-duanya di Perak. Yang perempuan pula akan masuk ke Sekolah Tun Fatimah, Durian Daun, Melaka". Begitulah ayatnya lebih kurang.
Saya terus berfikir dalam hati saya "Manalah aku dari keluarga dan sekolah yang daif ini ada peluang nak masuk sekolah-sekolah tu. Kalau ada pun dari bilik ini sudah tentu yang menggunakan 'kotak ajaib' tu".

Sudah tentulah saya sekeluarga dan guru-guru sekolah saya terperanjat besar apabila saya mendapat Pangkat A dalam peperiksaan tersebut. Tambahan lagi saya seorang sahaja yang menduduki peperiksaan ini di pusat saya yang mendapat Pangkat A. Ini juga bermakna saya dapat mengatasi mereka yang bersenjatakan 'kotak ajaib' itu.

Saya dimasukkan ke Sekolah Dato' Abdul Razak, Tanjung Malim, Perak. Sekolah menghantar surat penggilan beserta senarai peralatan dan pakain yang perlu saya bawa bersama. Ini termasuklah 'kotak ajaib' yang sebenarnya ialah Kotak Geometri. Di masa itu jenama yang popular ialah Helix.

Kenapa Dato' Abdul Razak dan bukan Tun Abdul Razak iaitu panggilan semasa untuk Timbalan Perdana Menteri di masa itu? Jawapannya ialah untuk mengelakkan kekeliruan nama singkat STAR yang digunakan oleh Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh. Dengan cara ini sekolah saya kekal menggunakan nama singkat SDAR untuk Sekolah Dato' Abdul Razak yang diberikan pada tahun 1957 sehingga sekarang.

Sebenarnya ada sebuah lagi sekolah yang juga dinamakan Sekolah Tuanku Abdul Rahman. Ia terletak di Gemas, Negeri Sembilan. Ada juga Sekolah Tunku Abdul Rahman di Sarawak. Tapi cuma ada satu SDAR atau Sekolah Dato' Abdul Razak, sekarang sudah berdiri teguh di Sungai Gadut, Seremban, Negeri Sembilan.
Tun Abdul Razak kemudian menjadi Perdana Menteri Malaysia pada tahun 1970 sehingga Allahyarham meninggal dunia pada bulan Januari 1976.

Apabila Tun Abdul Razak meninggal dunia barulah saya tahu bahawa gelaran Dato' untuk Allayarham sebenarnya ialah satu gelaran keturunan dalam sistem pembesar Negeri Pahang. Sebelum Abdul Razak gelaran itu dipegang oleh ayahandanya Dato' Hussein. Oleh itu apabila Tun Abdul Razak meninggal dunia gelaran Dato' Negeri Pahang itu diberikan pula kepada anak sulungnya Mohd. Najib. Oleh itu wajar juga sekolah saya terus dipanggil Sekolah Dato' Abdul Razak.
Anugerah untuk Mohd. Najib ini disampaikan sendiri oleh Paduka Seri Sultan Pahang sebelum jenazah Tun Abdul Razak disemadikan di Makam Perwira, perkarangan Masjid Negara, Kuala Lumpur.

Saya tidak mahu bercerita mengenai Sekolah Dato' Abdul Razak atau SDAR di pos ini. Banyak cerita mengenai SDAR saya ceritakan di bawal label 'Sdara'. Cuma saya turut merasa bangga yang anak kepada seorang ternama dan mantan Perdana Menteri Malaysia yang mana namanya dijadikan nama sekolah saya sekarang mewarisi jawatan Allayarham ayahandanya.

Datuk Seri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak hari ini mewarisi jawatan ayahandanya menjadi Perdana Menteri keenam Malaysia.

Tahniah, Datuk Seri.

2 comments:

Mohd Shah Khalid said...

Brother Maarof,
Sunggoh menarik cerita 'kotak ajaib' ni. saya agak bernasib baik juga kerana telah melihat ia digunakan oleh kakak dan abang saya. Mana tak ajaibnya, saya terpekun apabila melihat kakak membuat bulatan yang sempurna mengggunakan salah satu dari perkakas dalam kotak itu. saya tidak dibenarkan menyentuhnya kerana hujung yang tajam, takut terkena mata.
Ramai pelajar SDAR datang dari kampong dan daerah hulu yang tidak pernah melihat jamban pam atau seterika elektrik. Oleh kerana tidak tahu mengguna jamban pam, maka ada yang membiar najis berselerak diatas lantai didalam tandas. Nasib baik tidak ada yang membungkus dan membaling melalui tingkap. Mereka ini telah menjadi rakyat yang berguna berkat pelajaran yang diterima di SDAR.
Kembali kepada penaung SDARA, DSN,diharap beliau dapat menghadiri majlis SDARA dimasa akan datang dan Datin Rosmah dapat memberi sumbangan lagu yang dapat mengumpul derma pulohan ribu ringgit untuk tabung SDARA. Walau apa pun cerita yang didengar mengenai beliau tetapi tentang bab ini saya sokong beliau 110%. Setuju tak?

Kujie said...

terimakasih for checking out my blog...

saya masih suka Penilaian Darjah 5 dari UPSR...hehehe..kita merdeka dan bebas pada tahun² terakhir di sekolah rendah.