Wednesday, December 23, 2009

Betulkah cara ini?

Pagi tadi saya hantar isteri saya Salmah ke Hospital Tuanku Jaafar, Rasah, Seremban untuk membuat temujanji pemeriksaan matanya. Siapa yang biasa dengan Hospital ini sudah tahu mengenai masalah kekurangan tempat letak keretanya.

Selepas meninggalkan Salmah di bangunan Klinik-Klinik Pakar saya meletakkan kereta di tempat ketak kereta khas untuk orang awam. Tempat letak kereta ini dahulu sebahagian dari padang Hospital ini di mana pada waktu-waktu petang ramai kakitangan hospital dan juga penduduk kawasan Rasah bermain bola. Saya masih ingat di tahun-tahun tujuh puluhan pasukan bolasepak Jabatan Perubatan Negeri Sembilan atau disebut NS Medicals adalah salah satu pasukan yang kuat di Seremban dan Negeri Sembilan.

Padang itu tidak menjadi padang lagi kerana sebahagian darinya telah diambil oleh kerajaan untuk Projek Lingkaran Tengah Seremban. Sebahagian lagi yang tinggal itu dijadikan tempat letak kereta di mana saya meletakkan kereta saya pagi tadi.

Dari tempat letak kereta ini pemandu dan penghuni kereta boleh menaikki bas percuma untuk ke Hospital. Tetapi oleh kerana Klinik-Klinik Pakar terletak diantara Hospital dengan tempat letak kereta ini saya memilih untuk berjalan kaki untuk mendapatkan Salmah. 'Hogheh' juga saya berjalan kaki menaiki bukit ke Klinik-Klinik Pakar ini.

Perjalanan balik ialah menurun dan Salmah kata dia sanggup berjalan kaki sama. (Kalau diperhati betul-betul Salmah ada dalam gambar di atas). Keluar sahaja dari bangunan Klinik saya nampak tiga kereta sudah digari tayar hadapan sebelah kanannya.

Saya nampak ada notis diletak dicermin tiap-tiap kereta. Notis memberitahu pemandu bahawa kereta mereka diletak di tempat yang salah. Mereka diberi masa 30 minit untuk memindahkan kereta mereka, jika tidak tayar kereta mereka akan digari.

Sebenarnya notis ini adalah syarat sahaja. Tanyalah sesiapa yang berurus dengan Hospital Tuanku Jaafar ini adakah sempat mereka diperiksa atau melawat pesakit dalam masa 30 minit? Oleh itu tidak mungkin pemandu ketiga-tiga kereta di atas kembali ke kereta mereka dalam tempoh 30 minit melainkan mereka tinggal barang seperti rokok (tak mungkin, kerana dilarang merokok di kawasan hospital) atau telefon bimbit.

Memang betul ketiga-tiga kereta tersebut salah letak kerana menghalang. Tetapi dengan menggari tayar bukankah kereta berkenaan tetap menghalang. Oleh itu masalah sebenar iaitu halangan tidak diselesaikan.

Setahu saya pihak berkuasa tidak mempunyai kuasa menggari kereta-kereta yang menghalang. Kerana dengan menggari halangan tetap ada dan tidak terhapus. Saya masih ingat lagi semasa Majlis Perbandaran Seremban mula-mula mengenakan bayaran letak kereta dahulu kereta-kereta yang diletak di luar petak letak kereta digari. Tiba-tiba seorang pemandu telah mencabar tindakan Majlis ini di mahkamah dan mahkamah memutuskan tindakan menggari kereta kerana kesalahan menghalang adalah melanggar undang-undang. Majlis telah memberhentikan tindakan menggari kereta dengan serta merta.

Apakah tindakan sepatutnya diambil untuk kereta-kereta seperti di atas? Pihak-pihak berkuasa seperti Polis dan JPJ boleh menyaman kereta berkenaan. Dalam hal ini pihak Hospital tidak mempunyai kuasa kerana jalan berkenaan adalah jalan awam.

Tindakan secara fizikal pula ialah pihak berkuasa menarik kereta dan diletakkan di tempat-tempat khas di Balai Polis atau pejabat JPJ. Tindakan ini agak drastik memikirkan pemandu terpaksa pergi ke Balai Polis atau pejabat JPJ, kemudian membayar saman termasuk upah menarik kereta.

Walau bagaimana pun tindakan menggari kereta kerana menghalang adalah tindakan yang salah. Sesiapa yang kereta mereka digari dalam keadaan di atas boleh menyaman pihak yang menggari dan mana tahu, dapat bayaran ganti rugi.

Tapi bagi saya buat apa buang masa dan buat apa bertekak. Letak sahaja kereta di tempat yang sah.

2 comments:

zenytha said...

uncle -

memang betul - letak aje di tempat yang sah. ramai pemandu yang kurang kesedaran sivik dan letak kereta merata2.

sepatutnya tempat letak kereta skrng di sebelah klinik pakar itu dijadikan letak kereta bertingkat (bersekali dgn klinik tu). ini boleh save space dan juga kerana ianya tanah berbukit.

topik lain - mungkin uncle boleh tulis mengenai burung kakak tua mengangkat sampah. saya selalu teringat inisiatif majlis di tahun 80an ini. kalau uncle ingat, mungkin uncle boleh tulis, dan boleh menjadi rujukan penduduk seremban di masa akan datang.

zenyth

Anonymous said...

Tak betul cara begitu....tak menyelesaikan masaalah......mengusutkan lagi tapi mungkin bagi tujuan mengajar jangan buat lagi.

muhd. abd.